Imam: Siapa Berhak Menentukannya?

Imam: Siapa Berhak Menentukannya?

Umat Islam dinihari sering dilanda malapetaka daripada pelbagai aspek termasuk aspek kebudayaan, perekonomian, perundangan dan lain-lain. Antara perkara yang dikenalpasti telah menyebabkan berlakunya bencana tersebut adalah ketiadaan pemimpin cemerlang yang mampu membawa umat Islam ke hadapan dengan bertopangkan ajaran Islam yang tulen dan suci itu sendiri. Dalam erti kata lain, umat Islam kini ketiadaan (atau kehilangan) seorang individu yang mampu untuk menyatukan mereka sebelum mengerahkan kekuatan umat untuk berhadapan dengan cabaran yang wujud berdasarkan prinsip agama Islam yang tulen.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Umat Islam dinihari sering dilanda malapetaka daripada pelbagai aspek termasuk aspek kebudayaan, perekonomian, perundangan dan lain-lain. Antara perkara yang dikenalpasti telah menyebabkan berlakunya bencana tersebut adalah ketiadaan pemimpin cemerlang yang mampu membawa umat Islam ke hadapan dengan bertopangkan ajaran Islam yang tulen dan suci itu sendiri. Dalam erti kata lain, umat Islam kini ketiadaan (atau kehilangan) seorang individu yang mampu untuk menyatukan mereka sebelum mengerahkan kekuatan umat untuk berhadapan dengan cabaran yang wujud berdasarkan prinsip agama Islam yang tulen.

Akan tetapi, pelbagai persoalan yang lebih asasi dengan sendirinya akan timbul ketika seseorang itu merenungi isu di atas dengan lebih cermat lagi. Apakah Allah dan Rasul-Nya tidak memikirkan tentang permasalahan ini dan bencana yang akan menimpa umat tanpa kehadiran seorang Imam? Siapakah yang bertanggungjawab melantik Imam umat Islam? Adakah Allah dan Rasul-Nya telah meletakkan wewenang kepada umat untuk melantik pemimpin mereka sendiri setelah kewafatan Nabi itu sendiri? Apakah wujud sebuah mekanisme berhubung perlantikan seorang Imam di dalam agama Islam itu sendiri? Inilah sebahagian daripada persoalan yang akan timbul di dalam benak seseorang ketika dia berfikir dengan mendalam ke atas isu terkait.

Hakikatnya, jawaban-jawaban kepada persoalan di ataslah yang akan membawa kita kepada perbahasan yang lebih asasi berbanding dengan apa yang telah dijelaskan sebelum ini. Walhasil kesemua jawaban ini pada gilirannya akan membawa kita kepada pokok perbahasan iaitu konsep perlantikan Imam bagi umat Islam itu sendiri. Ini kerana jikalau konsep ini masih belum jelas bagi umat Islam, mereka tidak akan pernah mampu untuk berpayung di bawah kepimpinan seorang individu yang sepatutnya memimpin mereka.

Untuk makluman pembaca, umat Islam ketika menanggapi konsep pelantikan Imam telah tebahagi kepada dua kelompok akibat daripada perbezaan pendapat yang wujud di antara mereka. Pertama adalah golongan Syiah Imamiyah yang percaya bahawa pelantikan seorang Imam itu terletak di bawah tanggungjawab Allah S.W.T dan Rasul-Nya sendiri. Golongan kedua yang dikenali sebagai Ahlus Sunnah Wal Jamaah pula beranggapan bahawa permasalahan Imamah adalah permasalahan yang perlu diselesaikan oleh umat itu sendiri dan kaedah ini merangkumi proses pelantikan Imam itu sendiri.

Dengan kata lain, urusan ini perlu ditentukan oleh umat sendiri memandangkan Allah dan Rasul-Nya telah mengembalikan kesemua perkara yang terkait dengan urusan tersebut kepada umat dalam bentuk sebuah taklif syar'i.  Oleh itu tidak berlebihan jika kita merumuskan bahawa Syiah Imamiyah beranggapan bahawa konsep Imamah adalah sebuah perbahasan usul agama Islam sedangkan Ahlus Sunnah Wal Jamaah pula menganggap perkara itu termasuk di bawah perbahasan furu' (cabang) agama itu sendiri.

