A.S Akan Bayar Harga Yang Tinggi Jika Tinggalkan JCPOA: Rouhani

A.S Akan Bayar Harga Yang Tinggi Jika Tinggalkan JCPOA: Rouhani

Presiden Republik Islam Iran, Hassan Rouhani mengatakan bahawa Washington akan membayar harga yang tinggi jikalau Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump bertindak melaksanakan ugutannya untuk meninggalkan perjanjian nuklear bersejarah yang disepakati di antara Iran dan negara-negara kumpulan P5 + 1 pada tahun 2015.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Presiden Republik Islam Iran, Hassan Rouhani mengatakan bahawa Washington akan membayar harga yang tinggi jikalau Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump bertindak melaksanakan ugutannya untuk meninggalkan perjanjian nuklear bersejarah yang disepakati di antara Iran dan negara-negara kumpulan P5 + 1 pada tahun 2015.

"Dengan meninggalkan perjanjian seperti itu, Amerika Syarikat perlu menanggung beban yang tinggi," kata Rouhani di dalam sebuah wawancara eksklusif dengan Christiane Amanpour daripada CNN di New York pada hari Isnin.

"Saya tidak yakin bahawa rakyat Amerika Syarikat bersedia untuk membayar harga yang tinggi untuk sesuatu yang tidak berguna bagi mereka," kata beliau.

Rouhani yang berada di New York untuk menghadiri sesi tahunan ke-72 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu turut menekankan bahawa sebarang tindakan yang diambil oleh pentadbiran Trump untuk meninggalkan kesepakatan tersebut "tidak akan mendatangkan sebarang faedah untuk Amerika Syarikat."

Rouhani turut memberi amaran bahawa tindakan sedemikian "secara amnya akan melemahkan dan menghakis kepercayaan masyarakt antarabangsa terhadap di Amerika Syarikat."

Rouhani membuat kenyataan tersebut di sebalik kebimbangan yang semakin meningkat berhubung masa hadapan perjanjian nuklear yang dikenali sebagai Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA).

Perjanjian tersebut ditandatangani oleh Iran dan lima negara anggota tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu - Amerika Syarikat, Perancis, Britain, Rusia dan China - ditambah Jerman pada 14 Julai 2015 dan berkuatkuasa pada 16 Januari 2016.

Di bawah JCPOA, Iran bersetuju untuk menghadkan program nuklearnya sebagai pertukaran untuk menamatkan sebarang sekatan berkaitan dengan program tersebut yang sebelum ini dikenakan ke atas Tehran.

Trump yang menentang perjanjian nuklear tersebut secara terang-terangan dalam kempen pilihan rayanya, mengancam untuk "mengoyakkan" perjanjian itu sambil mendakwa bahawa perkara itu merupakan sebuah "kesepakatan terburuk yang pernah dirundingkan."

Ketegangan semakin meningkat di antara Tehran dan Washington sejak Trump memasuki Rumah Putih dengan setiap pihak menuduh pihak yang lain gagal menghormati semangat JCPOA.

Amerika Syarikat yang merupakan salah sebuah entiti yang terlibat secara langsung di dalam perjanjian nuklear tersebut kini dilihat berusaha mencari alasan untuk menamatkan komitmennya.

Dalam usaha mereka untuk mengganggu kesepakatan itu, Rumah Putih baru-baru ini cuba untuk mempengaruhi laporan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) berhubung komitmen Iran.

Duta Besar A.S ke PBB, Nikki Haley pada bulan lalu turut melawat Vienna untuk meminta IAEA mengenakan tekanan kepada Iran supaya Tehran memberikan akses kepada fasiliti ketenteraannya. Sebuah tindakan yang dilihat sengaja dibuat untuk menjejaskan JCPOA.

Di sebalik semua itu, Ketua Pengarah IAEA, Yukiya Amano pada hari Isnin sekali lagi mengesahkan bahawa Iran telah melaksanakan semua komitmennya di bawah JCPOA. -ABNA24

/315


Artikel berkaitan

Kirim komen anda

E-mel anda tidak akan dipaparkan. Sila isi tempat bertanda *

*

conference-abu-talib
Mesej Haji 2018 Dari Pemimpin Tertinggi Iran
We are All Zakzaky