Tawaran Rundingan Trump Hanya Publisiti Semata-Mata; Zarif

Tawaran Rundingan Trump Hanya Publisiti Semata-Mata; Zarif

Menteri Luar Republik Islam Iran, Mohammad Javad Zarif berkata bahawa tawaran yang dibuat oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, baru-baru ini untuk berunding dengan Iran berhubung isu nuklear negara Timur Tengah itu tidak lain tidak bukan sekadar sebuah usaha untuk mencari publisiti semata-mata memandangkan pentadbiran Trump menurut beliau tidak boleh dipercayai selepas Washington menarik diri daripada perjanjian nuklear JCPOA sebelum ini.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Menteri Luar Republik Islam Iran, Mohammad Javad Zarif berkata bahawa tawaran yang dibuat oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, baru-baru ini untuk berunding dengan Iran berhubung isu nuklear negara Timur Tengah itu tidak lain tidak bukan sekadar sebuah usaha untuk mencari publisiti semata-mata memandangkan pentadbiran Trump menurut beliau tidak boleh dipercayai selepas Washington menarik diri daripada perjanjian nuklear JCPOA sebelum ini.

Ketika berucap di hadapan hadirin di dalam Hari Wartawan Kebangsaan yang berlangsung di Tehran, Zarif yang merujuk kepada penarikan diri Washington daripada JCPOA berkata "Siapa yang akan percaya bahawa Trump ingin berunding dengan Iran?"

"Waktu yang dihabiskan sepanjang rundingan kami dengan Amerika mungkin belum pernah direkodkan dalam sejarah; tiba-tiba Trump menandatangani sesuatu dan mengatakan bahawa semua [rundingan itu] tidak sah; bolehkah anda berunding dengan orang ini? Adakah ini (tawaran untuk rundingan) sesuatu (yang ihklas) atau sekadar sebuah usaha mencari publisiti semata-mata?" soal beliau kepada mereka yang hadir di dalam perjumpaan hari Isnin itu.

Sambil mengakui bahawa tujuan dan subjek rundingan perlulah jelas (bagi kesemua pihak), ketua diplomat Republik Islam Iran itu menambah dengan mengatakan dengan tegas bahawa "Rundingan perlulah memiliki nilai khusus yang akan menjustifikasikannya."

Menteri Luar Iran juga menyatakan bahawa hampir 60 peratus rakyat Amerika percaya bahawa Washington tidak sepatutnya menarik diri dari JCPOA manakala lebih daripada 180 buah negara lain pula menyatakan sokongan mereka terhadap perjanjian bersejarah tersebut.

Washington berusaha mewujudkan persepsi umum melalui propaganda terbaharu mereka yang menyatakan bahawa rakyat Iran enggan untuk menerima usul Washington untuk berunding dengan Tehran walaupun setelah Presiden A.S sendiri secara terbuka telah menyatakan kesediaan beliau untuk bertemu, kata Zarif.

Presiden Amerika Syarikat itu, pada 30 Julai membuat kenyataan secara terbuka bahawa beliau bersedia bertemu dengan rakan sejawatnya di Tehrann, Hassan Rouhani, "pada bila-bila masa yang mereka mahu."

"Ia [rundingan] baik untuk negara, baik untuk mereka, baik untuk kita dan baik untuk dunia. Tiada prasyarat. Jika mereka mahu bertemu, saya akan berjumpa," kata Trump.

Sebagai reaksi kepada kenyataan bersahaja Presiden Amerika Syarikat, Zarif berkata A.S sepatutnya menyalahkan diri mereka sendiri berhubung penamatan sebarang rundingan kedua-dua negara apabila bertindak sendirian ketika meninggalkan perjanjian JCPOA.

"Iran & Amerika Syarikat sudah berunding selama 2 tahun. Bersama-sama dengan EU / E3 + Russia + China, kami berjaya menandatangani perjanjian multilateral yang unik - JCPOA. Perjanjian itu berjalan dengan baik. A.S hanya boleh menyalahkan diri sendiri kerana menarik keluar dan meninggalkan meja rundingan. Aksi publisiti tidak akan berfungsi. Cuba tunjukkan rasa hormat: buat warga Iran dan juga ke atas untuk komitmen antarabangsa anda," tulis Zarif dalam akaun Twitter rasminya.

Di bahagian lain dalam ucapan beliau, Menteri Luar Iran itu turut berkata bahawa Trump dan sekutu utamanya di Timur Tengah menjadi semakin terpencil akibat daripada dasar mereka terhadap negara Republik Islam tersebut.

