Perjalanan ke Iran (1)

  • News Code : 507925
  • Source : The Malaysian Insider
Brief

Jam perjalanan ke Iran yang direntasi agak panjang iaitu 6 jam ke Dubai dan hampir 3 jam dari Dubai ke Tehran. Sebelum ini memang ada penerbangan terus dari KL-Tehran namun perjalanan itu berhenti buat seketika. Kami menaiki pesawat negara MAS dan tiba di Dubai jam 5.45 petang waktu tempatan.

Anggota rombongan

Bersama dalam rombongan kami ialah Timbalan Speaker Datuk Ismail Mohd Said bersama isteri dan Ahli Parlimen Kepala Batas, Datok Seri Reezal Merican manakala pegawai yang menyertai kami dari Parlimen ialah Datuk Rosmee Hamzah sebagai setiausaha Dewan dan Tengku Nasarudin sebagai pegawai daripada pejabat protokol. Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Seri Panglima Ghafor Salleh terpaksa menarik diri saat akhir kerana sakit mata.

Seorang lagi anggota delegasi ialah Ahli Parlimen Masjid Tanah , Mas Ermieyati Samsudin yang menyertai kami esoknya melalui Istanbul kerana urusan lain. Mas Ermieyati juga adalah ketua pergerakan Puteri Umno. Saya satu-satunya peserta delegasi dari blok Pakatan Rakyat namun kami  menyedari bahawa kami membawa membawa misi negara dalam isu yang ada kepentingan negara Islam walaupun sesekali senda gurau kami sepanjang perjalanan ada insuniasi kepartian berbentuk humor.

Singgah Dubai

Penerbangan ke Tehran pada 15 Februari adalah pada awal pagi iaitu pukul 12.55 am dan kami ada antara 5-6 jam transit dan terpaksa berpindah ke terminal lain kerana menaiki penerbangan Emirates untuk ke destinasi akhir kami. Kami disambut oleh Konsul Jeneral Malaysia, Datuk Ahmad Fadil Shamsudin bersama beberapa pegawainya.

Kami membuat keputusan keluar sekitar bandar Dubai sebelum menunggu 6 jam lagi untuk kembali ke Lapangan Terbang. Semuanya disediakan dan kami menikmati jamuan makan malam di Dubai Mall.

Dubai adalah syurga pelabur kerana infrastruktur yang disediakan dan pelaburan besar yang disuntik oleh kerajaan Arab Emarat dan sektor persendirian.

Dubai juga terkesan dengan krisis ekonomi dunia dalam sub-prima krisis melibatkan kejatuhan perbankan dunia namun Dubai bangkit dalam kadar pertumbuhan yang agak sederhana. Ini tidak menghalang infrastruktur bangunan sedia ada menjadi tarikan. Dubai juga menarik daripada sudut populasi kerana majoriti penduduknya adalah pekerja asing pelbagai sektor.

Pekerja Malaysia di pelbagai sektor saja ada hampir 15,000 orang namun undang-undang ketat di Dubai boleh sahaja mematikan visa pekerja seseorang walaupun sudah beberapa tahun melabur di sana. Salah seorang yang menduga nasib di sana ialah peguam muda yang mengukir nama di Malaysia dan kini bertindak sebagai konsultan perundangan dan pelaburan untuk pelabur dari Dubai datang ke Malaysia.

Menikmati `fountain dance’

Jumaat malam Sabtu memang hari pekerja pelbagai warganegara turun bersiar di sekitar Dubai Mall. Tempat menarik ialah tasik besar yang dihiasi dengan pancutan air berirama. Lagu soprano dan rentak baili Arab dan Cina menguasai sekitar dataran sambil pancutan air mengikut rentak lagu setiap setengah jam.

Orang ramai berpusu-pusu di dataran dan sekitarnya sementara kami menikmati makan malam bersama orang ramai dan ketika pertunjukan pancutan air berirama, semua perbualan terpaksa dihentikan kerana terlalu kuat bunyinya.

Kami bergegas setelah menikmati perbualan daripada pelbagai tajuk termasuk politik dalam suasana tanpa tekanan dan jam 10 malam waktu tempatan kami sudah berada di terminal bersedia untuk ke Tehran.

Dingin malam Tehran

2.45 pagi pesawat EK 975 mendarat di Imam Khomeni International Airport dalam suasana yang penuh kedinginan. Kami dibawa ke bilik VIP untuk menunggu urusan bagasi sementara diperkenalkan kepada pihak Kedutaan yang menanti kami. Setiausaha Pertama Muhammad Ridzuan Abu Yazid memberikan sedikit taklimat melalui soal jawab kami tentang Iran dan beberapa isu keselamatan.

