Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : ABNA24
Jumaat

10 Januari 2020

7:27:28 PTG
1001148

Tentera Amerika Syarikat (A.S) tidak akan selamat sekiranya mereka tetap tinggal di Asia Barat, kata seorang pegawai tinggi dari gerakan Hizbullah yang bercakap ketika sentimen kebencian terhadap Washington memuncak di Lubnan selepas pembunuhan Leftenan Jeneral Iran, Qassem Soleimani dan Abu Mahdi al-Muhandis di tangan tentera A.S.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Tentera Amerika Syarikat (A.S) tidak akan selamat sekiranya mereka tetap tinggal di Asia Barat, kata seorang pegawai tinggi dari gerakan Hizbullah yang bercakap ketika sentimen kebencian terhadap Washington memuncak di Lubnan selepas pembunuhan Leftenan Jeneral Iran, Qassem Soleimani dan Abu Mahdi al-Muhandis di tangan tentera A.S.

"Pentadbiran Amerika yang sombong harus faham bahawa keganasan mereka terhadap warga rantau ini dan pembunuhan Soleimani dan Muhandis tidak akan dapat mengatasi kekecewaan dan kegagalan mereka yang semakin bertimbun di sini. A.S telah kehilangan keagungannya dan keyakinan pihak sekutu terhadap mereka tidak akan mampu dipulihkan," kata Naib Presiden Majlis Eksekutif Hizbullah Sheikh Ali Damoush pada hari Jumaat.

"Paksi Muqawwamah tidak akan terancam, sebaliknya mereka akan terus berusaha untuk membuka topeng yang melindungi wajah sebenar A.S dari warga serantau. Darah Soleimani dan Muhandis akan membuka cakrawala baru buat paksi Muqawwamah untuk menjamin lebih banyak kemenangan yang akan hanya tamat dengan penyingkiran pasukan Amerika Syarikat dari rantau ini secara mutlak."

Sheikh Damoush turut memuji Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) di atas kejayaan mereka melancarkan serangan peluru berpandu balistik ke atas dua pangkalan tentera A.S di Iraq sebagai tindakan balas terhadap pembunuhan itu.

Ulama Lubnan itu seterusnya mengatakan bahawa rantau ini kini terbahagi kepada dua paksi: paksi jahat yang diterajui oleh Amerika Syarikat dan paksi Muqawwamah yang dipimpin oleh Republik Islam Iran.

"Konflik di rantau ini kini menjadi sangat jelas dan pasukan yang terlibat telah terpisah dengan mutlak. Tiada lagi kekaburan di dalamnya. Matlamatnya juga menjadi semakin jelas; iaitu kehadiran ketenteraan A.S di rantau ini. Kehadiran seperti itu tidak akan selamat lagi bagi mereka," kata Sheikh Damoush.

Beliau juga menekankan bahawa upacara pemakaman besar-besaran Jeneral Soleimani yang merupakan pemerintah Pasukan Quds IRGC dan Abu Mahdi yang merupakan Naib Ketua Unit Gerakan Popular Iraq (PMU) di seluruh bandaraya Iraq dan Iran dan di tempat lain telah menghantar mesej yang jelas bahawa warga di rantau ini bersedia untuk berkorban apa sahaja untuk mencapai matlamat mereka. -Press TV