$icon = $this->mediaurl($this->icon['mediaID']); $thumb = $this->mediaurl($this->icon['mediaID'],350,350); ?>

Bagaimana Syeikh Ahmad Amin Antaki menerima Syiah?

  • News Code : 463799
  • Source : Shia-News
Brief



Siswazah al-Azhar Mesir Allamah Ahmad Amin al-Antaki merupakan salah seorang ulama yang memasuki mazhab Syiah setelah melalui proses kajian ilmu.

Beliau lahir di Ensow, berhampiran Antakiya (Turki) pada tahun 1311 Hijrah. Dalam mukadimah kitabnya "Perjalananku kepada Tashayyu'" [1] beliau mengungkapkan, "Yang menyebabkan aku tertarik dengan Tashayyu' ialah sabda Nabi (s.a.w) kepada seluruh mazhab Islam iaitu:

"Perumpamaan Ahlul Baitku seperti bahtera Nabi Nuh, barangsiapa yang menaikinya akan selamat, barangsiapa yang membelakanginya akan tenggelam." [2]

Aku mendapati, sekiranya aku mengikuti Ahlul Bait (a.s), dan hukum hakam agama aku ambil daripada mereka, tidak syak lagi bahawa aku telah terselamat. Sekiranya aku meninggalkan mereka, dan mengambil hukum hakam agama daripada orang selain mereka, maka tidak syak lagi bahawa aku akan tergolong di kalangan mereka yang sesat."

Dalam usia 40-an, Antaki mendapat gelaran rasmi sebagai salah seorang yang berkedudukan tinggi di Univerisiti al-Azhar. Setelah itu beliau dan adiknya Allamah Muhammad Far'i Amin Antaki bersama-sama berpindah kepada mazhab Syiah.

Segala-galanya bermula apabila Ahmad Amin keluar dari Universiti al-Azhar dan berhijrah ke Syria untuk menetap di sana. Beliau kemudiannya menjadi pemimpin ulama dan guru di kota Halab dengan mengistiharkan dirinya sebagai pengikut mazhab Syiah. Apabila kerajaan menyedari kecenderungannya kepada Syiah, gaji bulanan beliau telah dipotong. Namun sebagai ganti Allah (s.w.t) telah mengurniakan rezeki yang melimpah ruah kepadanya.

Dalam bukunya "Perjalanan ke arah Tashayyu'" muka surat 16 beliau berkata, "Aku dan saudaraku Muhammad Mar'i Amin Antaki telah berbahas tentang mazhab-mazhab. Tatkala berfikir tentang akidah-akidah dan mazhab-mazhab, kami rasa terkejut dengan perselisihan-perselisihan di kalangan empat mazhab Ahlu Sunnah. Kami kehairanan sehinggalah kami datang ke Halab, seseorang yang bersama-sama dalam perjalanan bernama Abdul Qadir memberikan kepada kami buku al-Murajaat karya Sayid Husain Sharfuddin.

Saudara saya yang membaca kitab tersebut, dan meneliti dalil-dalil serta perdebatannya berkata, "Ambillah buku ini dan bacalah, fikir-fikirlah dan pasti kamu terkejut!" Aku menjawab, "Jauhkan buku itu daripadaku, aku tidak memerlukannya. Aku tidak suka kepada mazhab Syiah dan apa sahaja yang berkaitan dengannya, sebabnya aku tidak kenal mereka."

Saudaraku berkata, "Ambillah buku ini dan baca, tetapi tak usah beramal dengannya! Apakah bahayanya dengan membaca buku?" Lantas akupun mengambil kitab itu dan benar-benar menakjubkan, lembaran-lembaran yang aku baca dan dalil-dalilnya merupakan sesuatu yang beharga bagiku. Aku meneliti buku dan isi kandungan debat pengarangnya bersama Syeikh Al-Azhar, Salim Al-Bishri dengan penuh perhatian. Apabila Syeikh al-Azhar bertanyakan sebuah masalah, pengarang telah memberikan jawapan yang cukup memuaskan. Betapa tertibnya aku membaca buku itu sehingga ke lembaran terakhir.

Dengan menyelidik kata-kata kedua-dua ahli ilmu ini, dirayah dan dalil-dalilnya memang benar-benar membuatkan aku tenggelam dalam ketakjuban. Setelah dicermati, jawapan-jawapan pengarang selaras dengan kebenaran, bagiku tidak ada lagi sekecil-kecil keraguan untuk mempertikaikan kebenaran kata-kata pengarang."

