Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : Berita Harian
Ahad

16 Februari 2020

7:35:51 PTG
1010866

Jerman Tahan 12 Suspek Gerakan Pelampau Kanan Cuba Gugat Kestabilan Politik

Pihak pendakwa raya Jerman mendapat perintah mahkamah untuk menahan 12 lelaki yang diberkas kerana disyaki terbabit dalam komplot untuk menggugat kestabilan politik dengan serangan bersasar.

Agensi Berita Ahlul Bait - ABNA - Pihak pendakwa raya Jerman mendapat perintah mahkamah untuk menahan 12 lelaki yang diberkas kerana disyaki terbabit dalam komplot untuk menggugat kestabilan politik dengan serangan bersasar.

Mereka ditahan Jumaat lalu, empat atas tuduhan menubuhkan gerakan pelampau kanan September lalu manakala lapan lagi kerana menawarkan sokongan kewangan kepada mereka.

Bukti yang menunjukkan mereka merancang untuk menyerang ahli politik, pemohon suaka politik dan umat Islam mendorong hakim memerintahkan mereka ditahan untuk siasatan lanjut.

Sokongan kepada kumpulan pelampau kanan semakin berkembang di Jerman terutama di bekas wilayah komunis di timur berikutan polarisasi dua fahaman politik berbeza menggugat struktur yang membentuk kerajaan sejak Perang Dunia Kedua.

Lelaki berusia antara 20 dan 50 tahun itu menamakan kumpulan mereka ‘Der harte Kern’ atau The Hard Core (Kumpulan Tegar), mengikut laporan akhbar Welt am Sonntag hari ini, yang turut melaporkan mereka ditahan di enam negeri berlainan.

Mereka dibawa ke Mahkamah Persekutuan di Karlsruhe semalam, dengan kepala diselubungi selimut dan dikawal ketat oleh pasukan polis yang berperisai badan serta penutup muka.

Akhbar Welt am Sonntag, yang memetik kenyataan penyiasat, melaporkan bahawa suspek saling mengenali satu sama lain menerusi aplikasi WhatsApp dan kerap mengadakan perjumpaan serta mula dipantau sejak musim panas 2019.

Serbuan polis pula menemui stor simpanan bahan yang boleh digunakan bagi membuat bom, berdasarkan laporan akhbar sama.

Undang-undang Jerman membolehkan individu yang disyaki mahu melakukan jenayah serius ditahan sehingga enam bulan dan boleh dilanjutkan sehingga setahun dalam kes yang serius. - REUTERS