?>

China cari kerjasama kepolisan, keselamatan di kepulauan Pasifik - Dokumen

China cari kerjasama kepolisan, keselamatan di kepulauan Pasifik - Dokumen

SYDNEY: China akan memperoleh perjanjian di seluruh wilayah meliputi 10 pulau di Pasifik membabitkan kerjasama kepolisan, keselamatan dan data komunikasi apabila Menteri Luarnya, Wang Yi dijangka mengetuai mesyuarat di Fiji minggu depan.

Dokumen dilihat oleh Reuters itu menunjukkan, draf komunikasi dan pelan tindakan lima tahun dihantar oleh Beijing ke 10 pulau Pasifik menjelang mesyuarat Menteri Luar pada 30 Mei, mendorong penolakan sekurang-kurangnya salah satu negara yang dijemput.

Ia selepas negara terbabit mengatakan tindakan itu menunjukkan niat sebenar China untuk mengawal rantau itu dan mengancam kestabilan serantau.

Dalam surat kepada 21 pemimpin kepulauan Pasifik, Presiden Negara Bersekutu Micronesia (FSM), David Panuelo, berkata negaranya menolak pelan itu, ekoran kebimbangannya ia boleh mencetuskan Perang Dingin baru antara China dan barat.

Wang Yi akan melawat lapan negara di kepulauan Pasifik antara 26 Mei dan 4 Jun depan, di mana China mempunyai hubungan diplomatik dengan negara terbabit.

Beliau tiba esok di Kepulauan Solomon, yang sebelum ini sudah menandatangani pakatan keselamatan dengan China biarpun mendapat bantahan Australia, Amerika Syarikat (AS), Jepun dan New Zealand, yang bimbang ia boleh mengganggu kawalan keselamatan serantau dan memberikan tentera China bertapak di Pasifik.

Beijing menolak kebimbangan itu dengan menjelaskan, pakatan itu tertumpu kepada kepolisan domestik dan kritikan itu meletakkan negara barat seolah-olah cuba untuk mencampuri urusan dalaman Pulau Solomon.

Kementerian Luar China enggan menjawab permintaan untuk mengulas mengenai dokumen itu, yang dilaporkan buat kali pertama.

Kerajaan FSM, yang mempunyai perjanjian pertahanan dengan AS serta perjanjian kerjasama ekonomi dengan China, juga enggan mengulas mengenai surat itu kepada Reuters.

Perjanjian seluruh rantau yang meliputi keselamatan dan perdagangan antara China dan pulau-pulau di Pasifik akan mengalih tumpuan Beijing daripada hubungan dua hala kepada urusan pelbagai hala, sekaligus meningkatkan kebimbangan Washington dan sekutunya.

Dokumen draf Wawasan Pembangunan Bersama Negara Pulau Pasifik-China, serta pelan tindakan lima tahunnya, sudah diedarkan oleh Beijing sebelum mesyuarat di Fiji.

342/


Kirim komen anda

E-mel anda tidak akan dipaparkan. Sila isi tempat bertanda *

*