Hakikat Ikhlas Dari Kaca Mata Ilmu Akhlak

Hakikat Ikhlas Dari Kaca Mata Ilmu Akhlak

Nilai sesuatu amal itu tergantung kepada keikhlasan pelakunya. Ikhlas adalah sebuah perbahasan pokok yang sering ditekankan di dalam agama Islam serta di dalam agama-agama lain. Di dalam ajaran Islam, konsep ini mendapat perhatian khusus di dalam kajian ilmu fiqah, akhlak, falsafah dan irfan yang mana setiap displin ilmu ini pada gilirannya telah mewarnai khazanah ketamadunan ilmu Islam.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Nilai sesuatu amal itu tergantung kepada keikhlasan pelakunya. Ikhlas adalah sebuah perbahasan pokok yang sering ditekankan di dalam agama Islam serta di dalam agama-agama lain. Di dalam ajaran Islam, konsep ini mendapat perhatian khusus di dalam kajian ilmu fiqah, akhlak, falsafah dan irfan yang mana setiap displin ilmu ini pada gilirannya telah mewarnai khazanah ketamadunan ilmu Islam.

Setiap displin ilmu di atas membincangkan konsep tersebut di dalam perspektif yang berbeza selaras dengan subjek dan objektif ilmu itu sendiri. Sebagai contoh, ilmu fikah lebih memberikan fokus kepada syarat penerimaan amalan ibadah itu sendiri di sisi Allah ketika membahaskan konsep keikhlasan. Dalam erti kata lain, ulama ilmu fikah mengkaji implikasi keikhlasan mukallif ke atas amalan ibadahnya.

Adapun, di dalam artikel ini, kita berusaha untuk mengupas konsep ikhlas dari sudut pandang ilmu akhlak. Sebelum pergi lebih lanjut, adalah perlu untuk kita memulakan perbahasan ini dengan melihat hakikat ilmu akhlak itu sendiri melalui takrifan masyhur yang disodorkan oleh para ulama displin ilmu ini sendiri. Dengan itu, kita mungkin akan lebih memahami sudut pandang dan pendekatan yang digunakan oleh ulama ilmu akhlak ketika membahaskan konsep 'ikhlas'.

Menurut Ayatullah Makarem Syirazi, ilmu akhlak adalah ilmu yang membahaskan sifat atau malakah (jiwa manusia) tidak kira sama ada baik atau buruk, akar umbi sifat tersebut dan implikasinya ke atas manusia itu sendiri. Dengan itu, ilmu ini membahaskan sifat-sifat nafsani insan yang diperolehi oleh manusia sepanjang perjalanan kehidupannya melalui tarbiah keluarga, masyarakat dan amalan berulang manusia itu sendiri.

Faktor-faktor ini kemudiannya membentuk malakah atau sifat yang kental di dalam jiwa manusia. Keadaan ruh ini -yang merupakan salah satu subjek penting ilmu akhlak- kemudiannya akan menampakkan tajallinya di dalam perilaku manusia itu sendiri. Sebagai contoh, jika roh manusia itu tertempa dengan sifat tawadhu, kita akan melihat pemiliknya bersikap rendah diri dengan manusia lain dan begitu pula jika jiwanya telah terbentuk dengan sifat takabbur, kita akan melihat orang itu bersikap hidung tinggi dengan anak Adam yang lain ataupun makhluk Allah yang lain.

Niat Asas Kepada Keikhlasan

Selepas mendapat sedikit pencerahan berhubung ilmu akhlak, kita boleh mula membedah konsep ikhlas dengan menggunakan kaca mata cendekiawan ilmu akhlak dan dengan itu mungkin kita akan mampu untuk berharakat atau bergerak dengan program yang sesuai dalam rangka menghiasi roh kita dengan malakah hasanah ini. Pada gilirannya, kita diharapkan akan membawa perubahan di dalam masyarakat dengan menjadi ajen penyebar kebaikan melalui amalan yang selari dengan malakah ini seperti membantu sesama makhluk sejenis tanpa mengharapkan imbalan yang tidak kena pada tempatnya. Walhasil, peningkatan produktiviti, kepercayaan kepada sesama sendiri, dan lain-lain kesan positif akan menghiasi masyarakat kita melalui konsep mudah ini.

