Trump Rancang Jual Senjata Bernilai Berbilion Dolar Kepada Arab Saudi

Trump Rancang Jual Senjata Bernilai Berbilion Dolar Kepada Arab Saudi

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump bercadang untuk menandatangani kontrak senjata bernilai berbilion dolar dengan Arab Saudi di dalam lawatan yang akan datang ke negara Arab itu. Perjanjian itu dilaporkan merangkumi penjualan sistem peluru berpandu THAAD.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump bercadang untuk menandatangani kontrak senjata bernilai berbilion dolar dengan Arab Saudi di dalam lawatan yang akan datang ke negara Arab itu. Perjanjian itu dilaporkan merangkumi penjualan sistem peluru berpandu THAAD.

Trump dilaporkan akan memulakan siri lawatan antarabangsanya dengan melawat Arab Saudi sebelum menuju ke negara Israel. Menurut sebuah media, tindakan itu menunjukkan kepentingan negara Arab tersebut di dalam polisi antarabangsa pentadbiran Trump.

Presiden Trump dilihat merancang untuk memperkukuhkan hubungan Washington dengan sekutunya di rantau Timur Tengah yang sebelum ini sedikit terjejas berikutan tindakan Obama menandatangani perjanjian nuklear dengan Tehran. Perjanjian tersebut ditentang keras oleh Riyadh dan Tel Aviv yang menganggap Iran sebagai musuh utama mereka di rantau itu.

Beliau juga dilihat cuba untuk meningkatkan kadar penciptaan pekerjaan di negara A.S melalui penjualan senjata kepada Riyadh, lapor Reuters yang memetik sebuah sumber yang tidak dinamakan.

Menurut laporan, Trump akan menawarkan Riyadh sebuah perjanjian dengan Lockheed Martin yang melibatkan penjualan sistem peluru berpandu THAAD bernilai USD 1 bilion. Sistem itu dikatakan sama dengan sistem yang telah dihantar ke Korea Selatan sebelum ini.

Pemimpin Rumah Putih itu juga akan menawarkan Arab Saudi dengan empat buah kapal perang yang akan diletakkan di dalam sebuah pakej perjanjian bernilai USD 11.5 bilion. Jabatan Negara A.S pernah meluluskan perjanjian itu sebelumnya. Akan tetapi, perjanjian itu gagal diteruskan berikutan kegagalan kedua-dua pihak untuk menyetujui beberapa perkara sebelum ini.

Menurut laporan, perjanjian itu akan menyaksikan A.S akan menjual kapal permukaan kecil kepada sebuah negara asing buat kali yang pertama sejak beberapa dekad dahulu. Perjanjian itu digantung di bawah pentadbiran Obama berikutan kebimbangan Washington berhubung isu hak asasi manusia di negara Arab tersebut.

Washington sebelum ini menghadapi pelbagai tekanan untuk menghentikan penjualan senjatanya kepada rejim Riyadh.

Akan tetapi, Setiausaha Pertahanan A.S, James Mattis yang baru-baru ini melawat Riyadh berkata bahawa pentadbiran baharu Washington akan melakukan yang terbaik untuk "melihat Arab Saudi yang kuat."

Trump pada lewat bulan April mengkrtitik Arab Saudi dengan mengatakan bahawa Washington "kehilangan sejumlah wang yang sangat besar dalam rangka mempertahankan Arab Saudi" dan mengatakan bahawa negara Arab itu perlu 'membayar' semula khidmat A.S itu dengan jumlah yang sepadan. -ABNA24

/315


Artikel berkaitan

Kirim komen anda

E-mel anda tidak akan dipaparkan. Sila isi tempat bertanda *

*

Prophet's birthday celebrations
conference-abu-talib
We are All Zakzaky