Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : ABNA24
Selasa

7 Januari 2020

6:39:26 PTG
1000316

Insiden Pijak-Memijak Di Majlis Pengebumian Jeneral Soleimani: Puluhan Terbunuh

Insiden pijak-memijak dilaporkan tercetus ketika majlis pengebumian Leftenan Jeneral Qassem Soleimani yang berlangsung di wilayah kelahirannya, Kerman sekaligus menyebabkan puluhan orang terbunuh.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Insiden pijak-memijak dilaporkan tercetus ketika majlis pengebumian Leftenan Jeneral Qassem Soleimani yang berlangsung di wilayah kelahirannya, Kerman sekaligus menyebabkan puluhan orang terbunuh.

Pir-Hossein Kolivand, ketua Perkhidmatan Perubatan Kecemasan Iran setakat ini mengesahkan bahawa seramai 56 orang peserta majlis itu telah kehilangan nyawa mereka dan sebanyak 213 orang yang lain pula telah dipindahkan ke pusat perubatan di Kerman akibat kecederaan yang mereka alami di dalam insiden tersebut.

Beliau menjelaskan bahawa Menteri Kesihatan, Saeid Namaki yang turut hadir di tempat kejadian kini memantau perkhidmatan bantuan kecemasan secara langsung.

Menurut beliau, ambulans dan para petugas pertolongan cemas telah ditempatkan di seluruh bandar dan kini sedang merawat kecederaan mangsa.

Berhubung perkembangan tersebut, Presiden Iran, Hassan Rouhani telah menyampaikan ucapan takziah beliau kepada keluarga mangsa yang kehilangan orang tersayang.

Beliau juga menugaskan menteri kesihatan dan Naib Presiden Pertama Iran, Es'haq Jahangiri untuk memantau proses rawatan mereka yang cedera serta menyiasat insiden berdarah itu.

Sebelum ini, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump pada awal hari Jumaat telah mengarahkan serangan ke atas konvoi Jeneral Soleimani yang ketika itu berada di Baghdad.

Serangan yang disifatkan Iran sebagai jenayah itu turut mengorbankan Abu Mahdi al-Muhandis, Naib Ketua Pergerakan Mobilisasi Massa Iraq (PMU) serta pengiring mereka. -ABNA24