?>

Ketua NATO gesa lebih banyak senjata berat dihantar ke Ukraine

Ketua NATO gesa lebih banyak senjata berat dihantar ke Ukraine

THE HAGUE : Negara-negara barat mesti menghantar lebih banyak senjata berat kepada Ukraine bagi menentang kemaraan Russia di timur negara itu, kata Setiausaha Agung Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), Jens Stoltenberg semalam.

"Ya, Ukraine sepatutnya mempunyai lebih banyak senjata berat," kata Stoltenberg pada sidang media di The Hague selepas bertemu tujuh pemimpin sekutu NATO di eropah menjelang sidang kemuncak pentingnya.

Stoltenberg berkata, NATO sudah meningkatkan penghantaran dan mereka akan bertemu di Brussels hari ini untuk menyelaraskan bentuk sokongan seterusnya termasuk persenjataan berat.

"Ini kerana mereka benar-benar bergantung terhadap itu (senjata berat) untuk menentang pencerobohan kejam Russia," katanya.

Ukraine sudah berulang kali memohon senjata berat dari barat, mengkritik beberapa pemimpin eropah kerana gagal menghantar senjata yang disifatkan Kyiv perlu untuk menghalang kemaraan tentera Moscow.

Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte dan Perdana Menteri Denmark, Mette Frederiksen menjadi tuan rumah kepada Stoltenberg dan pemimpin Poland, Romania, Latvia, Portugal dan Belgium menjelang sidang kemuncak NATO di Madrid pada akhir bulan ini.

Perdana Menteri Poland, Mateusz Morawiecki kesal, bahawa barat tidak melakukan secukupnya bagi menyokong negara jirannya, Ukraine.

"Kami tidak melakukan secukupnya untuk mempertahankan Ukraine, menyokong rakyat Ukraine, menyokong kebebasan dan kedaulatan mereka.

"Inilah sebabnya saya menggesa, meminta kamu melakukan lebih banyak lagi untuk menghantar senjata, artileri ke Ukraine. Mereka memerlukan ini untuk mempertahankan negaranya," katanya.

Katanya, negara-negara barat akan dilihat tidak mempunyai kredibiliti jika Ukraine kalah dalam usahanya menentang Russia.

"Ini akan menjadi kegagalan dan malapetaka terhadap Kesatuan Eropah (EU), nilai kami dan NATO," kata Morawiecki. - AFP


Kirim komen anda

E-mel anda tidak akan dipaparkan. Sila isi tempat bertanda *

*