Para ulama ilmu akhlak seringkali membahaskan konsep ikhlas yang merupakan salah sebuah daripada fadhilat jiwa secara berpasangan dengan konsep niat. Menurut mereka, mafhum niat membawa makna penting yang mampu memberikan pemahaman yang baik ketika kita berusaha mencerna konsep ikhlas itu sendiri. Salah satu daripada makna yang terkandung di dalam lafaz niat adalah azam yang kukuh dalam melaksanakan sesuatu urusan tanpa mengambil kira tujuan pemilik azam itu sendiri.

Azam yang kukuh merupakan sebuah perkara esensi bagi setiap manusia dalam rangka melakar kejayaan ketika memulakan pekerjaan. Sebab itu, mereka yang tidak memiliki azam yang kuat sering kali meninggalkan kerja mereka separuh jalan apabila berhadapan dengan halangan yang kecil sekalipun. Oleh kerana itulah Ibn Sina ketika menyifatkan makam-makam urafa berkata bahawa iradah yang kuat (azam yang kukuh) adalah makam pertama yang perlu dikecapi oleh seorang pesuluk sebelum beliau mampu membuka pintu makam-makam yang lebih tinggi sepanjang suluknya menuju hakikat.

Berasaskan penerangan di atas, niat seseorang itu mungkin sahaja terhasil daripada tujuannya untuk mencapai objektif kebendaan ataupun tujuan ilahi yang sepastinya lebih mulia daripada yang pertama. Dalam erti kata lain, mafhum niat secara bersendirian di dalam ajaran Islam tidak membawa makna positif atau negatif. Seorang pesuluk sebagai contoh mungkin bersuluk untuk mengejar karamat (dan kelebihan atas manusia lain) atau makam fana fillah. Tanpa mengira apapun tujuan kedua-dua pesuluk itu, mereka sepastinya memerlukan azam yang kukuh di dalam perjalanan mereka dan inilah makna pertama yang diusulkan oleh para ulama berhubung konsep niat menurut takrifan pertama.

Adapaun makna kedua niat adalah konsep yang membezakan dua pelaku sebuah amalan yang zahirnya sama. Sebagai contoh, terdapat dua orang pemuda yang membantu perempuan tua melintas jalan. Pemuda pertama membantu wanita itu demi mendekatkan dirinya kepada Allah sedang pemuda yanng lain melakukan perbuatan yang sama untuk menarik perhatian orang lain terhadap dirinya. Di dalam contoh ini, amalan kedua-dua pemuda itu secara zahirnya sama. Akan tetapi, perkara yang membezakan mereka adalah niat mereka. Dengan contoh ini, diharapkan makna kedua daripada lafaz niat menjadi jelas buat para pembaca.

Dalam erti kata lain, menurut takrifan kedua, niat adalah perbezaan motivasi yang melatari tindakan seseorang ketika memulakan sesebuah amal. Walhasil, dengan memberikan perhatian kepada kedua-dua makna yang dibawa oleh kalimah niat seperti yang telah dinyatakan di atas, kita akan memulakan penelitian terhadap konsep ikhlas yang tiada pisahnya dengan makna-makna di atas.

Definisi Ihklas 

Menurut para ulama, ikhlas bererti membersihkan niat ketika melakukan sebarang amal daripada tujuan yang lain selain daripada Allah itu sendiri. Oleh itu, seorang manusia mungkin sahaja memiliki sebuah azam yang kukuh -niat dengan makna pertama- ketika memulakan pekerjaannya dan dalam masa yang sama memiliki motivasi -makna niat yang kedua- yang lain daripada Allah . Akan tetapi pelakunya tidak akan disebut sebagai memiliki keikhlasan di dalam amalnya. Contoh ini juga memperlihatkan kepada kita akan perihal pentingnya pemahaman ke atas kedua-dua makna niat yang dibahaskan sebelum ini sebelum menakrifkan konsep ikhlas itu sendiri.