"Maka akupun berdebat dengan saudaraku tentang mazhab Syiah. Suatu ketika saudaraku menjadi wakil Sunni sedangkan aku mewakili Syiah. Kamipun menumpukan perhatian kepada debat dan aku berkali-kali melihat kebenaran berada di pihak Syiah. Malah kadangkala saudaraku pula menjadi wakil Syiah dan kami berdiskusi. Aku tetap menganggap kebenaran bersama Syiah. Dengan cara inilah aku berdiskusi dengan saudaraku.

"Tatkala saudara lelakiku menjadi Syiah, dia meminta dalil keabsahan berpegang dengan salah satu mazhab empat Ahlu Sunnah. Aku tidak lagi melihat satupun dalil padaku. Katanya: Apakah dalil untuk beribadat menurut mazhab Syafi'i? Apakah ada ayat al-Qur'an dan hadis? Aku tidak mempunyai sebarang ayat atau riwayat untuk berdalil tentang kesahihan berpegang dengan salah satu mazhab Ahlu Sunnah.

"Kataku: Dalilnya ijma'. Jawab beliau: Ijma' tidak dapat dipakai, kewujudan ijma' adalah mustahil kerana penyokong-penyokong mazhab saling berselisih faham tentang yang mana satu berada dipihak benar. Oleh itu bagaimana mungkin ijma' dalam perkara ini dapat direalisasikan?

"Lantas aku meminta dalil kesahihan mazhab Jaafari, kataku padanya: Apakah ayat dan riwayat tentang kesahihan mazhab ini? Jawabnya: Rasulullah (s.a.w) bersabda: Perumpamaan Ahlul Baitku seperti bahtera Nabi Nuh (a.s), barangsiapa yang menaikinya akan selamat, dan siapa yang membelakanginya akan tenggelam."

Baginda juga bersabda: Sesungguhnya aku meninggalkan kepada kamu dua perkara yang beharga, iaitu kitab Allah dan Ahlul Baitku, yang mana jika berpegang dengan kedua-duanya, kamu tidak akan tersesat selama-lamanya sehinggalah bertemu denganku di a-Haudh. [3]

Hadis ini adalah mutawatir dan masyhur di kalangan Sunni dan Syiah.

Setelah itu beliaupun berdalil dengan ayat al-Quran yang sudah menjadi kesepakatan kedua-dua mazhab Syiah dan Ahlu Sunnah bahawa ayat tersebut berkaitan dengan Ahlul Bait (a.s).

Misalannya ayat:

قُل لَّا أَسْأَلُکُمْ عَلَیْهِ أَجْرًا إِلَّا الْمَوَدَّهَ فِی الْقُرْبَى

Katakanlah, tidak aku minta upah kalian ke atasnya kecuali kasih sayang terhadap kerabat. [4]

Begitu juga ayat:

إِنَّمَا یُرِیدُ اللَّهُ لِیُذْهِبَ عَنکُمُ الرِّجْسَ أَهْلَ الْبَیْتِ وَیُطَهِّرَکُمْ تَطْهِیرًا

Hanyasanya Allah berkehendak menyucikan kenistaan daripada kamu Ahlul Bait, dan menyucikan kamu sebersih-bersihnya. [5]

Akal dan naluriku mewajibkan aku menerima mazhab Syiah dan aku berkata, "Aku tidak mempunyai jalan kecuali berpegang dengan mazhab ini. Hakikatnya, Ahlul Bait adalah mereka lebih mengetahui dengan apa sahaja yang berada di dalam rumah berbanding dengan orang lain. Dengan tatatertib ini, aku tiada pilihan lain lagi, maka kebenaran adalah bersama dengan mazhab Syiah. Akhirnya kamipun mengikuti mazhab Jaafari, tidak ada jalan lain lagi yang tertinggal untuk kami sebagai mana yang diungkapkan Asadi, seorang penyair Syiah:

ومالی الا آل احمد شیعة و مالی الا مذهب الحق مذهب

Tidak ada padaku lagi melainkan Syiah keluarga Ahmad (s.a.w), bagiku tiada lagi mazhab yang hak selain mazhabku.

[1] Cetakan Beirut tahun 1966
[2] Mustadrak Ala al-Shahihayn, jilid 3 muka surat 150 dan lain-lain...
[3] Sunan Tarmizi, jilid 5 muka surat 663, Hadis 3788 dan lain-lain...
[4] Surah Shura, ayat 23
[5] Surah al-Ahzab, ayat 33