"Kebelakangan ini banyak pihak bercakap tentang pengasingan Trump, [Perdana Menteri Israel Benjamin] Netanyahu dan [Putera Mahkota Saudi] bin Salman. Ketiga-tiga mereka adalah lambang kepada konsep penindasan, keganasan dan ketidakpercayaan di dunia ini," kata Zarif lagi.

Beliau menambah bahawa semua negara di seluruh dunia telah mengumumkan bahawa mereka tidak akan mengikut dasar A.S terhadap Iran. Zarif turut berkata, "Faktanya ialah di dalam dunia hari ini, A.S telah menjadi terpencil (akibat daripada dasar mereka terhadap Tehran."

Amerika Syarikat telah mengenakan semula sekatan secara berperingkat terhadap Tehran yang sebelum ini ditarik balik di bawah perjanjian nuklear JCPOA. Perjanjian nuklear tahun 2015 itu telah ditandangani di antara Iran dan kumpulan 5+1. Sekatan pertama ini meliputi kuasa pembelian dolar oleh Tehran, perdagang emas serta logam berharga, dan sektor automotif negara Iran.

Sekatan lebih lanjut mengenai minyak dan transaksi dengan bank pusat Iran akan berkuatkuasa pada 4 November.

Trump pada 8 Mei lalu mengumumkan bahawa Washington telah menarik diri daripada perjanjian nuklear 2015 yang secara rasminya dikenali sebagai Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA) sambil menambah bahawa pentadbirannya merancang untuk mengembalikan semula sekatan nuklear A.S ke atas Iran. Presiden A.S itu turut berjanji untuk mengenakan sekatan ekonomi pada "tahap tertinggi" ke atas Republik Islam tersebut.

Di bawah JCPOA, Iran memberikan komitmen untuk menghadkan program nuklearnya dan sebagai pertukaran pihak terbabit berjanji akan menghapuskan sekatan berkaitan nuklear yang dikenakan terhadap Tehran sebelum ini.

Kesatuan Eropah Kecewa Dengan Tindakan A.S Mengenakan Semula Sekatan Ke Atas Tehran

Kesatuan Eropah pada hari Isnin menyuarakan menyuarakan kekesalan mendalam mereka berhubung tindakan A.S yang mengenakan sekatan semula ke atas Iran sambil memberi jaminan bahawa blok dengan 28 negara anggota itu bersama-sama dengan penandatangan JCPOA yang lain akan terus berkhidmat untuk memastikan bahawa saluran kewangan dengan Iran akan terus terbuka.

Ketua Dasar Luar Negara EU, Federica Mogherini dan Menteri Luar Negeri Jerman, Perancis dan England; Heiko Maas, Jean-Yves Le Drian dan Jeremy Hunt masing-masing membuat kenyataan tersebut di dalam sebuah kenyataan bersama.

"JCPOA berfungsi dan mencapai matlamatnya, iaitu untuk memastikan program nuklear Iran akan terus bersifat damai semata-mata, seperti yang disahkan oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) dalam 11 laporan berturut-turut mereka," baca kenyataan tersebut.

"Ia (JCPOA) adalah sebuah elemen penting dalam kerangka sistem program nuklear tanpa proliferasi secara global yang penting bagi keselamatan Eropah, rantau ini, dan seluruh dunia," katanya.

EU meminta Iran untuk terus melaksanakan sepenuhnya komitmen nuklear mereka di bawah perjanjian nuklear sambil berkata, "Kami bertekad untuk melindungi syarikat Eropah yang terlibat dalam perniagaan yang sah dengan Iran mengikut undang-undang EU dan dengan resolusi Majlis Keselamatan PBB 2231."

"Usaha melestarikan perjanjian nuklear dengan Iran adalah soal menghormati perjanjian antarabangsa dan terkait dengan isu keselamatan antarabangsa," kata kenyataan itu.

Kementerian Luar Negara England pada hari Isnin menulis di dalam Twitter dengan menyatakan bahawa perjanjian nuklear Iran "penting bagi keamanan Eropah, rantau, dan seluruh dunia."


Artikel berkaitan

Kirim komen anda

E-mel anda tidak akan dipaparkan. Sila isi tempat bertanda *

*

Mesej Haji 2018 Dari Pemimpin Tertinggi Iran
We are All Zakzaky