Tiada Pihak Iktiraf Catalonia – EU

Tiada Pihak Iktiraf Catalonia – EU

Krisis politik di Catalonia kini memasuki fasa baharu apabila Presiden Parlimen Eropah, Antonio Tajani ‘masuk campur’ dengan menegaskan ti­ada mana-mana pihak yang akan mengiktiraf kemerdekaan wilayah itu.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Krisis politik di Catalonia kini memasuki fasa baharu apabila Presiden Parlimen Eropah, Antonio Tajani ‘masuk campur’ dengan menegaskan ti­ada mana-mana pihak yang akan mengiktiraf kemerdekaan wilayah itu.

Beliau turut bertegas bahawa pungutan suara untuk memerdekakan Catalonia daripada Sepanyol adalah tidak sah dan ‘kekacauan’ politik di wilayah itu perlu dipulihkan segera.

Malah beliau telah memaklumkan kepada pengantara daripada Kesatuan Eropah (EU) iaitu krisis tersebut adalah isu dalaman Sepanyol.

Oleh yang demikian jelasnya, keputusan Sepanyol untuk mengadakan semula pilihan raya di Catalonia selepas pemimpin wilayah itu membuat pengisytiharan kemerdekaan sendiri adalah ‘perkara paling tepat untuk dilakukan’ ketika ini.

“Pilihan raya itu nanti akan membolehkan penduduk Catalonia menentukan kerajaan mana yang mereka mahukan dan semua perkara ini perlu dibuat berlandaskan Perlembagaan Sepanyol.

“Penegasan kita (EU) jelas, tiada mana-mana pihak yang akan mengiktiraf Catalonia sebagai sebuah negara merdeka. Referendum yang dijalankan baru-baru ini bertentangan dengan undang-undang,” katanya.

Pihaknya juga mengharapkan sesi dialog dapat dijalankan bagi menyelesaikan situasi yang dianggap getir itu.

“Ini bukan bermakna EU boleh bertindak sebagai pengantara dalam menyelesaikannya kerana ini isu dalaman negara,” tambahnya.

Sementara itu, pemimpin pemisah Catalonia, Carles Puigdemont dalam kenyataan ringkasnya bagaimanapun dikatakan akan terus berusaha untuk ‘membina sebuah negara yang bebas’ yang dipercayai merujuk kepada proses memerdekakan Catalonia.

Stesen penyiar wilayah, TV3 turut memaparkan rakaman pemimpin pemisah Catalonia itu berucap di atas podium dengan berlatarbelakangkan bendera Catalan dan EU tanpa bendera Sepanyol.

Dalam pada itu, kerajaan Sepanyol didakwa mengalu-alukan penyertaan Puigdemont dalam pilihan raya baharu itu yang dijadual berlangsung pada Disember ini.

Seorang jurucakap kerajaan, Inigo Mendez de Vigo berkata, Puigdemont masih mempunyai hak untuk bergiat aktif dalam bidang politik walaupun telah disingkirkan dalam menerajui wilayah itu.

“Saya pasti penyertaan Puigdemont dalam pilihan raya itu nanti membolehkan sistem demokrasi dalam kalangan pembangkang dipraktikkan,” kata­nya.

Hasil tinjauan yang dijalankan sebuah akhbar tempatan Sepanyol, El Pais menunjukkan, lebih ramai penduduk Catalonia iaitu 52 berbanding 43 peratus mahu Parlimen dibubarkan bagi membolehkan pilihan raya diadakan. – AGENSI


Artikel berkaitan

Kirim komen anda

E-mel anda tidak akan dipaparkan. Sila isi tempat bertanda *

*

Mesej Haji 2017 Dari Pemimpin Tertinggi Iran
We are All Zakzaky