Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : ABNA24
Khamis

16 Januari 2020

5:40:44 PTG
1002950

Iran Kini Memperkayakan Uranium Lebih Banyak Berbanding Sebelumnya: Presiden Rouhani

Presiden Hassan Rouhani mengatakan bahawa Iran kini dalam proses memperkayakan lebih banyak uranium berbanding dengan tempoh sebelum mereka menandatangani perjanjian nuklear dengan kuasa dunia pada tahun 2015 sambil menambah bahawa tindakan itu diambil kerana penandatangan lain perjanjian bersejarah itu gagal memenuhi komitmen mereka.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Presiden Hassan Rouhani mengatakan bahawa Iran kini dalam proses memperkayakan lebih banyak uranium berbanding dengan tempoh sebelum mereka menandatangani perjanjian nuklear dengan kuasa dunia pada tahun 2015 sambil menambah bahawa tindakan itu diambil kerana penandatangan lain perjanjian bersejarah itu gagal memenuhi komitmen mereka.

Mengulas dalam pertemuan tahunan ke-59 Bank Pusat Iran (CBI) pada hari Khamis, Rouhani berkata Tehran tidak lagi berhadapan dengan sebarang sekatan dalam perihal berkaitan dengan tenaga atom.

"Pada hari ini, proses pengayaan [uranium] dilakukan lebih [banyak] dari tempoh [sebelum kesepakatan dicapai] dan kami tidak akan berdiam diri sahaja. Jika mereka [penandatangan lain perjanjian ini] mengurangkan komitmen mereka, kami juga akan melakukan perkara yang sama," kata Rouhani.

Beliau juga berkata bahawa apabila Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump memilih untuk menarik negaranya keluar daripada perjanjian nuklear tersebut, Iran tetap bersabar dan enggan membuat kesilapan yang sama.

Iran, sebaliknya menggesa pihak-pihak yang masih berminat untuk mengimbangi tindakan Washington dan memberitahu mereka bahawa "jika mereka mengimbangi penarikan diri [A.S dari perjanjian itu], kami akan kekal di (dalam acuan kerja) JCPOA, dan jika mereka gagal berbuat demikian, kami akan bertindak sebaliknya dengan mengurangkan komitmen kami," kata Rouhani.

Rouhani berkata Iran mengamalkan "dasar yang sah dan melakukan perkara yang betul," dan dalam masa yang sama mendorong seluruh dunia - bahkan pihak Eropah dan sekutu Trump - untuk mengutuk tindakan presiden A.S serta melabelkannya sebagai sesuatu yang "salah."

Presiden Iran menambah bahawa Tehran membuktikan dirinya melalui acuan kerja JCPOA bahawa mereka berusaha untuk berdialog dengan dunia.

Rouhani sekali lagi mengecam presiden A.S kerana mencabul perjanjian itu dan secara sepihak menarik komitmen mereka (daripada perjanjian itu) sambil mengatakan bahawa tingkah laku Trump yang "tidak dapat diramalkan" telah menimbulkan masalah bukan sahaja untuk Iran, tetapi bagi seluruh dunia.

Ketua eksekutif Iran itu juga mengkritik A.S kerana mengancam pihak Eropah - Perancis, Britain dan Jerman - dan menekan mereka untuk menarik diri dari kesepakatan itu. -Agensi