Filipina Temui 22 Mayat Militan Pro Daesh

  • News Code : 859774
  • Source : Bernama
Brief

Tentera Filipina telah menemui sejumlah 22 mayat anggota militan pro-Daesh di dua bangunan yang digunakan sebagai kubu kumpulan terbabit di bandar Marawi, lapor agensi berita China Xinhua.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Tentera Filipina telah menemui sejumlah 22 mayat anggota militan pro-Daesh di dua bangunan yang digunakan sebagai kubu kumpulan terbabit di bandar Marawi, lapor agensi berita China Xinhua.

Sementara itu, seorang leftenan tentera telah dibunuh seorang penembak curi pada Isnin ketika tentera berjaya menawan semula "sebuah kubu musuh yang terkenal" berhampiran Tasik Lanao di utara Marawi, kata jurucakap tentera Restituto Padilla.

Pertempuran untuk merampas semula kedua-dua bangunan berlanjutan selama beberapa hari.

"Kami tidak dapat menembusi bangunan terbabit kerana masih terdapat saki-baki penentang. Kami hanya berjaya membersihkannya semalam atau awal hari ini," katanya pada Rabu.

Pasukan tentera turut merampas lapan senjata api berkuasa tinggi di kawasan itu termasuk dua RPG (bom tangan roket), empat raifal tempur M-16, selaras raifal tempur F-4, selaras raifal tempur M-14 dan berpuluh-puluh alat letupan reka ganti (IED).

"Ini merupakan pangkalan di mana pemberontak terbabit menghasilkan IED yang telah digunakan di kawasan lain yang mereka kuasai," kata Padilla pada satu sidang media.

Tentera Filipina menganggarkan terdapat kira-kira 40 pejuang militan di bandar itu dan mereka menggunakan kira-kira 42 tebusan termasuk "sejumlah besar kanak-kanak" sebagai perisai.

Kawasan dikuasai pemberontak kian mengecil kepada kurang daripada lima hektar.

"Pembersihan bangunan terbabit kini semakin lancar," katanya sambil menambah terdapat kira-kira 150 bangunan dikuasai musuh yang perlu dibersihkan.

"Kami perlu menimbang semua faktor ketika melakukan serangan sejak beberapa hari lepas atau beberapa minggu lepas kerana keselamatan tebusan masih menjadi keutamaan dalam setiap operasi agar mereka boleh diselamatkan," katanya.

Menurut tentera, konflik yang berlaku pada Mei itu setakat ini telah meragut lebih 1,000 nyawa termasuk 160 anggota pasukan keselamatan kerajaan, 802 ekstremis dan 47 orang awam. - Bernama


Artikel berkaitan

Kirim komen anda

E-mel anda tidak akan dipaparkan. Sila isi tempat bertanda *

*

Mesej Haji 2017 Dari Pemimpin Tertinggi Iran
We are All Zakzaky
Telegram