Kaum Syiah di dalam kitab-kitab mereka dengan jelas menganggap bahawa makam Imamah adalah salah sebuah daripada urusan ilahi dan tanggungjawab seorang penjawat makam itu merupakan kesinambungan daripada tanggungjawab yang digalas oleh Nabi S.A.A.W (kecuali perkara yang berkaitan dengan penerimaan wahyu). Dalam erti kata lain, mereka berpendapat bahawa pelantikan seorang Imam adalah sesuatu yang pasti dari Allah S.W.T itu sendiri dan Rasul S.A.A.W pula bertanggungjawab untuk menyampaikan kehendak Allah tersebut kepada seluruh umat Islam. Di sini satu-satunya taklif syar'i yang berada di atas bahu seorang muslim ialah kewajiban untuk menaati Imam yang telah dilantik oleh Allah dan Rasul-Nya itu tadi.

Berdasarkan pandangan asasi kelompok Syiah Imamiyah ini, mereka secara akli menganggap bahawa persyaratan yang perlu wujud bagi seseorang ketika mahu menggalas makam tersebut perlulah sama dengan persyaratan yang dimiliki Nabi S.A.A.W ketika menguruskan urusan umat Islam di zaman hidup baginda sebagai seorang pemimpin masyarakat Islam di Madinah. Di sini, perspektif kewujudan Nabi S.A.A.W sebagai Imamnya umat juga terserlah di dalam konsep mereka. Oleh kerana itu di dalam doa Tawassul, para penganut mazhab Syiah Imamiyah turut menggelar Nabi S.A.A.W sebagai Imam ar-Rahmah.

Akan tetapi, para pembaca perlu memahami bahawa perspektif ini adalah salah satu daripada titik sepunya yang wujud di antara penganut kedua-dua mazhab. Yakni kedua-dua mazhab percaya akan kepimpinan Nabi S.A.A.W ke atas urusan tadbir umat ketika zaman hidup baginda. Perbezaanya cuma terletak di atas keharmonian sifat yang perlu wujud di antara Imam ar-Rahmah dengan penggantinya sahaja.

Adapaun bagi mengukuhkan argumen dan perkara di atas, para cendekiawan mazhab Syiah Imamiyah turut menyatakan beberapa dalil lain yang menurut mereka mampu mensabitkan poin yang menyatakan bahawa pelantikan seseorang Imam itu terletak di bawah kehendak Allah dan Rasul-Nya dan umat melalui nas-nas agama perlu mencari misdaq mereka yang telah dipilih oleh Allah untuk menyandang tugasan ilahi tersebut.

Tiga Dalil Kenapa Imam Perlu Dipilih Oleh Allah Melalui Perantaraan Nabi S.A.A.W

1) Kekosongan besar dan menakutkan yang wujud di dalam lima perkara setelah kewafatan Nabi S.A.A.W.

Tugas Nabi Muhammad S.A.A.W menurut kedua-dua mazhab tidak terkongkong di dalam menerima dan menyampaikan wahyu semata-mata. Baginda turut melaksanakan sekurang-kurangnya lima perkara asasi lain yang perlu dalam memastikan kelangsungan 'hayat' masyarakat ISLAM. Lima perkara atau tugas asasi yang dilaksanakan oleh Nabi S.A.A.W ketika zaman hidup baginda adalah seperti berikut;

a) Tugas menafsir ayat-ayat suci al-Quran dan menerangkan tujuan serta objektif penurunan ayat-ayat itu sendiri seperti yang dinyatakan oleh Quran itu sendiri; "... Dan Kami turunkan kepadamu Al Quran, agar kamu menerangkan pada umat manusia apa yang telah diturunkan kepada mereka dan supaya mereka memikirkan," Nahl:44.

b) Tugas penghakiman dan pemberian hukum ketika berlaku perbezaan pendapat dan pertembungan kepentingan di dalam masyarakat itu sendiri. Perkara ini turut disentuh oleh Allah S.W.T yang berfirman di dalam kitab suci-Nya; "Sesungguhnya Kami menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab (Al-Quran) dengan membawa kebenaran, supaya engkau menghukum di antara manusia menurut apa yang Allah telah tunjukkan kepadamu (melalui wahyuNya); dan janganlah engkau menjadi pembela bagi orang-orang yang khianat." an-Nisa':105

c) Tugas menerangkan hukum agama secara bertahapan bergantung dengan keperluan yang timbul pada zaman nubuahnya.

d) Menjawab syubhah dan persoalan rumit yang dibawa oleh musuh Islam (seperti kaum Yahudi dan Nasrani)

e) Tugas menjaga agama daripada sebarang bentuk tahrif (perubahan).

