Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : ABNA24
Jumaat

10 Januari 2020

7:02:21 PTG
1001144

Pesawat Boeing Ukraine Tidak Mungkin Jatuh Ditembak: Agensi Penerbangan Awam Iran

Ketua Agensi Penerbangan Awam Iran menolak laporan yang mendakwa bahawa pesawat Boeing kendalian Ukraine yang terhempas di selatan ibukota Tehran telah ditembak dengan peluru berpandu. dan menyifatkannya sebagai "khabar angin tidak logik".

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Ketua Agensi Penerbangan Awam Iran menolak laporan yang mendakwa bahawa pesawat Boeing kendalian Ukraine yang terhempas di selatan ibukota Tehran telah ditembak dengan peluru berpandu. dan menyifatkannya sebagai "khabar angin tidak logik".

Ketua Agensi Penerbangan Awam Iran, Ali Abedzadeh membuat kenyataan itu di dalam wawancara eksklusif dengan Press TV pada hari Khamis. Beliau turut menekankan bahawa perkara seperti itu sama sekali mustahil dari sudut pandang sains.

"Menurut laporan saksi dan data yang dikumpulkan dari bahagian pesawat, pesawat itu mula terbakar selepas tiga minit penerbangan," kata Abedzadeh kepada Press TV.

"Juruterbang cuba berpatah balik di ketinggian 8,000 kaki. Akan tetapi, pesawat itu terhempas dan meletup akibat kebakaran tersebut," katanya.

"(Berasaskan perkara ini,) kita boleh membuat kesimpulan bahawa pesawat itu -dengan mengambil kira pola terhempasnya dan usaha juruterbang untuk kembali ke lapangan terbang Imam Khomeini- tidak meletup di udara. Jadi, dakwaan bahawa pesawat malang itu telah ditembak dengan peluru berpandu sama sekali tidak boleh diterima," kata pegawai itu.

Ditanya apakah punca kemalangan itu akan ditentukan selepas siasatan, Abedzadeh berkata, "Menurut peraturan antarabangsa, adalah menjadi tanggungjawab negara di mana kejadian itu berlaku untuk menyiasat insiden tersebut. Berdasarkan perkara ini Agensi Penerbangan Awam perlu menggalas tanggungjawab itu."

"Akan tetapi, memandangkan pesawat itu milik Ukraine, pihak Ukraine diwajibkan untuk bekerjasama dengan kami dan (mereka) telahpun memulakan kerjasama yang disebutkan. Pasukan pakar mereka telah tiba di Tehran dan kami telah menyelaraskan isu dengan mereka dalam pelbagai aspek. Pakar Iran dan Ukraine telah mengadakan pertemuan supaya kami dapat menentukan punca kejadian itu dengan kerjasama pihak Ukraine. "

Kenyataannya dibuat selepas pegawai Amerika Syarikat yang tidak dinamakan mendakwa bahawa pesawat penumpang Ukraine telah ditembak jatuh dengan peluru berpandu anti pesawat.

Para pegawai A.S yang tidak dinamakan mendakwa terdapat kemungkinan besar bahawa kapal terbang Ukraine -dengan korban seramai 176 orang- telah ditembak jatuh secara tidak sengaja dengan peluru berpandu anti-pesawat Iran.

Terdahulu pada hari Khamis, menteri jalan raya dan pembangunan bandar Iran menolak khabar angin tersebut dengan menyifatkannya sebagai "tidak benar."

Mohammad Eslami berkata pesawat Boeing 737-800 itu terhempas selepas mengalami kerosakan teknikal.

Eslami berkata Iran tidak akan menyerahkan kotak hitam yang ditemui dari tapak kemalangan kepada Boeing atau mana-mana negara lain.

Pesawat Ukraine yang sedang membuat perjalanan ke Kiev ketika insiden membawa warga Iran, Kanada dan lain-lain ketika terhempas.

Pesawat Boeing itu terhempas beberapa jam selepas Iran melancarkan serangan peluru berpandu ke atas pangkalan. tentera A.S di Iraq sekaligus memberikan alasan bagi beberapa pihak untuk membuat spekulasi bahawa pesawat itu mungkin telah ditembak jatuh oleh sistem peluru berpandu Tehran.

Sementara itu, terdapat juga sumber perisikan asing yang percaya bahawa kemalangan itu mungkin disebabkan oleh kerosakan teknikal.

Lima sumber keselamatan - tiga warga Amerika Syarikat, satu Eropah dan satu Kanada - yang tidak mahu dinamakan, memberitahu Reuters bahawa berdasarkan penilaian awal agensi-agensi perisikan Barat, pesawat itu mengalami kerosakan teknikal dan sama sekali tidak ditembak jatuh oleh peluru berpandu.

Terdapat bukti bahawa salah satu daripada jet enjin pesawat itu beroperasi pada suhu yang terlalu panas, kata sumber Kanada. -Press TV