Suspek Serangan Di Barcelona Guna Identiti Abang

  • News Code : 849200
  • Source : Sinar Harian
Brief

Suspek serangan rempuhan van di tengah Barcelona didakwa menggunakan identiti abangnya untuk mengaburi mata pihak berkuasa dan orang ramai.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Suspek serangan rempuhan van di tengah Barcelona didakwa menggunakan identiti abangnya untuk mengaburi mata pihak berkuasa dan orang ramai.

Kelmarin, akhbar La Vanguardia melaporkan abangnya, Driss Oukabir, 28, tampil di balai polis di bandar terpencil Ripoll Girona berhampiran sempadan Perancis kira-kira sejam selepas melihat gambarnya disiarkan media dan menjadi tular di laman sosial.

"Dia mendakwa kad pengenalan miliknya yang ditemui di dalam van digunakan dalam serangan itu dicuri beberapa hari lalu oleh adiknya, Moussa, 18, yang dipercayai sebagai suspek dalam insiden rempuhan tersebut.

"Driss mendakwa dia telah menjadi mangsa fahaman ekstremisme adiknya," menurut laporan itu lagi.

Difahamkan, Driss diletakkan di bawah tahanan pihak berkuasa sementara polis menyiasat untuk mengesahkan perkara itu.

Akhbar El Pais melaporkan polis turut mengesyaki penglibatan Driss kerana dia gagal melaporkan tentang kehilangan kad pengenalan dirinya.

Abang suspek serangan rempuhan van itu juga didakwa pernah dipenjarakan di bandar Figueres di Girona sebelum dibebaskan pada 2012. - Agensi

Sementara itu, BBC melaporkan, Polis Sepanyol menembak mati lima suspek di bandar Cambrils yang terlibat dalam serangan rempuhan kedua, beberapa jam selepas insiden pertama di Barcelona.

Jurucakap pihak berkuasa memaklumkan kesemua lelaki itu dipercayai ada kaitan dengan serangan pertama yang didakwa didalangi kumpulan militan Daesh.

"Tujuh termasuk seorang anggota polis cedera dalam kejadian itu pada awal semalam. Seorang daripada mereka disahkan meninggal dunia di hospital," jelasnya.

Kesemua suspek turut memakai tali pinggang bom palsu.

Menurut polis, situasi di Cambrils yang merupakan pusat peranginan tepi laut popular terletak kira-kira 110 kilometer di barat daya Barcelona kembali terkawal.

Dalam perkembangan berkaitan, suspek ketiga dalam serangan ganas di Barcelona dan Cambrils telah ditahan.

Memetik laporan Daily Mail, Polis Catalonia mengesahkan penahanan itu membabitkan seorang lelaki warga Maghribi berusia 34 tahun yang diberkas di Ripoll, barat laut Barcelona

Jurucakap pihak berkuasa memaklumkan lelaki itu dipercayai sebagai pemandu Ford Focus yang merempuh anggota polis di pusat pemeriksaan di luar Barcelona selepas insiden rempuhan van di Las Ramblas.

Siasatan awal mendapati, lelaki tersebut bukan pemandu van yang merempuh orang ramai di Las Ramblas. 

"Dua anggota cedera dan seorang daripadanya mengalami patah kaki selepas polis melepaskan tembakan ketika cuba untuk menghentikan kereta tersebut," katanya.

Difahamkan polis menahan dua lelaki, seorang warga Maghribi dan seorang lagi dari wilayah utara Sepanyol, walaupun mereka bukan suspek utama yang dicari.

Insiden letupan sebuah rumah di perkampungan Alcanar di selatan Catalonia yang meragut satu nyawa dipercayai ada kaitan dengan serangan rempuhan ganas di Barcelona.

Seramai enam individu turut cedera selepas lebih 20 kanister gas butana meletup pada jam 11.15 malam (waktu tempatan) pada Rabu lalu.

Media tempatan melaporkan letupan kedua berlaku selepas pasukan penyelamat tiba di lokasi kejadian dan mencederakan enam polis dan dua anggota bomba.

Dalam pada itu, di Madrid, Agensi melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun dari Australia dilaporkan hilang selepas insiden rempuhan yang menggemparkan Barcelona, semalam.

Kisah kehilangan Julian Cadman itu turut dimuat naik ke Facebook oleh datuknya yang berharap orang ramai dapat membantu mencari budak itu yang berada di bandar itu untuk menghadiri majlis perkahwinan bersama ahli keluarganya yang lain.

Kanak-kanak itu dilaporkan bersama ibunya yang cedera dalam kejadian itu.

Bapanya, Andrew Cadman memberitahu, dia ada bercakap dengan anaknya beberapa jam sebelum dia hilang selepas terpisah dari ibunya.

Difahamkan, empat ahli keluarga lain yang juga terpisah ketika insiden tersebut telah ditemui selamat beberapa jam selepas itu.

Serangan yang berlaku mendapat reaksi daripada beberapa pemimpin dunia termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa serangan.

Dalam Tweet terbarunya, Najib menyifatkan serangan itu sebagai keji.

“Ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dan terbabit dengan serangan keji di Barcelona,” katanya.

Sementara itu, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump berkata, Amerika Syarikat yang mengutuk serangan ganas di Barcelona dan akan melakukan apa sahaja untuk memberi bantuan diperlukan

“Semoga tabah dan kuat, kami sayang anda!,” katanya.

Manakala, Presiden Rusia, Vladimir Putin mahu dunia bersatu dalam pertempuran tanpa kompromi menentang keganasan.

“Kami mengutuk sekeras-kerasnya jenayah kejam dan sinis terhadap orang awam ini,” katanya.

Presiden Perancis, Emmanuel Macron pula menyuarakan perpaduan dengan rakyat Sepanyol susulan serangan tragik itu.

Sementara itu, serangan tersebut disifatkan ganas dan kejam oleh Menteri Luar Turki, Mevlut Cavusoglu.


Artikel berkaitan

Kirim komen anda

E-mel anda tidak akan dipaparkan. Sila isi tempat bertanda *

*

Mesej Haji 2017 Dari Pemimpin Tertinggi Iran
We are All Zakzaky
Telegram