Adapun, Syeikh Faidh Kasyani juga memberikan makna yang lebih tajam kepada konsep yang sama. Menurut beliau, ikhlas bererti bahawa niat insan ketika melakukan sesuatu amal telah sama sekali bebas daripada sebarang bentuk syirik sama ada yang jelas (jali) ataupun yang halus (khafi). Di sini beliau berjaya merincikan maksud konsep selain Allah s.w.t di dalam acuan dua jenis kesyirikan yang sering dilihat di dalam perbuatan anak Adam sepanjang kehidupannya di dunia ini.

Di dalam sebuah hadis, Rasul S.A.A.W ketika mengupas maksud ikhlas berkata bahawa "Setiap hakikat memiliki petandanya. Seseorang hamba tidak akan pernah mencapai hakikat ikhlas kecuali ketika dia tidak menyukai manusia lain memujinya ketika melaksanakan amalan ilahinya". Hadis ini mampu melengkapkan pemahaman pembaca kepada konsep ikhlas jikalau maksud dua takrifan konsep ikhlas masih dimendungi oleh awan kekaburan selepas dua takrifan di atas.

Ikhlas Dari Kaca Mata al-Quran ul-Karim 

Quran adalah kitab suci yang menjadi sumber penting ketika para ulama di dalam setiap bidang kajian ilmu (agama khususnya) ingin mengupas sesebuah konsep yang ditawarkan oleh agama suci ini. Ulama akhlak juga mengambil berkah dengan merujuk kepada kitab ilahi ini ketika membincangkan konsep-konsep di dalam displin ilmu mereka sendiri. Oleh itu kita juga akan melihat ayat-ayat yang berkaitan dengan konsep ini seperti yang telah dilakukan oleh cendekiawan bidang ini.

"Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan) agama yang lurus, dan supaya mereka mendirikan shalat dan menunaikan zakat; dan yang demikian itulah agama yang lurus." Bayyinah:5.

Daripada ayat di atas, kita mampu menarik keluar sekurang-kurangnya tiga noktah penting dalam rangka mendalami konsep ikhlas seperti yang dijajakan oleh kitab suci ini.

1) Agama memiliki mafhum yang begitu luas sekaligus mencakupi konsep kepercayaan (akidah) serta amalan zahir (anggota badan-ahkam) dan batin (jiwa-akhlak) manusia.

2) Kata nama di dalam kalimah "Ma Amaru" merujuk kepada kesemua penganut ajaran agama langit atau samawi.

3) Hanya ikhlas, solat dan zakat sahaja yang diperintahkan secara sepunya kepada kesemua penganut ajaran agama samawi.

Dengan memberikan perhatian kepada ketiga-tiga poin di atas, kita mampu mencerap bahawa segala perintah ilahi yang dibawa oleh para Malaikat kepada para Rasul sebelum dituntut untuk diamalkan oleh seluruh penganut ajaran samawi (tidak kira sama ada Yahudi, Nasrani, Mulim atau lain lain) kembali kepada konsep tauhid dan ikhlas semata-mata.

"Oleh itu maka sembahlah kamu akan Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya (dan menjauhi bawaan syirik), sekalipun orang-orang kafir tidak menyukai (amalan kamu yang demikian)". Ghafir:14.

Di dalam ayat di atas, para ulama berkata bahawa ayat yang meletakkan kaum muslim sebagai mukhatabnya ingin menjelaskan bahawa kesyirikan adalah lawan kepada mafhum keikhlasan dan umat Islam dibenci oleh kaum kafir kerana mereka meletakkan Allah sebagai motivasi kepada seluruh pemikiran dan amalan mereka. Kaum kafir yang membenci perkara ini melihat motivasi mereka -khususnya yang terkait dengan kebendaan- berada di dalam bahaya dengan cara pemikiran umat Islam yang bersifat revolusioner itu.