Perkara di atas adalah sebahagian daripada tugas yang selama ini dipikul oleh Nabi S.A.A.W ketika hidup bersama umat di Madinah dan tiada siapapun yang boleh mengatakan bahawa tugasan itu tidak perlu lagi diurusi selepas kewafatan baginda. Perkara ini menimbulkan tiga kemungkinan yang mana hanya satu kemungkinan sahaja yang benar manakala dua yang lain adalah batil. Sekarang marilah kita perhatikan kemungkinan-kemungkinan tersebut;

Pertama: Allah S.W.T selepas kewafatan Rasul utusan-Nya tidak mempedulikan kekosongan yang ditinggalkan oleh Nabi S.A.A.W dan bahaya yang mengekorinya. Kemungkinan ini sama sekali sangat lemah memandangkan pemikiran seperti ini sebenarnya bertentangan dengan sifat Hakimnya Allah itu sendiri. Ini kerana tuhan sentiasa memiliki tujuan yang tinggi ketika melakukan sesuatu pekerjaan termasuk pengutusan Nabi itu sendiri dan penciptaan manusia. Pengutusan Nabi serta penciptaan manusia dibuat bagi memberi peluang untuk umat manusia mencapai kesempurnaan mereka melalui pengabdian.

Tindakan tidak mempedulikan kekosongan yang ditinggalkan oleh Nabi Muhammad S.A.A.W sama sekali bertentangan dengan tujuan asli pengutusan Nabi itu sendiri dan penciaptaan manusia. Perkara ini disebut sebagai tindakan yang bertentangan dengan tujuan asli. Sebarang tindakan yang bertentangan dengan tujuan asli tidak mungkin keluar daripada sebuah entiti yang bersifat hakim.

Kedua: Kemungkinan kedua ialah umat Islam dengan berkat usaha berterusan mampu untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Nabi S.A.A.W itu sendiri. Perkara ini perlu dicermati satu persatu kerana kita perlu melihat keberhasilan umat di dalam mengisi setiap tugasan yang ditinggalkan oleh Nabi selepas kewafatannya.

Di dalam bidang tafsir al-Quran, perkara ini sama sekali tidak boleh diterima kerana kitab-kitab tafsir yang ditulis selama ini menunjukkan bahawa terdapat begitu banyak perbezaan pendapat yang terkadang penerimaan kepada tafsiran-tafsiran yang pelbagai itu akan berakhir dengan pemikiran yang bersifat paradoksial. Dalam erti kata lain, umat tidak mampu menggalas tugas penafsiran yang ditinggalkan oleh Nabi. Bahkan realiti ini -perbezaan di dalam penafsiran- menunjukkan kepada kita akan perlunya seorang individu yang dilantik oleh Allah sendiri untuk dijadikan rujukan para ulama ketika ingin memahami maksud sebenar al-Quran.

Berkenaan dengan tugasan kedua dan ketiga, sejarah menunjukkan kepada kita bahawa selain Imam Ali a.s, kesemua pemimpin yang pernah menggalas urusan tadbir ummah telah gagal memenuhi kekosongan yang ditinggalkan oleh Nabi S.A.A.W itu sendiri. Pelbagai hukum yang diberikan terkadang berkahir dengan tragedi yang memilukan dan sebahagian daripada perkara itu telah direkodkan di dalam kitab-kitab sejarah. Begitu juga dengan tugas merincikan hukum yang sebelum ini dilaksanakan oleh Nabi.

