Netanyahu Mahu Serangan Udara Rusia Ke Atas Daesh Ditamatkan: Syed Nasrallah

  • News Code : 818698
  • Source : ABNA24
Brief

Setiausaha Agung Hizbullah, Syed Hasan Nasrallah berkata Israel berusaha untuk menamatkan kempen ketenteraan Rusia ke atas kumpulan pengganas Takfiri Daesh di Syria dalam rangka mengelakkan kejatuhan rejim di Tel Aviv.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Setiausaha Agung Hizbullah, Syed Hasan Nasrallah berkata Israel berusaha untuk menamatkan kempen ketenteraan Rusia ke atas kumpulan pengganas Takfiri Daesh di Syria dalam rangka mengelakkan kejatuhan rejim di Tel Aviv.

Nasrallah pada hari Sabtu berkata bahawa Perdana Menteri Benjamin Netanyahu baru-baru ini telah menemui Presiden Persekutuan Rusia, Vladimir Putin di Moscow untuk menyatakan kerunsingannya berhubung prospek kejatuhan Daesh di Syria memandangkan perkara itu akan menandakan kemenangan gerakan penentangan -termasuk Hizbullah- di rantau Timur Tengah.

Ketua gerakan Hizbullah itu juga menambah dengan mengatakan bahawa kekalahan kumpulan Takfiri Daesh di Syria akan menyumbang kepada kejatuhan Netanyahu sendiri.

Rusia memulakan kempen anti-keganasan mereka di Syria pada penghujung tahun 2015 setelah kerajaan Damsyik sendiri secara rasmi meminta bantuan daripada Moscow.

Nasrallah membuat komen tersebut di dalam sebuah acara yang dianjurkan di ibu kota Lubnan, Beirut. Acara itu diadakan sempena memperingati hari ulang tahun kelahiran puteri Nabi S.A.A.W, Sayyidah Zahra.

Beliau turut mengatakan bahawa kuasa Barat mempergunakan kumpulan pengganas Takfiri Daesh untuk melaksanakan rancangan mereka di bumi Syria yang teruk dilanda konflik itu.

"Saya secara berulang kali menyeru kepada para militan yang beroperasi di Syria untuk tidak mempercayai Barat dan melaksanakan rencana mereka di Syria. Ini kerana A.S dan sekutunya hanya menggunakan mereka sebagai bidak dan akan meninggalkan mereka sejurus selepas mereka dikalahkan," katanya.

"Saya memberitahu para militan yang berjuang di dalam barisan musuh bahawa kalian hanya membantu Israel dan menumpahkan darah mereka yang tidak berdosa semata-mata."

Selain daripada itu, Nasrallah turut memberikan amaran kepada Daesh, Jabhat Fateh al-Sham -yang dahulunya dikenali sebagai Barisan al-Nusra- dan kumpulan pengganas lain bahawa hari-hari akhir mereka sudah hampir tiba memandangkan tentera kerajaan Syria kini sudah semakin kuat dan mula mencapai kemenangan demi kemenangan di beberapa garisan kontak.

Bahkan negara-negara Arab dan Barat yang pernah menyokong dan membantu mereka kini sibuk memerangi kumpulan-kumpulan ini, kata Nasrallah.

Pemimpin Hizbullah itu turut menyatakan argumennya bahawa keseluruhan wang yang pernah dibelanjakan oleh negara-negara Arab untuk membiayai kegiatan militan di Syria sepanjang 6 tahun yang lalu sepatutnya digunakan untuk membasmi kemiskinan dan masalah buta huruf di dunia Arab sendiri di samping memberikan bantuan makanan kepada warga Somalia dan memberikan perumahan kepada warga Palestin.

Selain daripada itu, beliau turut mengkritik PBB dengan mengatakan bahawa badan itu tidak boleh dipercayai untuk mempertahankan hak-hak bangsa Arab dan perkara itu dapat dilihat berikutan peletakkan jawatan pegawai PBB yang enggan menarik balik laporan yang mengecam Israel.

Rima Khalaf, Setiausaha Eksekutif Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial PBB ke Barat Asia, sebelum ini telah meletakkan jawatannya selepas enggan menarik balik sebuah laporan yang mengandungi kesimpulan bahawa "Israel telah menubuhkan sebuah rejim Aparteid yang menguasai warga Palestin secara menyeluruh."

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres pada hari Jumaat telah meminta laporan itu supaya dikeluarkan daripada laman sesawang ESCWA, kata seorang pegawai PBB yang tidak didedahkan identitinya.

Israel menyambut hangat tindakan Guterres dan memujinya dengan wakil rejim itu, Danny Danon mengucapkan terima kasih kepada Setiausaha Agung PBB.

Danon berkata di dalam sebuah kenyataan bahawa "masanya sudah tiba untuk mengakhiri amalan sesetengah pihak yang menggunakan kedudukan mereka di dalam PBB untuk mempromosikan aktiviti anti-Israel."

/315


Artikel berkaitan

Kirim komen anda

E-mel anda tidak akan dipaparkan. Sila isi tempat bertanda *

*

We are All Zakzaky
Telegram