Dalam erti kata lain, pandangan seorang mukhlis adalah pandangan dunia tauhid dan dia akan menjajarkan seluruh perspektif wujudnya dengan ontologi ini. Perkara ini pada gilirannya akan mewujudkan sebuah sistem kemasyarakatan yang bersifat ilahi dan dipenuhi dengan konsep keadilan dan kesaksamaan sepertimana yang dijanjikan oleh Allah di dalam pemerintahan akhir zaman di bawa panji Imam Mahdi a.s.

Prinsip di atas -sama ada ontologi atau sistem kemasyarakatan yang lahir darinya- sama sekali berbeza dengan pandangan materialisme yang meletakkan syahwat sebagai fokus ontologinya. Natijah daripada pandangan dunia materialisme adalah sistem kemasyarakatan yang dipenuhi dengan konsep yang ganas dan tidak berbelas kasihan. Komunisme dan kapitalisme adalah sebahagian daripada contoh yang mampu kita kutip di sepanjang sejarah umat manusia dan para pembaca boleh merujuk kepada pelbagai kitab untuk melihat kebobrokan kedua-dua sistem itu.

Dalam erti kata lain, sistem ontologi ilahi -yang diwarnai oleh konsep keikhlasan- dan ontologi materialisme serta segala natijahnya sentiasa berlawanan di antara satu sama lain sepertimana para Nabi sentiasa memiliki musuh pada zaman mereka dan mungkin inilah yang dimaksudkan dengan "sekalipun orang-orang kafir tidak menyukai (amalan kamu yang demikian)."

"Katakanlah lagi (wahai Muhammad): "Sesungguhnya aku diperintahkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan segala ibadat kepadaNya;" Zumar:11.

Ayat di atas pula meletakkan Nabi Muhammad s.a.a.w sebagai mukhatabnya dan di sini baginda sendiri diperintahkan oleh Allah s.w.t untuk menyembah-Nya dan mengihklaskan seluruh ibadah kepada-Nya semata-mata.

Daripada ayat-ayat di atas serta ayat-ayat lain, kita mampu menarik kesimpulan bahawa keikhlasan adalah asas kepada agama Islam dan konsep ini juga merupakan sebuah rukun penting di dalam kehidupan beragama seseorang muslim. Yakni dia perlu menjadikan Allah sebagai fokusnya dan perkara itu akan menatijahkan kehidupan beragama yang sempurna.

Perbezaan Di Antara Mukhlis Dan Mukhlas

Iblis selepas dihalau daripada saf para malaikat berkata; "... Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya, kecuali di antara zuriat-zuriat Adam itu hamba-hambaMu yang dibersihkan dari sebarang syirik". al-Hijr:39-40.

Ayat di atas menunjukkan betapa kukuhnya kedudukan hamba Allah s.w.t yang telah dibersihkan daripada sebarang bentuk kesyirikan (mukhlas) sehingga Iblis sendiri berputus-asa terhadap mereka. Yakni Iblis dan tenteranya tidak akan pernah mampu untuk menyesatkan kaum mukhlas ini disebalik permusuhan dan makar mereka yang begitu dahsyat dan mendalam ke atas umat manusia.

Quran juga ketika menyifatkan kaum mukhlas berkata bahawa mereka telah diberikan rukhsah daripada menghadirkan diri di dalam mahkamah ilahi pada hari kiamat kelak sedangkan umat manusia ketika itu begitu tertekan menunggu giliran untuk dihisab amalan baik dan buruknya sebelum diputuskan untuk dihantar ke dalam azab neraka ataupun nikmat kekal syurgawi.

"Maka mereka mendustakannya; akibatnya mereka tetap akan dibawa hadir, kecuali hamba-hamba Allah yang dibersihkan dari sebarang syirik (maka mereka akan terselamat, dan mendapat sebaik-baik balasan)". as-Saffat: 127-128.

