Majma' Ahlulbayt Keluar Kenyataan Kecam Pembunuhan Beramai-Ramai Di Myanmar

  • News Code : 852830
  • Source : ABNA24
Brief

Susulan kemuncak krisis di Myanmar dan permulaan semula siri pembunuhan beramai-ramai ke atas umat Islam Rohingya di negara Asia Tenggara pertubuhan Majma' Jahani Ahlulbayt (a.s) telah mengeluarkan sebuah kenyataan yang mengecam tragedi kemanusiaan ini sambil menggesa masyarakat antarabangsa untuk bangkit mengambil tindakan yang sesuai dalam rangka menyelesaikan krisis tersebut.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Susulan kemuncak krisis di Myanmar dan permulaan semula siri pembunuhan beramai-ramai ke atas umat Islam Rohingya di negara Asia Tenggara pertubuhan Majma' Jahani Ahlulbayt (a.s) telah mengeluarkan sebuah kenyataan yang mengecam tragedi kemanusiaan ini sambil menggesa masyarakat antarabangsa untuk bangkit mengambil tindakan yang sesuai dalam rangka menyelesaikan krisis tersebut.

Sebahagian daripada kenyataan itu menyatakan bahawa "Bangsa Rohingya yang teraniaya telah berada di bawah cengkaman kezaliman dan jenayah selama bertahun-tahun atas alasan kewarganegaraan mereka. Rentetan jenayah yang dilakukan oleh pihak pelampau Buddha, serta angkatan tentera yang mana kedua-duanya disokong oleh kerajaan Myanmar, rumah, masjid dan kedai-kedai kaum Muslim Rohingya dibakar dan dengan penuh kebencian mereka dihalau keluar daripada rumah serta tanah air mereka."

Kenyataan itu turut menyentuh tentang peranan kaum Wahhabi Takfiri di dalam penindasan yang berlaku di Myanmar. "Selain daripada pihak pelampau Buddha (yang memainkan peranan utama di dalam tragedi ini), peranan kumpulan Wahhabi dan Takfiri juga tidak boleh dilupakan. Kumpulan ini yang disokong dengan 'petrodolar' negara-negara Teluk, telah mengukuhkan sentimen Islamofobia di seluruh dunia. Kegagalan mereka untuk tidak menunjukkan sebarang sifat belas kasihan kepada kaum Muslim, Kristian, Buddha mahupun kepada penganut mana-mana agamapun juga mengeruhkan situasi dunia Islam. Permainan mereka yang turut dipantau oleh gerakan Zionis antarabangsa telah memprovokasi sesetengah pihak serta memberikan mereka alasan untuk melakukan jenayah termasuk yang dapat dilihat di antara kaum pelampau Buddha dan kaum Muslim Rohingya."

Teks penuh Pengisytiharan Majma' Jahani Ahlulbayt (a.s) adalah seperti berikut:

بسم الله قاصم الجبارین

Dengan kepasifan dunia Barat dan institusi-institusi global yang terikat dengan kuasa angkuh dunia, sebuah jenayah ke atas umat Islam di Rohingya di negeri Rakhine, Myanmar telah bermula semula.

Bangsa Rohingya yang tertindas sudah bertahun-tahun dihantui kezaliman dan jenayah atas alasan kewarganegaraan mereka. Rentetan jenayah yang dilakukan oleh pihak pelampau Buddha, serta angkatan tentera yang mana kedua-duanya disokong oleh kerajaan Myanmar, rumah, masjid dan kedai-kedai kaum Muslim Rohingya dibakar dan dengan penuh kebencian mereka dihalau keluar daripada rumah serta tanah air mereka sendiri.

Menurut perangkaan rasmi yang terkini, seramai 400 orang terkorban sepanjang minggu lepas sahaja. Angka yang dicatat sejak lima tahun yang lalu turut menunjukkan bahawa ratusan ribu mangsa telah terkorban kerana akibat dibunuh ataupun lemas kerana tenggelam di lautan. Jumlah mereka yang melarikan diri dari Myanmar turut mencecah jutaan orang.

Majma' Jahani Ahlulbayt (a.s), sebagai sebuah institusi yang terdiri daripada ratusan cendekiawan dan tokoh Muslim yang datang dari seluruh pelusuk dunia ingin mengundang penduduk dunia untuk memberikan perhatian kepada beberapa perkara di bawah.

1. Intipati agama adalah "tauhid", "akhlak", "cinta" dan "hidup berdampingan secara damai dengan sesama manusia". Oleh itu, mana-mana kumpulan atau kerajaan yang terlibat di dalam jenayah pembunuhan manusia dengan mengatasnamakan agama adalah pendusta semata-mata.

