Ayatullah Makarem Syirazi.
Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Pope Francis telah menghantar sepucuk surat kepada Ayatullah Makarem di dalam rangka membalas surat ulama Iran yang telah dihantar ke Vatican sebelumnya. Di dalam surat Ayatullah Makarem kepada Pope Francis, beliau memberikan penghargaan kepada ketua mazhab Katolik itu kerana pendiriannya yang tepat tentang sebuah isu yang terkait dengan agama Islam.
Agensi Berita Mehr memberitahu bahawa Pope Francis yang merupakan ketua gereja Katolik telah membalas surat Ayatullah Makarem sambil memberikan penghargaan kepada beliau di atas suratnya yang terdahulu.
Surat Ayatullah Makarem kepada Vatican mengandungi mesej ucapan terima kasih beliau kepada Pope Francis kerana pemimpin terkemuka agama Kristian itu sebelumnya telah menyampaikan pendirian beliau yang tidak menyamakan Islam dengan keganasan.
"Pope Francis dengan gembira telah menerima surat daripada pihak tuan sekaligus mengucapkan terima kasih (kepada Ayatullah Makarem di atas perkara tersebut)." Frasa sebelumnya merupakan salah satu daripada mesej yang dimuatkan di dalam surat Vatican itu.
"Seperti yang telah diketahui oleh Ayatullah Makarem, mesej setiap agama, secara khusus agama yang bersifat monoteistik adalah pengabdian manusia kepada Tuhan secara mutlak sambil melimpahkan rasa cinta dan hormat kepada sesama insan. Oleh kerana itu, melakukan tindakan keganasan dengan mengatasnamakan agama dan Tuhan merupakan penghinaan terhadap Tuhan yang maha besar. Perkara ini juga merupakan sejenis kezaliman terhadap golongan yang tertindas," kata Pope di dalam surat tersebut.
"Oleh itu, adalah penting untuk setiap pemimpin agama pada masa ini untuk bersatu di dalam membantu setiap insan di dalam mempertahankan maruah dan hak-haknya yang sah," tambah beliau.
Semasa lawatan beliau ke Poland, Pope Francis telah menekankan bahawa Islam tidak punya kaitan langsung dengan keganasan dan tidak ada satu agamapun yang sepatutnya dikaitkan dengan keganasan.