Umat setakat ini gagal merincikan hukum-hakam Islam secara mutlak dan kerana itulah perbezaan pendapat dapat dilihat di sepanjang tarikh ilmu fekah. Mereka juga gagal untuk menjawab kesemua permasalahan baharu yang dahulunya tidak timbul. Kegagalan mereka ini menunjukkan bahawa kemungkinan kedua ini gagal untuk mengisi kekosongan kedua dan ketiga ini.

Berhubung dengan kekosongan keempat dan kelima, sejarah memberitahukan kita bahawa kaum Yahudi dan Nasrani kerapkali mendatangi pemimpin Islam seperti Saidina Abu Bakr dan Umar. Mereka sering melontarkan pertanyaan yang bertujuan untuk menimbulkan syubhah semata-mata di dalam ajaran Islam yang masih mentah dan msih memerlukan muallim yang mahir untuk merincikannya. Selain daripada Imam Ali a.s, tiada siapa yang boleh mendakwa bahawa mereka mampu menggalasi cabaran ini dengan sempurna seperti yang dilaksanakan oleh Nabi. Perkara ini diakui oleh Saidina Umar sendiri ketika berkata; Jikalau tiada Ali, maka binasalah Umar.

Umat juga gagal di dalam memastikan agama Islam itu kekal murni daripada sebaragn bentuk tahrif dan perkara ini boleh disaksikan dengan baik dengan kewudujan hadis-hadis Israiliyat yang dibawa oleh sebahagian musuh Islam untuk mengubah ajaran Islam itu sendiri. Hadis-hadis yang merendahkan makam Allah dan para Anbiya' adalah antara contoh terbaik daripada hadis-hadis yang tergolong di dalam kumpulan ini. Sehingga kini umat Islam masih bertungkus-lumus untuk memurnikan kitab-kitab hadis mereka daripada 'jenayah' dunia ilimiah ini.

Ketiga: Kemungkinan ketiga pula menyatakan bahawa Allah S.W.T. dengan mengambil kira kelemahan umat manusia dan keperluan mereka telah menentukan pemimpin yang layak untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Nabi S.A.A.W. Setelah melihat bagaimana kemungkinan pertama bersifat mustahil untuk dinisbatkan kepada Allah yang Hakim dan dalam masa yang sama, Dia juga tidak mungkin akan membiarkan umat menggalas tugasan itu sekalipun dalam bentuk taklif syar'i memandangkan tugasan itu sama sekali berada di luar kemampuan mereka, kita akan sampai kepada kesimpulan bahawa hanya kemungkinan ketiga sahaja yang benar-benar boleh diterima.

2) Bahaya tiga penjuru yang sentiasa menanti umat Islam.

Sejak zaman Rasul Akram S.A.A.W, umat Islam di Madinah berada di bawah ancaman tiga pemain penting di rantau itu. Pertama adalah kerajaan Sassani yang berpusat di Persia, kedua pula adalah kerajaan Romawi Byazantine dan yang ketiga pula adalah bahaya dari kaum musyrik dan munafik. Sepastinya selepas kewafatan Rasul S.A.A.W, bahaya ini tidak akan hilang dengan sendirinya. Nabi S.A.A.W di sepanjang hidupnya berhadapan dengan musuh dan bahaya ini dengan penuh cekal dan kehati-hatian.

Buktinya, Raja Sassani sendiri pernah mengutuskan pembunuh untuk mengambil nyawa Nabi (walaupun mereka gagal berbuat demikian kerana maut lebih cepat mencapai raja tersebut ketimbang Nabi sendiri) dan Nabi S.A.A.W sendiri pernah mengutuskan tentera untuk berhadapan dengan tentera Rom yang mendirikan khemah berdekatan dengan sempadan negara Islam. Di dalam ekspedisi itulah Ja'far Thayyar mereguk kesyahidan dan perkara ini menunjukkan bahaya nyata yang datang dari Constatinople.

Berhubung dengan kaum munafik dan musyrik, perkara ini begitu jelas dan diterima oleh semua pihak sehingga penjelasan tambahan akan hanya meletihkan para pembaca sahaja. Kehadiran dan permusuhan kedua-dua kaum ini ternyata begitu jelas hingga al-Quran berulang-kali menyatakan kewujudan mereka di dalam saf kaum muslim berserta dengan makar jahat mereka yang mahu memusnahkan agama Islam atau sekurang-kurangnya merubah citra asli Islam mengikut hawa nafsu mereka sendiri.