2. Hak kewarganegaraan bagi setiap individu yang berkongsi tanah air adalah hak asasi manusia yang paling jelas bagi setiap negara yang mana konvensyen antarabangsa turut menegaskan perkara ini.

3. Jika sesebuah negara menafikan kewarganegaraan sesetengah pihak di negara itu, mereka masih tidak mempunyai hak untuk membunuh, membakar, ataupun menghalau mereka.

4. Di kala trend terkini menunjukkan bahawa banyak negara di dunia mula menerima pendatang asing dan pelarian yang tiba dari kawasan perang, adalah sangat mengejutkan bahawa kerajaan Myanmar, menolak dan membunuh warganya sendiri yang telah tinggal di bumi itu sejak berdekad lalu atas dengan cara yang tidak berperikemanusiaan dan semua itu dilakukan di atas alasan bahawa mereka bukanlah bangsa Myanmar.

5.Selain daripada pihak pelampau Buddha (yang memainkan peranan utama di dalam tragedi ini), peranan kumpulan Wahhabi dan Takfiri juga tidak boleh dilupakan. Kumpulan yang disokong dengan Petrodolar negara-negara Teluk ini telah mengukuhkan sentimen Islamofobia di seluruh dunia. Mereka juga tidak menunjukkan sebarang sifat belas kasihan kepada kaum Muslim, Kristian, Buddha mahupun kepada penganut mana-mana agamapun. Permainan mereka yang turut dipantau oleh gerakan Zionis antarabangsa telah memprovokasi sesetengah pihak serta memberikan mereka alasan untuk melakukan jenayah termasuk yang dapat dilihat di antara kaum pelampau Buddha dan kaum Muslim Rohingya.

6. Sementara itu, kerajaan Amerika Syarikat dan seluruh kuasa besar dunia yang sering menjerit kepada seluruh dunia ketika berhadapan dengan keganasan puak pelampau Islam telah memilih untuk berdiam-diri ataupun bersikap pasif di hadapan pembunuhan beramai-ramai yang sudah bertahun lamanya berlaku di Myanmar. Mereka juga sering meluahkan kenyataan yang tidak sesuai dan mengambil kedudukan yang bermuka-dua di dalam isu ini.

7. Kami menyeru Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan kerajaan-kerajaan Islam untuk menghalang pembunuhan beramai-ramai tersebut dengan mengenakan tekanan ke atas kerajaan Myanmar dan juga organisasi hak asasi manusia (supaya mereka bertindak sewajarnya). Seperti yang dinyatakan oleh Imam Khamenei di dalam mesej Haji 2017 beliau: "Mempertahankan golongan minoriti Muslim yang tertindas, seperti mereka yang berada di Myanmar, adalah tugas pemerintah negara-negara Islam, tokoh politik, keagamaan dan kebudayaan di dunia Islam."


8. Di samping memberi amaran kepada kerajaan Myanmar berhubung akibat buruk daripada kezaliman ini, kami juga mengundang pihak-pihak terlibat untuk berdialog dan menyelesaikan krisis tersebut mengikut kerangka moral dan undang-undang antarabangsa.

9. Kami juga menyeru kepada mereka yang cintakan kebebasan dan seluruh kaum Muslim untuk meneriakkan suara protes mereka kepada seluruh dunia melalui pelbagai cara. Mungkin masih terdapat hati nurani masih bersedia untuk mendengarnya sekaligus menghalang sebarang bentuk penindasan ke atas manusia dengan mengatasnamakan agama. 

الَّذينَ أُخرِجوا مِن دِيارِهِم بِغَيرِ حَقٍّ إِلّا أَن يَقولوا رَبُّنَا الله وَلَولا دَفعُ الله النّاسَ بَعضَهُم بِبَعضٍ لَهُدِّمَت صَوامِعُ وَبِيَعٌ وَصَلَواتٌ وَمَساجِدُ يُذكَرُ فيهَا اسمُ اللَّهِ كَثيرًا وَلَيَنصُرَنَّ الله مَن يَنصُرُهُ وَمَساجِدُ يُذكَرُ فيهَا اسمُ اللَّهِ كَثيرًا وَلَيَنصُرَنَّ الله مَن يَنصُرُهُ إِنَّ الله لَقَوِيٌّ عَزيز

Surah Hajj Ayat ke-40

Majma' Jahani Ahlulbayt (a.s)

14 Syahrivar 1396

/315


Artikel berkaitan

Kirim komen anda

E-mel anda tidak akan dipaparkan. Sila isi tempat bertanda *

*

mourning-of-imam-hussain
Mesej Haji 2017 Dari Pemimpin Tertinggi Iran
We are All Zakzaky
Telegram