Akhlak Islam Perlu Dijaga Sepanjang Tempoh Pilihanraya: Ayatullah Makarem Syirazi

  • News Code : 826597
  • Source : ABNA24
Brief

Ayatullah al-Uzma Makarem Syirazi pada hari Rabu di permulaan kelas pengajiannya di Qom menekankan perihal kepentingan menjaga akhlak Islam di sebalik kempen pilihanraya presiden Iran yang akan datang.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Ayatullah al-Uzma Makarem Syirazi pada hari Rabu di permulaan kelas pengajiannya di Qom menekankan perihal kepentingan menjaga akhlak Islam di sebalik kempen pilihanraya presiden Iran yang akan datang.

Beliau berkata bahawa ciptaan dan inovasi manusia memiliki sifat seperti pedang bermata dua yang mana ia boleh digunakan di jalan yang benar ataupun salah. Akan tetapi, menurut beliau, kebanyakan masanya perkara itu telah disalahgunakan oleh manusia sendiri.

Dengan menjadikan tenaga nuklear sebagai contoh, Ayatullah Makarem mengatakan bahawa tenaga atom boleh ditukarkan menjadi tenaga elektrik yang akan memenuhi pelbagai keperluan manusia. Akan tetapi, malangnya, tenaga itu juga telah ditukarkan kepada kuasa pemusnah yang kemudiannya digunakan ke atas negara Jepun sekaligus mengakibatkan korban nyawa yang begitu tinggi sekali.

Beliau turut mengingatkan tentang dunia siber yang merupakan salah sebuah inovasi agung di dalam sejarah manusia. Menurutnya, dunia siber mampu menjadi wasilah yang akan membawa manusia ke arah kemajuan dan dalam masa yang sama juga mampu menjadi perkakasan untuk menyebarkan keburukan, pencemaran (spiritual), dosa dan khabar angin yang tidak berasas.

Kini menurutnya, dunia siber memiliki aspek negatif yang lebih besar berbanding dengan kebaikannya. Beliau mengatakan bahawa salah satu aspek buruk dunia siber adalah penyebaran khabar angin yang di sepanjang tempoh kempen pilihanraya (di Iran) menjadi semakin hangat. Di dalam masa yang sama pembohongan dan tohmat juga mula menular di kalangan masyarakat melalui medium yang sama, katanya.

Menurut beliau, wujud sebahagian pihak yang berusaha untuk merosakkan proses pilihanraya sekaligus mengurangkan penyertaan masyarakat di dalam pilihanraya itu dengan menggunakan kaedah yang di atas. Beliau menambah dengan mengatakan bahawa individu seperti tersebut sebenarnya tidak memiliki iman kepada Allah dan hari kiamat.

Di satu pihak, mereka yang menyertai proses pilihanraya dan mahukannya berjaya juga harus berjaga-jaga supaya tidak memulakan khabar angin atapun menyebarkannya, katanya lagi. Menurut beliau, mereka yang melakukan mana-mana perkara itu akan menanggung dosa yang setimpal.

Ayatullah Makarem menambah dengan mengatakan bahawa sepanjang tempoh kempen pilihanraya, khabar angin dan pembohongan tidak boleh dibenarkan berlaku. Menurutnya, para calon juga tidak sepatutnya memberikan janji bohong. Mana-mana individu, menurutnya tidak boleh menganggap bahawa kemajuannya berada di dalam kemusnahan individu yang lain.

Beliau turut menambah dengan mengatakan bahawa pilihanraya Republik Islam Iran perlu berlangsung dengan suasana penuh terhormat, bersemangat, berlandaskan nilai-nilai Islam dan sepastinya bersifat sebagai pematah harapan musuh.

Akhirnya, beliau juga berkata, "Kami tidak akan campur tangan di dalam pilihanraya itu dan tidak akan pernah berbuat demikian. Pilihanraya itu sendiri akan kami perkukuhkan dan dalam masa yang sama menyeru (masyarakat) untuk menyertainya. Kami juga secara mutlak tidak akan berpihak kepada sesiapapun. Jadi, jika terdapat sesetengah individu yang berbohong (berhubung perkara itu), maka mereka perlu menanggungnya."

/315


Artikel berkaitan

Kirim komen anda

E-mel anda tidak akan dipaparkan. Sila isi tempat bertanda *

*

mourning-of-imam-hussain
Mesej Haji 2017 Dari Pemimpin Tertinggi Iran
We are All Zakzaky
Telegram