Selesai urusan, kami bersedia menuju ke tempat konferensi iaitu di Chamran yang memakan masa 1 jam perjalanan dari lapangan terbang. Di luar cuaca amat sejuk mencecah 5 calcius, kami seperti berada dalam bilik berhawa dingin pada tahap minimum sejuk, bezanya kami tidak boleh keluar kerana keseluruhan bumi Iran berada pada penghujung musim sejuknya.

Nasib baik isteri saya menyediakan jaket tebal dalam bagasi tangan saya, sekurang-kurangnya kemeja tangan pendek yang saya pakai sejak kelmarin mendapat 'perlindungan' daripada cuaca sejuk yang tidak mengenal mangsa.

Bersedia untuk mesyuarat

Jadual kami sebenarnya lambat sehari, jadi kami tiada waktu rehat kerana pagi 15 Februari jam 9 pagi waktu tempatan mesyuarat jawatankuasa pengkhususan akan bermula.

Kami sampai di hotel Azadi jam 5.30 pagi, waktu sarapan 7.30 pagi dan mesyuarat bermula 9 pagi. Jadual agak ketat jadi saya ambil keputusan untuk tidak rehat apatah lagi saya perlu membaca talking points untuk mesyuarat nanti.

Saya diminta berada dalam Jawatankuasa Budaya, Dialog Tamadun dan Agama dan Malaysia menduduki jawatankuasa sebagai anggota tetap yang diputuskan dalam mesyuarat di Palembang pada 2012, dan jawatankuasa lain ialah Ekonomi dan Alam Sekitar, Politik dan Demokrasi dan Hak Wanita dan Kekeluargaan.

Reezal berada dalam jawatankuasa Ekonomi dan Persekitaran, Ismail dalam Jawatankuasa Politik dan Demokrasi manakala Mas Ermieyati dalam Jawatankuasa Wanita dan Keluarga. Jam 9 pagi, saya sudah berada dalam bilik mesyuarat Zamrood untuk menyatakan sikap Malaysia dalam isu berkenaan jawatankuasa saya.

Bilik Mesyuarat Zamrood masih kosong daripada kehadiran perwakilan walaupun jam menunjukkan 9 pagi waktu tempatan dengan hanya pihak penganjur sibuk memastikan bilik kecil penterjemah dan alat pendengar siap digunakan.

Tanda nama Malaysia sebagai anggota tetap siap di tempatnya di mana saya mengambil tempat duduk di sebelah diapit oleh Oman dan Maghrib manakala di depan saya ialah Mesir dan Indonesia. Kertas sikap Malaysia dan cadangan untuk tambahan berselerak di depan saya, apatah lagi tajuk dialog tamadun dan antara agama sememangnya menjadi minat utama saya selama ini.

Mesyuarat bermula

Wakil Senegal dilantik menjadi pengerusi manakala pihak sekretariat sebagai setiausaha. Agenda mesyuarat ialah membaca draf resolusi dalam tiga bahagian iaitu  Budaya, Dialog dan Pemeliharaan Bangunan Bersejarah di mana ada 10 draf resolusi yang perlu dibaca dan diberikan persetujuan untuk dibawa ke Jawatankuasa Induk lalu diadaptasi nanti dalam resolusi konferensi besar pada 18 dan 19 Februari. Kami akan bahas dan jika ada point baru untuk ditambah akan diberi peruntukan untuk dibaiki dalam deraf yang muktamad nanti.

Pandangan Iraq dan Syria

Syria bukanlah anggota tetap jawatankuasa ini, mereka adalah anggota pemerhati begitu juga Iraq namun atas kepentingan isu mereka diberi ruang untuk bercakap dahulu. Kedua-dua negara ini bercakap tentang peranan beberapa negara Arab yang mendorong berlakunya suasana huru-hara di negara masing-masing.

Kemasukan pejuang luar Syria dan Iraq dikaitkan mendapat sokongan kewangan Arab Saudi dan beberapa negara Teluk termasuk fatwa takfir dari Saudi yang menghalalkan darah sesama Islam menjadi tajuk perbahasan.

Syria bercakap menggunakan teks manakala Iraq menuntut supaya draf resolusi memasukkan isu takfir dan campur tangan sebahagian negara Telok yang menyebabkan pembunuhan sesama Islam di kedua-dua negara ini.

Saya bercakap kemudian dengan menjelaskan sikap Malaysia dalam hal hubungan antara agama dan realiti Malaysia hadapi berbeza dengan negara Islam lain daripada sudut komposisi. Saya menyatakan pengalaman Malaysia masih di tahap lebih baik dalam menguruskan hubungan ini dengan mengambil sikap terbuka walaupun tidak dinafikan ada pihak yang salah guna isu ini.

