Sepanyol Kian Bergolak

Sepanyol Kian Bergolak

Sepanyol terjebak dalam krisis apabila Madrid merampas kuasa daripada Catalonia yang mahukan kemerdekaan, penyingkiran wilayah autonomi pertama sejak pemerintahan kuku besi Francisco Franco.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Sepanyol terjebak dalam krisis apabila Madrid merampas kuasa daripada Catalonia yang mahukan kemerdekaan, penyingkiran wilayah autonomi pertama sejak pemerintahan kuku besi Francisco Franco.

Selepas ahli perundangan wilayah mengundi mengisytiharkan 'republik' Catalan, Perdana Menteri Mariano Rajoy membubarkan kerajaan dan Parlimen pemberontak, dan mengumumkan pilihan raya pada 21 Disember ini untuk menggantikan mereka.

Dalam ketegangan memuncak yang diperhati oleh blok Eropah, Rajoy memecat pemimpin prokemerdekaan, Carles Puigdemint dan semua menterinya selain pengarah polis wilayah, selain wakil Catalan ke Madrid dan Brussels, bagi menghentikan apa yang disifatkan beliau sebagai 'keingkaran yang semakin meningkat'.

Ahli perundangan memperoleh 70 undian menyokong berbanding 10 yang menolak dalam kalangan 135 anggota Parlimen semalam untuk mengisytiharkan Catalonia sebagai republik dalam bentuk negara merdeka dan berdaulat.

Mereka mengambil mandat daripada keputusan 'Ya' dalam pungutan suara diharamkan 1 Oktober lalu yang ditolak lebih separuh pengundi Catalan.

Pemerhati memberi amaran masalah pada masa depan, dengan pegawai dan kakitangan awam Catalan berkemungkinan mengingkari arahan daripada wakil sementara yang dihantar kerajaan pusat.

"Ketegangan kemungkinan terus memuncak dalam masa beberapa hari lagi.

"Penunjuk perasaan mungkin cuba menghalang polis daripada mengusir menteri Catalan dari pejabat mereka. Ini meningkatkan risiko pertempuran ganas," kata kumpulan penganalisis risiko, Teneo Intelligence. - AFP


Artikel berkaitan

Kirim komen anda

E-mel anda tidak akan dipaparkan. Sila isi tempat bertanda *

*

Mesej Haji 2017 Dari Pemimpin Tertinggi Iran
We are All Zakzaky