?>

Tentera Nigeria Serang Perhimpunan Aman Di Abuja

Tentera Nigeria Serang Perhimpunan Aman Di Abuja

Pasukan tentera Nigeria telah menyerang perhimpunan protes aman yang menuntut pembebasan tokoh Islam terkemuka negara Afrika itu, Sheikh Ibrahim al-Zakzaky. Beliau dan isterinya telah ditahan sejak lebih dari tiga tahun lepas oleh pihak berkuasa Nigeria.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Pasukan tentera Nigeria telah menyerang perhimpunan protes aman yang menuntut pembebasan tokoh Islam terkemuka negara Afrika itu, Sheikh Ibrahim al-Zakzaky. Beliau dan isterinya telah ditahan sejak lebih dari tiga tahun lepas oleh pihak berkuasa Nigeria.

Menurut sebuah laporan yang dikeluarkan oleh Gerakan Islam Nigeria (IMN), ratusan pengikut setia kepada pemimpin yang terpenjara itu mengadakan perhimpunan di hadapan Dewan Kebangsaan Nigeria di Abuja pada hari Selasa. Perhimpunan harian itu malangnya diganggu oleh pasukan tentera Nigeria yang menyerang para penunjuk perasaan secara ganas.

Tidak ada laporan segera yang menyentuh tentang jumlah mangsa yang cedera atau mereka yang ditahan oleh pihak berkuasa. Akan tetapi, foto-foto yang dimuat naik di laman web rasmi IMN menunjukkan bagaimana beberapa peserta tunjuk perasaan yang mengalami kecederaan sedang sibuk dibantu oleh para peserta yang lain.

Laporan lain turut mendedahkan bahawa pihak polis telah menembak kanister gas pemedih mata ke arah peserta tunjuk perasaan aman tersebut. Menurut laporan itu juga, pihak berkuasa juga bertindak melepaskan tembakan dalam usaha untuk menyuraikan orang ramai.

Saluran televisyen milik negara, NTA mendakwa bahawa sekumpulan penunjuk perasaan daripada IMN cuba memasuki kawasan parlimen, sambil menambah bahawa pihak keselamatan sebelum itu telah menutup semua pintu kompleks tersebut.

Zakzaky yang berusia 66, telah ditahan sejak Disember tahun 2015 selepas pihak berkuasa Nigeria menyerbu kediamannya di bandar Zaria. Di dalam serbuan itu, beliau telah dipukul oleh pihak berkuasa dan rentetan daripada insiden tersebut, mata kirinya dilaporkan telah berhenti berfungsi dengan baik.

Di dalam insiden ganas itu, tiga anak beliau turut kehilangan nyawa mereka dan isterinya sendiri dilaporkan mengalami kecederaan yang serius. Menurut pelbagai laporan, lebih daripada 300 pengikut IMN turut terbunuh.

Sheikh Zakzaky pada April tahun 2018 telah didakwa dengan pertuduhan membunuh, menganjurkan perhimpunan haram, mengganggu ketenteraman awam dan beberapa tuduhan lain. Beliau dengan tegas menolak semua pertuduhan itu.

Laporan terkini turut mengatakan bahawa kesihatannya telah merosot dengan drastik. Di sebalik itu, laporan turut menunjukkan bahawa pihak berkuasa penjara telah menghalangnya daripada mendapatkan rawatan yang diperlukan.

Pada hari Ahad lalu, anak lelakinya, Mohammad, yang sebelum itu melawat bapanya berkata bahawa dia telah terkejut dengan keadaan kesihatan bapanya yang semakin merosot. Dia turut menekankan bahawa bapanya perlu dimasukkan ke hospital sesegera yang mungkin memandangkan "kandungan plumbum dan kadmium yang tinggi telah ditemukan dalam darah bapanya."

Mohammad berkata pihak berkuasa Nigeria tidak mengambil apa-apa tindakan berhubung perkara itu setakat ini dan menuduh bahawa mereka sememangnya berhasrat untuk membunuh bapanya.

Pada hari Jumaat lepas, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Islam (IHRC) yang berpangkalan di UK mengumumkan bahawa mereka telah menerima laporan yang menunjukkan perihal situasi kesihatan Zakzaky yang semakin merosot.

IHRC - yang sebelum ini telah menghantar pasukan perubatan ke Nigeria pada bulan April lepas untuk memeriksa keadaan kesihatan Sheikh Zakzaky dan isterinya - mengatakan bahawa rawatan khusus yang mereka perlukan hanya boleh diakses sepenuhnya di luar negara Afrika tersebut.

Secara berasingan, anggota IMN sebelum ini juga berkata bahawa ulama terkemuka Nigeria itu telah diracun di penjara dan beliau memerlukan rawatan perubatan yang segera di luar negara.

Pada hari Khamis, IMN berkata dalam satu kenyataan bahawa pemimpin kumpulan itu akan menganggap Presiden Nigeria, Buhari Muhammadu sebagai pihak bertanggungjawab "jika ada sesuatu yang buruk berlaku ke atas Sheikh Zakzaky atau isterinya ketika berada di dalam tahanan."

Pada tahun 2016, mahkamah tinggi persekutuan Nigeria telah mengarahkan pembebasan tanpa syarat Sheikh Zakzaky selepas pembicaraan berkaitan. Akan tetapi, kerajaan Nigeria setakat ini enggan membebaskannya. -PRESS TV


Artikel berkaitan

Kirim komen anda

E-mel anda tidak akan dipaparkan. Sila isi tempat bertanda *

*