Malaysia mencadangkan supaya sebab kepada keganasan antara agama dan kaum mesti diselesaikan juga melalui perundangan yang melibatkan hak kebebasan memberi pandangan dan kebebasan beragama.

Negara OIC perlu ada perundangan ini di sebalik pendekatan dialog yang melibatkan semua pihak. saya berkongsi konsep Artikel 3 dan 11 yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan termasuk UNDHR dan resolusi PBB mengecam sebarang bentuk indiskrimanasi atas sebab agama.

Perbahasan wehdah ummah

Pandangan saya dipersetujui oleh Oman, Iran dan Iraq  namun isu perbalahan antara mazhab dan sesama Muslimin tidak ditegaskan. Fatwa yang memudaratkan hubungan termasuk takfir perlu diberi perhatian dalam resolusi.

Saya menambah bahawa dialog antara mazhab juga penting dan semua ulama yang berpengaruh diminta untuk mengadakan pertemuan lalu semua pihak mengeluarkan sikap kedamaian yang dianjurkan Islam bagi melahirkan kesatuan tanpa mengira mazhab termasuk Sunni ataupun Syiah. 

Kesatuan Parlimen OIC mesti mendesak seruan dialog antara mazhab dan pertemuan ulama bagi menghentikan kegilaan membunuh sesama saudara Islam di Iraq dan Syria termasuk di Yaman. Jadi tambahan baru Malaysia bersesuaian dengan semangat wastiyah dan politik dialog dipanjangkan pada persada dunia Islam.

Tiada bangkangan dan oleh kerana Iraq dan Syria bukan anggota tetap maka Malaysia meminta cadangan mereka yang bertulis untuk dimasukkan dalam deraf akhir nanti bagi mewakili pandangan mereka.

Alhamdulillah Malaysia juga memainkan peranan mendamaikan pandangan untuk dimurnikan selari dengan semangat Kesatuan Parlimen ini dan mencadangkan supaya diterima pandangan Iraq dan Syria dari Malaysia dengan tambahan dialog antara mazhab dan pertemuan ulama untuk semangat wehdah ummah.

Bersiar

Tengah hari mesyuarat ditangguhkan dan kebanyakan isu dan khususnya memperbaiki deraf resolusi dengan tambahan hanya perlu dibuat oleh jawatankuasa teknikal sekretariat. Kami bebas pada hari itu dan bersetuju untuk makan tengah hari di luar dan ambil kesempatan melihat bandaraya Tehran dan kawasan luarnya yang berbukit diselaputi puncaknya dengan salji.

Muhammad Ridzuan Abu Yazid, pegawai pertama kedutaan dan Syed, seorang lagi pegawai membawa kami di tempat yang indah untuk menikmati makan tengah hari kami dengan makanan tempatan. Kabab Bakhtiari dengan nasi digaul margerin dan terong lenyek dan zaitun jeruk bersama roti taftun semuanya membawa kenangan lama semasa saya membesar selama 4 tahun di Iran.

Kami juga bersiar di kawasan Firdausi yang kedainya penuh dangan jualan barangan buatan kulit tempatan Mashadi yang terkenal. Matawang Riyal Iran (IRR) menjunam kesan dasar boikot masyarakat dunia sehingga USD1 bersamaan 25.000.00 IRR. Kami menjadi jutawan segera dengan menukar duit ke IRR dan terpaksa tunjuk duit kami untuk beli barang kerana wang kertasnya yang bernilai besar.

Bangga

Kami balik ke hotel keletihan kerana tidak cukup tidur dan jet-lag, saya sendiri menepuk bantal awal dan tidak ingat apa mimpi saya tetapi yang pasti, impian ke Iran kini sudah menjadi kenyataan dan saya bangun awal hari ini (16 Februari). Semasa umur saya 10 tahun saya berpeluang berada di Iran bersama ayahanda saya.

Saya juga sering membuat persembahan budaya ketika majlis hari kebesaran negara Asean dan Malaysia mewakili anak-anak kedutaan dunia. Dulunya saya amat bangga walau dengan memperkenalkan karipap di festival makanan antarabangasa anjuran sekolah saya British International School.

Kini perasaan bangga menjadi rakyat Malaysia di persada konferensi rasmi antrabangsa kekal bertambah, bezanya saya tidak memperkenalkan karipap atau tarian zapin tetapi saya memperkenalkan idea Malaysia ke pasaran dunia untuk melahirkan budaya dialog dan kedamaian sebagai jambatan dalam dunia yang serba kecoh dengan permusuhan dan peperangan yang kita hadapi hari ini. – 22 Februari, 2014.


Liputan Khas Kesyahidan  Pemimpin Tentera Islam  Haji Qasem Soleimani dan Abu Mahdi al-Muhandis
conference-abu-talib
We are All Zakzaky
Tidak Kepada Perjanjian Abad Ini