IS Mengaku Lancar Serangan Di Barcelona Ragut 13 Nyawa

  • News Code : 848981
  • Source : Free Malaysia Today
Brief

Seramai 13 mangsa maut apabila seorang pemandu merempuh vannya ke arah orang ramai di kawasan paling popular di ibu negara Sepanyol, pada Khamis.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Seramai 13 mangsa maut apabila seorang pemandu merempuh vannya ke arah orang ramai di kawasan paling popular di ibu negara Sepanyol, pada Khamis.

IS mengaku bertanggungjawab melancarkan serangan itu.

Susulan itu, polis menahan 2 suspek yang terdiri daripada seorang rakyat tempatan dan warganegara Maghribi, tetapi pemandu van itu masih bebas.

Saksi memberitahu keadaan di tempat kejadian huru-hara dan ngeri, dengan mayat bergelimpangan di sepanjang jalan terkenal dan orang ramai panik dan bertempiaran menyelamatkan diri.

Kejadian itu berlaku di bandar yang amat popular dengan pelancong dari seluruh dunia dalam gelombang seragan terbaru di Eropah, di mana kenderaan dijadikan senjata keganasan.

Pemimpin dunia mengutuk pembunuhan beramai-ramai itu yang diakui agensi propaganda IS, Amaq dilakukan “askar” kumpulan militan berkenaan.

Perdana Menteri Sepanyol, Mariano Rajoy menerusi ucapan yang disiarkan televisyen berkata: “Kami bersatu dalam kesedihan.

“Kami bersatu untuk mengalahkan mereka yang mahu mengambil nilai dan cara hidup daripada kami.”

Menteri Dalam Negeri, Joaquim Forn berkata, 13 mangsa terbunuh dengan 100 lagi cedera dalam kejadian yang diklasifikasikan polis sebagai “serangan pengganas”.

Agensi Perlindungan Awam Sepanyol memaklumkan mangsa terdiri daripada sekurang-kurangnya 18 kewarganegaraan, termasuk Perancis, Venezuela, Australia, Ireland, Peru, Algeria dan China.

Belgium mengesahkan seorang daripada mangsa korban itu ialah rakyatnya.

Belanda mengenal pasti 3 warganya cedera dalam serangan di Las Ramblas, manakala Greece pula melaporkan 3 rakyatnya – seorang wanita dan 2 anaknya, cedera.

Orang ramai bertempiaran

Las Ramblas ialah sebuah daripada jalan paling sibuk di Barcelona dengan deretan kedai dan restoran yang biasanya dibanjiri pelancong serta penghibur jalanan sehingga larut malam.

“Apabila ia berlaku, saya lari keluar dan nampak kerosakan yang berlaku,” kata warga tempatan yang bekerja di sebuah kedai, Xavi Perez kepada AFP.

“Orang ramai mengelilingi mayat.

Orang ramai menangis.

Ada ramai warga asing.”

Saksi, Aamer Anwar memberitahu stesen televisyen Britain, Sky News beliau berjalan di Las Ramblas yang “dibanjiri” pelancong.

“Tiba-tiba, saya terdengar bunyi rempuhan dan orang ramai mula lari, menjerit. Saya nampak seorang wanita di sebelah saya menjerit nama anak-anaknya.”

Stesen televisyen tempatan menyiarkan video sebuah van putih dengan bahagian depannya remuk dan ditinggalkan pemandu di sebuah jalan yang dikelilingi kenderaan polis.

Tom Gueller yang tinggal dekat Las Ramblas berkata, beliau ternampak kenderaan itu dipandu laju di jalan berkenaan.

“Ia tidak memperlahankan kelajuan langsung.

Ia terus bergerak di tengah-tengah orang ramai di Ramblas,” katanya kepada radio BBC.

Serangan terburuk di Eropah

Sepanyol terkecuali daripada keganasan ekstremis yang menggegarkan negara jiran Perancis, Jerman dan Belgium.

Tetapi, ia mengalami serangan keganasan terburuk di Eropah pada Mac 2004, apabila bom meletup dalam kereta api di Madrid yang meragut 191 nyawa dalam serangan yang diakui dilancarkan pengganas diilhamkan Al-Qaeda.

Polis pada Khamis berkata, salah seorang suspek yang ditahan itu ialah orang tempatan yang dilahirkan di Melilla, wilayah Sepanyol di pantai utara Maghribi, manakala seorang lagi suspek ialah warga Maghribi bernama Driss Oukabir.

Rakyat Sepanyol itu ditahan di Alcanar, kira-kira 200km di selatan Barcelona, di mana sebuah rumah meletup pada lewat malam Rabu yang menyebabkan seorang maut dan 7 cedera.

Kejadian itu dipercayai ada kaitan dengan serangan pada Khamis.

“Kami mengesyaki mereka (penghuni) sedang membuat bahan letupan,” kata polis Catalonia, Josep Lluis Trapero.

Serangan pada Khamis itu dikecam pemimpin seluruh dunia dengan keluarga diraja Sepanyol berikrar negara itu tidak akan dijadikan lokasi serangan ekstremis.

‘Serangan pemberontakan’

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengutuk “serangan keganasan” itu dan berkata Washington akan melakukan apa sahaja yang diperlukan untuk membantu.

Presiden Perancis, Emmanuel Macron – yang negaranya turut diserang beberapa insiden keganasan termasuk rempuhan sebuah lori di Nice pada Julai 2016 yang meragut 86 nyawa – berkata, beliau simpati dengan mangsa “serangan tragis” itu.

Jurucakap bagi Canselor Jerman, Angela Merkel mengutuk “serangan pemberontakan” itu dan Perdana Menteri Britain, Theresa May menerusi Twitter berkata, London “menyokong Sepanyol menentang keganasan”.

Serangan di Nice dan tempat lain, termasuk kejadian tembakan dan letupan di Paris pada 2015 diakui dilakukan IS, tetapi serangan di Sepanyol ini dipercayai ialah serangan pertama IS di negara itu.

Menurut Kementerian Dalam Negeri, lebih 190 “pengganas” ditahan di sejak 2015, kebanyakannya disebabkan propaganda, pengambilan untuk kumpulan pelampau atau “mengagungkan keganasan.”

Pada Khamis, Rangkaian Kesedaran Radikalisasi yang ditubuhkan Suruhanjaya Eropah memberi amaran antara 1,200 hingga 3,000 orang Eropah yang hidup dan berjuang bersama IS di Iraq serta Syria mungkin pulang ke negara masing-masing. -AFP


Artikel berkaitan

Kirim komen anda

E-mel anda tidak akan dipaparkan. Sila isi tempat bertanda *

*

mourning-of-imam-hussain
Mesej Haji 2017 Dari Pemimpin Tertinggi Iran
We are All Zakzaky
Telegram