Sekatan Baharu, A.S Perlu Laksanakan Komitmen Mereka Terhadap Perjanjian Nuklear: Iran

Sekatan Baharu, A.S Perlu Laksanakan Komitmen Mereka Terhadap Perjanjian Nuklear: Iran

Jurucakap Kementerian Luar Iran berkata bahawa program peluru berpandu negara itu sebagai sesuatu yang "sah sepenuhnya" sambil menekankan bahawa tiada siapapun yang boleh menghalang Iran daripada mengamalkan haknya untuk mempertahankan diri.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Jurucakap Kementerian Luar Iran berkata bahawa program peluru berpandu negara itu sebagai sesuatu yang "sah sepenuhnya" sambil menekankan bahawa tiada siapapun yang boleh menghalang Iran daripada mengamalkan haknya untuk mempertahankan diri.

"Program peluru berpandu Republik Islam Iran secara mutlak adalah sah (dari aspek perundangan) dan tidak bertentangan dengan Resolusi 2231 (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu)," kata jurucakap Kementerian Luar Iran, Bahram Qassemi pada hari Jumaat sebagai reaksi kepada tindakan Senat Amerika Syarikat untuk mengenakan sekatan baharu ke atas Tehran.

"Tiada langkah yang mampu menafikan hak Iran daripada (melaksanakan program berkaitan dalam rangka) mempertahankan dirinya," tambah beliau.

Senat A.S pada hari Khamis meluluskan sebuah perundangan yang memperkenalkan sekatan baharu ke atas Iran berhubung program peluru berpandu negara Timur Tengah itu serta beberapa perkara lain.

Perundangan itu walau bagaimanapun masih perlu dibahaskan di Dewan Perwakilan dan ditandatangani oleh Presiden Donald Trump sebelum boleh dikuatkuasakan.

Jurucakap itu berkata bahawa tuduhan ke atas program peluru berpandu Iran yang dinyatakan di dalam usul itu adalah "tidak berasas ataupun sah (dari aspek perundangan)."

"Pihak Angkatan Tentera Republik Islam Iran akan dengan beraninya mempertahankan kepentingan keselamatan negara mereka sendiri dan langkah -sekatan baharu- tidak akan menciptakan sebarang halangan kepada mereka di dalam mencapai objektif tersebut," kata Qassemi lagi.

Dia juga mengatakan bahawa tindakan terbaharu Senat A.S itu bukanlah sesuatu yang "tidak dapat diramal" sebelumnya memandangkan permusuhan berterusan Washington ke atas negara Islam itu.

Qassemi juga menggesa pentadbiran A.S untuk mematuhi sepenuhnya komitmen mereka di bawah perjanjian nuklear JCPOA secara ikhlas. Perjanjian itu ditandatangani di antara Iran dan kumpulan P5+1 termasuk A.S sendiri.

Setiap pentadbiran yang terlibat di dalam JCPOA tidak boleh menolak tanggungjawab mereka dengan menggunakan perundangan dalam negeri mereka sendiri, kata jurucakap itu.

"Memandangkan Republik Islam Iran setakat ini telah memenuhi tanggungjawab mereka secara tepat dan hakikat bahawa Agensi Tanaga Atom Antarabangsa juga telah berulang-kali mengesahkan perkara ini, kesemua pihak (lain) yang menandatangani JCPOA bertanggungjawab untuk memenuhi komitmen mereka sepenuhnya," tambahnya.

Di bawah JCPOA yang ditandatangani pada tahun 2015 di antara Iran dan 5 anggota tetap Majlis Keselamatan PBB -A.S, Rusia, China, Perancis, Britain- serta Jerman, Iran bersetuju untuk mengenakan kekangan ke atas program nuklear Tehran dengan harapan bahawa kesemua sekatan berkaitan program tersebut yang diambil oleh Barat sebelum ini akan dimansuhkan.

Dalam rangka memperkukuhkan JCPOA, Resolusi 2231 turut diterima oleh Majlis Keselamatan PBB.

Di bawah resolusi itu, Iran dipanggil untuk tidak menjalankan sebarang aktiviti berkaitan pembangunan peluru berpandu yang mampu membawa peledak nuklear. Iran pula berkata bahawa mereka tidak pernah terlibat di dalam perkara itu dan tidak mempunyai sebarang peledak tersebut.

Washington walau bagaimanapun telah mengenakan 2 sekatan baharu di bawah pentadbiran Trump berhubung program peluru berpandu Tehran sekaligus menyebabkan Iran mempersoalkan intergriti A.S. -ABNA24

/315


Artikel berkaitan

Kirim komen anda

E-mel anda tidak akan dipaparkan. Sila isi tempat bertanda *

*

پیام رهبر انقلاب به مسلمانان جهان به مناسبت حج 1441 / 2020
conference-abu-talib
We are All Zakzaky
Tidak Kepada Perjanjian Abad Ini