Mengenali doa al-Iftitah di bulan Ramadhan

  • News Code : 199818
Doa al-Iftitah ini telah diajarkan oleh Imam ke-12 untuk dibaca sepanjang malam-malam dalam bulan Ramadan.

Doa ini terbahagi kepada dua bahagian:

1) Perhubungan manusia dengan Allah.2) Pemimpin yang membimbing kita menuju jalan Allah(Imam maksumin).

Bahagian pertama menceritakan zat ketuhanan, dan menyatakan betapa Allah Maha mengasihani dan mencurahkan kasihNya kepada manusia. Di antara perkara yang disentuh di dalam bab ini adalah seperti berikut:

a) Pujian kepada Allah. Sepertimana dalam gagasan doa lain, doa al-Iftitah dimulai dengan pujian dan sanjungan kepada Allah. Bukan kerana Allah perlukan dipuji sebelum menjawab doa, tetapi demi mengingatkan pembaca doa ini terhadap keagungan Allah dan akibatnya. Oleh itu perasaan gerun terhadap Allah dalam hati yang selalu lalai sentiasa mengiringi pembacaan doa ini.

Permulaan doa juga meletakkan pembacanya bertapak antara harapan dan ketakutan, dan memantulkan kesantunan yang sepatutnya ada pada diri pembaca. Allah sangatlah mengasihani dan sangatlah dahsyat menghukum. Manusia hendaklah tidak berputus asa dan tidak juga terlalu yakin, tetapi mestilah terus bersungguh-sungguh di jalan Allah.

b) Menekankan keesaan Allah. Allah tiada punyai isteri atau anak dan Dia Maha Sempurna, tidak berbelah bahagi kekuasaan dan jagaanNya dalam mengawal alam semesta. Penghuni langit dan syurga adalah kepunyaanNya. Inilah kuasa yang menjadi kepercayaan pembaca doa memohon daripada Allah, sebagaimana layaknya tiada siapa berhak mengubah sesuatu melainkan Dia.

c) Allah Yang Maha Pemurah. Semua khazanah Allah tidak pernah habis, dan ia sentiasa dikurniakan kepada makhlukNya. Keperluan manusia pula sangat besar. Dengan membuka pintu doa, Allah pasti memberikan kunci khazanahNya kepada pemohon. PintuNya selalu terbuka dan tiada doa kepadaNya ditolak tanpa memberi jawapan. Namun manusia pula ramai tidak bersyukur dan sentiasa haloba. Mereka fikirkan doa mereka langsung dikabulkan. Bila ganjaran yang diharapkan tiada berkunjung tiba, maka mereka berpaling.

d) Perhubungan Allah dan manusia sungguh merupakan perhubungan yang aneh. Walaupun manusia perlukan pertolongan Allah dan perlu juga berusaha di jalanNya, ternyata Allah sentiasa menjemput dan sudi menerima kedatangan harapan manusia, Dia lah Yang menunjukkan kasihNya dan mengurniakan pertolongan kepada manusia dalam berbagai cara. Sebagaimana dalam sebuah doa yang dikenali dengan doa Abu Hamzah Thumali Imam ke-4 mengatakan: Pujian bagi Allah yang terus menjawab jika ku seru Dia, walaupun aku enggan menerima panggilanNya, dan pujian kepada Allah yang sudi memberi bila ku pohon padaNya, meskipun aku bakhil bila Dia menyuruhku. Inilah harga renungan buat sesiapa yang menganggap Allah itu adalah Tuhan yang zalim dalam mengatur manusia.

Doa ini merupakan pelajaran terbaik dalam pandangan Islam tentang zat Allah. Tuhan Yang Maha Mengasihani dan pemurah. Yang mengatur manusia lebih baik dan sepatutnya. Umbi perhubungan Allah dan manusia ialah kasih pencipta kepada makhluknya. Terserah kepada manusia mencari dalam hatinya sendiri  tentang balasan dan jawapan kepada penciptanya.

Bahagian kedua: doa ini banyak melontarkan selawat dan salam kepada junjungan Nabi s.a.w. dan para Maksumin. Kemudian membicarakan peranan Imam ke-12 a.s. Di antara perkara yang disentuh dalam bab ini  adalah seperti berikut:

a) Selawat ke atas Nabi s.a.w. Selepas iman kepada Allah SWT, bahagian terpenting dalam agama ialah beriman kepada utusanNya. Selepas mengakui kebesaran dan kedermawanan pencipta, doa ini mengajar kita mengakui kecemerlangan pimpinan yang membimbing menuju jalan Allah. Selawat dicurahkan sebagai tanda kasih dan penghargaan untuk Nabi s.a.w. disertakan juga pengakuan bahawa manusia perlukan simpati dan kasih daripada Allah. Ia juga mengemaskan ingatan terhadap Nabi(s) dan inspirasi untuk menyusuri jalan baginda.

b) Kasihkan para Maksumin. Pewaris baginda (saw) juga harus diingat dalam bacaan doa. Mereka ini adalah pemimpin sebenar seluruh umat Islam yang sememangnya telah dilantik oleh Allah. Kepercayaan dan kasih kepada mereka merupakan perkara yang penting dalam aqidah Islam.

c) Peranan Imam ke-12. Dalam setiap zaman, Allah mengutuskan wakilnya untuk membimbing manusia kepada kebenaran dan keadilan di muka bumi dan Imam ke-12 adalah pemimpin di zaman kita yang bakal tiba menegakkan agama Allah di muka bumi. Bahagian akhir dalam doa al-Iftitah membicarakan kedatangannya, menyiap sediakan orang beriman untuk menyertai penegakan undang-undang Allah di muka bumi.

Doa memohon pertolongan dan kejayaan kepada Imam ke-12 mengingatkan kita sedang menanti kemunculan beliau dan mesti bersedia menyambutnya. Sejenak kita akan disapa kesedaran bahawa tanggungjawab ketika keghaibannya dan betapa pentingnya melatih diri kita sebagai pembantunya. Kita juga mendoakan semoga impian besar kaum muslimin, iaitu tertegaknya sebuah negara yang mementingkan agama Allah dan penghuninya menghina kemunafikan.

Sesungguhnya keimanan kepada Tuhan melibatkan risalah yang dibawa oleh utusanNya dalam mengembangkan agama Allah di dunia. Kesinambungan itu dilanjutkan oleh Imam. Oleh itu hendaklah kita berusaha, beramal dan berdoa untuk kedatangannya di mana manusia dapat mengecap keadilan dan keamanan sebenar serta memenuhi keperluan hanya dibawa pimpinan yang dilantik Allah ini.

Pada dasarnya, kandungan doa ini mempunyai nilai kerohanian dan irfan yang begitu tinggi sekali. Maka itu pembaca doa ini haruslah bukan sekadar membacanya, bahkan hendaklah menghayati dan merenungkan isi kandungan yang tersurat dan tersirat di dalamnya. Dengan haknya keagungan nama-nama Allah yang dan kemuliaan makhluk pilihanNya boleh mengakibatkan banyak masalah yang dihadapi pasti akan dapat menemui jalan keluarnya.

Sesungguhnya kita semua sangat memerlukan doa seperti ini kerana ia mendidik keimanan dan mengatur langkah kehidupan seharian kita. Seharusnya kita mulai merencanakan hidup kita di waktu mendatang saat doa yang indah ini dibaca pada malam-malam Ramadan.


پیام رهبر انقلاب به مسلمانان جهان به مناسبت حج 1441 / 2020
conference-abu-talib
We are All Zakzaky
Tidak Kepada Perjanjian Abad Ini