Soalnya, siapakan gerangan kaum mukhlas ini dan apakah perbezaan di antara mereka dan kaum mukhlis?

Menurut para mufassir, mukhlis adalah mereka yang berusaha semampu mungkin untuk menghilangkan kesyrikan dan motivasi selain daripada Allah daripada wujud diri mereka sedangkan mukhlas adalah mereka yang berjaya menghilangkan seluruh bentuk kesyirikan dengan bantuan dan inayah Allah s.w.t. Dengan itu, golongan kedua secara mutlak telah bebas daripada sebarang bentuk kesyrikan dan telah mereguk makam ikhlas yang paling tinggi sekali.

Daripada penerangan di atas, kita mampu mencerap bahawa syirik (atau ketidak ikhlasan) terdiri daripada dua jenis. Jenis pertama adalah jenis yang mana insan mampu untuk memiliki pengetahuan berhubung dengan kewujudan syirik tersebut dan dengan itu dia juga mampu untuk berusaha dalam rangka membuang malakah buruk itu daripada wujud dirinya. Syrik yang pertama ini juga dikenali sebagai syirik yang jelas (jali) di kalangan para mufassir Quran.

Akan tetapi, jenis syirik yang kedua pula sangat halus sehingga insan mungkin sama sekali tidak menyedari akan kewujudannya. Tanpa sebarang bentuk kesedaran terhadap perkara itu, dia sama sekali tidak akan pernah mampu untuk menyucikan dirinya daripada kotoran tersebut. Oleh itu setelah berjaya membuang kotoran yang jelas (atau jali), anak Adam masih memerlukan bantuan ilahi untuk mencapai makam tertinggi inhlas -iaitu kebebasan daripada syrik khafi- dan bergabung dengan saf para hamba Allah yang mukhlas.

Ketika anak Adam telah tiba pada makam yang terakhir ikhlas, dia sama sekali akan terlindung daripada was-was dan makar syaitan. Bahkan syaitan sendiri telah sama sekali berputus-asa terhadap hamba Allah s.w.t yang mumtaz ini dan perkara inilah yang menurut para ulama cuba diutarakan oleh ayat ke127 dan 128 surah as-Saffat itu tadi.

Jikalau perbahasan ini diteliti dengan baik, pemikiran para pembaca pasti akan tersambung dengan perbahasan konsep ismah (kemaksuman) yang kerap diutarakan di dalam ilmu kalam khususnya ketika membicarakan sifat para Rasul dan Imam yang dilantik oleh Allah s.w.t itu sendiri. Ini kerana ismah adalah sejenis lutf dan inayah Allah sepertimana makam mukhlas itu sendiri.

Dalam masa yang sama, ismah adalah kesucian daripada dosa yang dinisbatkan kepada perbuatan (zahir atau batin) akibat daripada kejauhan makhluk daripada tuhannya. Dalam erti kata lain, makhluk telah melakukan sesuatu tanpa meletakkan Allah sebagai fokusnya. Perkara ini sangat dekat sekali (jikalau tidak sama) dengan konsep ikhlas.

Ikhlas Adalah Kesempurnaan Tauhid

Imam Ali a.s berkata; Permulaan agama adalah makrifat kepada Tuhan, kesempurnaan makrifat pula bergantung kepada pembenaran zat-Nya, kesempurnaan pembenaran zat-Nya pula bergantung kepada pembenaran dan kesaksian terhadap keesaan-Nya (ketauhidan-Nya), dan kesempurnaan tauhid pula tergantung kepada keikhlasan kepada-Nya.

Riwayat di atas mampu menunjukkan perihal pentingnya keihklasan seseorang itu kerana ikhlas menurut Imam Ali adalah kayu ukur kepada keimanan dan keislaman seseorang hamba Allah s.w.t.

/315


Kirim komen anda

E-mel anda tidak akan dipaparkan. Sila isi tempat bertanda *

*

Mesej Haji 2018 Dari Pemimpin Tertinggi Iran
We are All Zakzaky