Pelarian Afghan Yang Dihantar Pulang Bunuh Diri

Pelarian Afghan Yang Dihantar Pulang Bunuh Diri

Kementerian Dalam Negeri Jerman berkata bahawa salah seorang daripada 69 orang pelarian Afghanistan yang dihantar pulang minggu lalu telah membunuh diri di dalam perjalanan pulang ke negara asal mereka.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Kementerian Dalam Negeri Jerman berkata bahawa salah seorang daripada 69 orang pelarian Afghanistan yang dihantar pulang minggu lalu telah membunuh diri di dalam perjalanan pulang ke negara asal mereka.

"Menurut pihak berkuasa Afghanistan, kes itu dilabel sebagai kes bunuh diri," kata salah seorang pegawai di Kementerian Dalam Negeri Jerman pada sidang akhbar yang berlangsung pada hari Rabu ini. Dia juga menambah bahawa "Kami menerima pengesahan dari pihak berkuasa Afghanistan pada hari ini bahawa salah seorang daripada penumpang di dalam penerbangan repatriasi itu ditemui mati di tempat penginapannya di Kabul. "

Insiden itu berlaku di sebalik ketegangan yang semakin meningkat di dalam kerajaan Jerman berhubung cara menangani pelarian ke negara Eropah itu. Menteri Dalam Negeri, Horst Seehofer mula menggesa Canselor Angela Merkel untuk menukar dasar pelariannya walaupun Merkel sebelum ini menegaskan bahawa perubahan seperti itu harus dimasukkan di dalam agenda Kesatuan Eropah itu sendiri.

Seehofer mengalu-alukan tindakan pengusiran pelarian Afghanistan pada minggu lepas, dengan mengatakan pada hari Selasa bahawa 69 orang Afghan telah meninggalkan negara tersebut pada hari ulang tahun kelahirannya yang ke-69.

Merkel sebelum ini membenarkan lebih daripada satu juta orang pelarian memasuki Jerman apabila beliau memerintahkan sempadan dibuka pada awal tahun 2015. Kini, Canselor Jerman itu menghadapi cabaran yang semakin rumit untuk melindungi kerajaan gabungannya yang goyah akibat daripada kritikan yang diterima daripada kedua sekutu dan musuh partinya berhubung dasar pelarian berkaitan.

Untuk mengurangkan kebimbangan tersebut, Merkel sejak beberapa tahun yang lalu telah cuba untuk mencapai perjanjian dengan negara lain berhubung program penempatan semula dan pengusiran pelarian. Salah satu daripada perjanjian tersebut adalah perjanjian Berlin dengan Kabul yang berkuat kuasa pada Disember 2016.

Pengusiran 69 orang Afghan pada 4 Julai lepas adalah sebuah tindakan pengusiran beramai-ramai yang terbesar ke atas pencari suaka dari Afghanistan. Pihak berkuasa pada kebanyakan masa hanya menghantar pulang warga Afghanistan yang memiliki rekod jenayah. Berlin juga pernah menghentikan tindakan pengusiran pada Mei tahun 2017, apabila sebuah insideb pengeboman berlaku di hadapan Kedutaan Jerman di Kabul sekaligus membunuh lebih daripada 90 orang dan mencederakan lebih kurang 400 orang lagi.

Seramai 51 daripada mereka yang dihantar pulang minggu lalu adalah dari Bavaria, negeri yang dikuasai oleh parti CSU konservatif pimpinan Seehofer. Sumber-sumber dalam kerajaan pusat menunjukkan bahawa kerajaan persekutuan Jerman baru-baru ini telah meluluskan pengusiran tanpa had ke Afghanistan. Namun, Seehofer berkata bahawa beliau tidak mengarahkan deportasi yang berlaku pada minggu lepas.

Pihak berkuasa Afghanistan dilaporkan mengkritik kerajaan Jerman kerana menghantar kumpulan besar yang melebihi 50 orang bagi setiap penerbangan seperti yang dipersetujui sebelumnya.

Kumpulan hak asasi juga mengecam deportasi tersebut dengan mengatakan bahawa para pelarian telah dihantar pulang ke Afghanistan di ketika situasi keselamatan di negara tersebut semakin memburuk akibat daripada tindakan Taliban dan kumpulan militan lain yang telah meningkatkan serangan terhadap orang awam.


Kirim komen anda

E-mel anda tidak akan dipaparkan. Sila isi tempat bertanda *

*

mourning-of-imam-hussain
Mesej Haji 2018 Dari Pemimpin Tertinggi Iran
We are All Zakzaky