9 Disember 2025 - 10:21
Malaysia Nantikan Kelulusan PBB untuk Misi Pengaman di Gaza, Kata Timbalan Menteri

Malaysia sedang menunggu kelulusan daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menghantar kontinjen pengaman ke Gaza bagi misi kemanusiaan dan keselamatan.

Agensi Berita Antarabangsa Ahlul Bait (ABNA): Malaysia sedang menunggu kelulusan daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menghantar kontinjen pengaman ke Gaza bagi misi kemanusiaan dan keselamatan.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari, berkata hasrat itu telah disampaikan kepada Majlis Keselamatan PBB dan kerajaan kini menunggu mandat rasmi sebelum sebarang keputusan muktamad dapat dibuat.

“Kami sentiasa bersedia menghantar pasukan pengaman untuk tugasan antarabangsa dan mempunyai batalion yang bersedia untuk misi seumpama itu.

“Bagi penempatan anggota kami ke Gaza, kita juga perlu mengambil kira persetujuan rakyat Palestin, selaras dengan pendirian Malaysia yang menekankan penyelesaian menyeluruh, kerana keamanan di Palestin memerlukan pendekatan holistik,” katanya.

Adly berkata demikian kepada pemberita di luar sidang Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Beliau menambah bahawa kerajaan terus mematuhi komitmen antarabangsa, termasuk melalui penempatan 150 anggota pengaman di bawah Batalion Malaysia (MALBATT) 850-12 yang sedang berkhidmat di Lubnan, dengan misi dijangka berakhir pada akhir tahun depan.

“Pasukan kami sentiasa bersedia untuk digerakkan ke mana-mana lokasi yang memerlukan misi pengaman antarabangsa,” jelasnya.

Laporan media sebelum ini menyatakan bahawa Angkatan Tentera Malaysia (ATM) masih menunggu arahan rasmi daripada PBB berhubung misi pengaman di Gaza.

Ketua Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Mohd Nizam Jaffar, dilaporkan berkata bahawa ATM berada dalam keadaan bersedia untuk dikerahkan bagi melaksanakan misi tersebut.

Your Comment

You are replying to: .
captcha