Oleh kerana itu, tidak mungkin baginda sama sekali tidak akan memikirkan bahaya yang akan dibawa oleh tiga unsur ini selepas kewafatannya. Sepertimana Nabi Musa begitu khuatir dengan keadaan umatnya yang berhadapan dengan kaum munafik ketika hendak berkhalwat dengan tuhan selama 40 hari, tidak mungkin sama sekali Nabi Muhammad yang berhadapan dengan tiga dan bukan satu bahaya mengambil sikap sambil lewa dengan ancaman tersebut.

Baginda sepastinya dengan mengambil kira bahaya yang wujud daripada ketiga-tiga unsur ini telah meyiapkan program khusus termasuk perlantikan wasinya sendiri selepas kewafatannya dalam rangka berhadapan dengan cabaran yang dibawa oleh ajen-ajen kegelapan ini. Jikalau kemungkinan sebaliknya -iaitu Nabi tidak memandang berat isu ini selepas kewafatannya- diambil oleh kita, sedar atau tidak kita sebenarnya telah menisbatkan sesuatu kepada Nabi yang mana perkara itu tidak akan pernah kita nisbatkan kepada seorang pentadbir yang normal sekalipun!!! Betapa jauh penisbatan itu daripada sebarang bentuk keinsafan yang patut wujud di dalam umat Nabi Muhammad S.A.A.W itu sendiri.

3) Penentuan Imam oleh Allah adalah sejenis lutf.

Menurut kaedah lutf, adalah 'wajib' bagi Allah untuk menyediakan semua keperluan yang diperlukan untuk manusia dalam rangka mencapai kesempurnaan mereka. Perkara ini merangkumi tindakan pengutusan Nabi, penurunan kitab suci, penanaman fitrah yang sihat dan penentuan Imam yang akan memimpin umat Muhammad S.A.A.W daripada sebarang bahaya yang wujud di dalam jalan mereka untuk menuju kesempurnaan.

Oleh kerana itu, adalah 'wajib' bagi Allah untuk menentukan Imam selepas kewafatan Rasul-Nya dan sememangnya itulah yang diperlukan oleh umat dalam rangka untuk menapaki jalan kesempurnaan mereka. Di sini, sebarang bentuk kelalaian daripada pihak tuahn sama sekali tidak mungkin kerana, perkara ini bukan sahaja bertentangan dengan kaedah lutf. Akan tetapi ia juga bertentangan dengan konsep pengakhiran hujjah (itmam hujjah) di mana jika Allah tidak menentukan Imam selepas kewafatan Nabi, umat mungkin sahaja memberikan alasan pada hari kiamat berhubung kegagalan mereka mencapai kesempurnaan. Alasan mereka pula adalah 'kelalaian' Allah di dalam menentukan pengganti Nabi.

Berasaskan dalil-dalil di atas, para cendekiawan Syiah Imamiyah berpendapat bahawa isu penentuan Imam itu terletak di bawah urusan ilahi dan perkara ini tidak pernah 'dilepaskan' kepada umat untuk menentukan siapa Imam mereka. Berasaskan prinsip inilah mereka berpendapat bahawa perbahasan imamah terletak di dalam perbahasan usul agama dan bukan furu'nya din itu.

Walhasil, menurut pendapat mereka, solusi terbaik kepada kertepurukan umat Islam ini terletak di dalam penerimaan argumen di atas. Ini kerana, hanya Imam yang dilantik oleh Allah dengan segala kemuliaan yang dimiliki-Nya sahajalah yang mampu benar-benar menjawab keperluan umat kepada seorang pemimpin yang mampu menggalas tugas Anbiya' dan sepertimana para Nabi mampu untuk membawa manusia kepada ketamadunan akhir zaman.







Artikel berkaitan

Kirim komen anda

E-mel anda tidak akan dipaparkan. Sila isi tempat bertanda *

*

Mesej Haji 2018 Dari Pemimpin Tertinggi Iran
We are All Zakzaky