Pentadbiran Trump Arah 46 Anggota Kehakiman ‘Bersara’

Pentadbiran Trump Arah 46 Anggota Kehakiman ‘Bersara’

Pentadbiran badan perundangan di Amerika Syarikat (AS) sejak Donald Trump dilantik sebagai Presiden dilaporkan semakin bercelaru dan tidak menentu ketika ini.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Pentadbiran badan perundangan di Amerika Syarikat (AS) sejak Donald Trump dilantik sebagai Presiden dilaporkan semakin bercelaru dan tidak menentu ketika ini.

Terbaharu, tindakan Peguam Negara AS, Jeneral Jeff Sessions meminta baki 46 Ketua Pendakwa Raya Persekutuan yang berkhidmat ketika era bekas Presiden, Barack Obama supaya meletakkan jawatan menjadi tanda tanya dan mengejutkan ramai pihak.

Antara anggota badan kehakiman yang tersenarai termasuk peguam dari Manhattan, Preet Bharara yang sebelum ini dilanjutkan tempoh perkhidmatannya sehingga November depan oleh Trump.

Jurucakap Jabatan Kehakiman AS kemudian mengesahkan perkara tersebut dan mengakui Bharara turut tersenarai dalam kalangan mereka yang diarahkan meletak jawatan.

Bharara sebelum ini mendakwa diberi ‘lampu hijau’ oleh Trump untuk mengekalkan perkhidmatannya selepas kedua-duanya bertemu di Menara Trump pada 30 November tahun lepas.

Walaupun pemilihan ketua pendakwa raya dibuat secara lantikan politik dan permohonan daripada Jabatan Kehakiman AS untuk tujuan itu dianggap sebahagian daripada proses rutin, namun langkah yang diambil dilihat ‘tidak masuk akal’.

Hal demikian kerana dalam setiap pentadbiran baharu, belum pernah mana-mana pemimpin mengarahkan tindakan sedemikian secara serta-merta.

Sementara itu, Trump telah memanggil pemangku Timbalan Peguam Negara, Dana Boente untuk menolak peletakan jawatannya.

Pada masa yang sama, pemimpin itu juga memanggil peguam dari Maryland, Rod Rosenstein untuk mengambil alih jawatan Timbalan Peguam Negara dan kekal dengan jawatan berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, seorang Senator daripada Parti Demokrat, Chuck Schumer memberitahu, arahan meletakkan jawatan itu dianggap sebagai ‘malapetaka’ khususnya melibatkan Bharara.

Sebagai Ketua Peguam kepada Schumer sebelum ini, Bharara banyak membantu dalam penyiasatan kes penyingkiran ramai peguam AS ketika pentadbiran bekas Presiden, George W. Bush pada 2006. – REUTERS


Artikel berkaitan

Kirim komen anda

E-mel anda tidak akan dipaparkan. Sila isi tempat bertanda *

*

Prophet's birthday celebrations
conference-abu-talib
We are All Zakzaky