Kenyataan Trump Berhubung Iran Dan JCPOA Sekadar Penghinaan Dan Tohmahan Semata-mata: Presiden Rouhani

Kenyataan Trump Berhubung Iran Dan JCPOA Sekadar Penghinaan Dan Tohmahan Semata-mata: Presiden Rouhani

Presiden Republik Islam Iran berkata bahawa kenyataan terkini Presiden Donald Trump berhubung negaranya dan perjanjian nuklear tahun 2015 (JCPOA) hanya mengandungi kata-kata penghinaan dan tohmahan palsu semata-mata.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Presiden Republik Islam Iran berkata bahawa kenyataan terkini Presiden Donald Trump berhubung negaranya dan perjanjian nuklear tahun 2015 (JCPOA) hanya mengandungi kata-kata penghinaan dan tohmahan palsu semata-mata.

"Kenyataan Trump berhubung Iran... sekadar mengandungi kata-kata penghinaan dan penuh dengan dakwaan palsu ke atas bangsa Iran," kata Rouhani di dalam sebuah ucapan yang disiarkan secara langsung pada hari Jumaat selepas Presiden Trump memberikan ucapannya berhubung Iran dan perjanjian nuklear (JCPOA).

Presiden A.S tersebut enggan mengesahkan perjanjian nuklear tahun 2015 yang ditandatangani di antara Iran dan kumpulan P5+1. Beliau juga memberi amaran bahawa pihaknya mungkin akan membatalkan perjanjian tersebut di sebalik sokongan kuasa besar lain ke atas JCPOA.

Trump berkata bahawa beliau akan memilih untuk tidak mengesahkan perjanjian nuklear yang dipatuhi oleh Tehran itu.  Beliau sebelum ini telah mengesahkan perjanjian itu sebanyak dua kali untuk dinilai oleh Kongres negaranya.

Di sebalik pengumuman itu, Trump belum lagi menarik A.S keluar daripada perjanjian nuklear tersebut. Akan tetapi, beliau memberikan tempoh selama 60 hari kepada Kongres A.S untuk mengambil keputusan sama ada kembali mengenakan sekatan yang sebelum ini ditarik semula berikutan perjanjian itu ataupun tidak.

Perjanjian nuklear yang lebih dikenali sebagai JCPOA itu menyaksikan Iran setuju untuk menghadkan program nuklearnya dan sebagai ganti, A.S dan sekutunya bersetuju untuk membatalkan sekatan yang sebelum ini dikenakan ke atas Tehran kerana program nuklearnya itu.

Tindakan mengenakan semula sekatan berkaitan program nuklear ke atas Tehran akan meletakkan A.S di posisi yang bertentangan dengan sekutu tradisi mereka seperti Perancis, U.K, Jerman dan Kesatuan Eropah yang menyokong kesinambungan perjanjian itu. Selain daripada mereka, China dan Rusia juga memberikan sokongan penuh kepada JCPOA sambil menambah bahawa Iran mematuhi segala komitmennya di bawah perjanjian nuklear tersebut.

Selepas mengkritik Trump kerana merujuk Teluk Parsi sebagai Teluk Arab di dalam ucapannya, Presiden Rouhani menggesa Presiden A.S itu untuk menambah pengetahuannya berhubung sejarah dan geografi dunia dalam rangka meningkatkan pemahaman beliau tentang tanggungjawab antarabangsa serta etika, tata cara dan kebiasaan umum masyarakat dunia.

"Bagaimana (mungkin) seorang presiden belum mengenali nama Teluk Parsi yang terkenal dan bersejarah ini... tempat di mana -malangnya- kapal-kapal perang A.S belayar berulang-kali melaluinya? Beliau sekurang-kurangnya boleh menanyakan daripada para pegawai tentera negaranya tentang nama yang dicatatkan di dalam peta yang mereka gunakan," kata Rouhani.

Rouhani turut mengingatkan A.S berhubung sejarah permusuhan negara itu terhadap Iran dengan berkata; "Beliau sepatutnya mempelajari sejarah dengan lebih baik dan lebih teliti. Kemudian beliau akan mengetahui apa yang mereka (para pegawai A.S) telah lakukan terhadap warga Iran selama 60 tahun lebih dan mengetahui bagaimana layanan mereka ke atas bangsa Iran sepanjang 40 tahun iaitu selepas Revolusi Islam."

Presiden Rouhani turut menolak permintaan Trump untuk menyemak semula JCPOA sambil berkata bahawa perjanjian itu akan kekal dan tiada sebarang artikel yang akan ditambah atau dihapuskan.

Beliau menambah dengan mengatakan bahawa Trump bersendirian tidak mampu untuk membatalkan sebuah perjanjian antarabangsa dengan berkata; "Beliau (Trump) zahirnya tidak memahami bahawa perkara ini (JCPOA) bukanlah dokumen dua hala di antara Iran dan A.S di mana beliau boleh bertindak sesuka hati menurut kehendaknya."

Presiden Iran itu turut berkata bahawa negaranya akan terus mematuhi dokumen tersebut selagi manfaat mereka terpelihara.

Beliau turut mengingatkan dunia bahawa Republik Islam sehingga ini telah bekerjasama dengan Agensi Atom Antarabangsa (IAEA) dan akan meneruskan komitmennya kepada badan itu selagi kepentingan negaranya dipelihara.

"Akan tetapi, jika satu hari nanti kepentingan kami tidak lagi diperhatikan, kami tidak akan ragu walaupun sedetik untuk memberikan jawapan (ke atas pencabulan itu)," kata Rouhani.

Rouhani turut mengkritik pengumuman Trump yang mengenakan sekatan ke atas Tentera Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) dengan berkata; "IRGC adalah sebuah angkatan yang berkuasa dan rakyat sentiasa berdiri di belakang IRGC."

"Siapakah yang membawa kerosakan? IRGC ataupun kerajaan dan angkatan tentera yang sentiasa mencampuri urusan negara-negara merdeka di rantau ini (yang sepatutnya dipersalahkan)?,"

Trump di dalam ucapannya mengumumkan sekatan ke atas IRGC yang menurut dakwaannya telah mengganggu kestabilan di Timur Tengah sekaligus mengancam kepentingan A.S di rantau itu.

Rouhani turut mempersoalkan motif A.S ketika meragui program peluru berpandu Iran sambil berkata bahawa A.S lebih layak dipersoalkan kerana menjual senjata kepada "negara-negara agresif" yang kemudian menggunakan senjata itu untuk menyasarkan warga yang tidak berdosa di rantau itu termasuk di Yaman. -ABNA24

/315



Artikel berkaitan

Kirim komen anda

E-mel anda tidak akan dipaparkan. Sila isi tempat bertanda *

*

Mesej Haji 2017 Dari Pemimpin Tertinggi Iran
We are All Zakzaky
Telegram