Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : Berita Harian
Rabu

18 Mac 2020

6:20:17 PTG
1018833

COVID-19: Wanita 103 Tahun Berjaya Disembuhkan Di Iran

Wanita berusia 103 tahun di Iran berjaya disembuhkan selepas menjalani rawatan akibat COVID-19, meskipun mereka yang lanjut usia dibuktikan lebih berisiko menderita penyakit itu, lapor Agensi Berita IRNA.

Agensi Berita Ahlul Bait - ABNA - Wanita berusia 103 tahun di Iran berjaya disembuhkan selepas menjalani rawatan akibat COVID-19, meskipun mereka yang lanjut usia dibuktikan lebih berisiko menderita penyakit itu, lapor Agensi Berita IRNA.

Wanita yang tidak didedahkan namanya dimasukkan ke hospital di pusat bandar Semnan kira-kira seminggu.

Ketua Pusat Sains Perubatan Semnan, Navid Danayi berkata, wanita itu bagaimanapun dibenarkan keluar daripada hospital selepas didapati sembuh sepenuhnya.

“Dia adalah pesakit kedua di Iran yang sembuh daripada penyakit itu.

“Sebelum ini seorang pesakit lelaki berusia 91 tahun dari Kerman, selatan Iran,“ katanya kepada agensi berita itu, semalam.

Jelasnya, pesakit itu dirawat selama tiga hari dan dilaporkan sembuh kelmarin (Isnin) meskipun pada awalnya menunjukkan gejala awal masalah kesihatan seperti tekanan darah tinggi dan asma.

Bagaimanapun, laporan itu tidak menjelaskan bagaimana kedua pesakit itu dirawat.

Sejak 19 Februari Iran mengumumkan kematian pertama akibat wabak itu dan sehingga kini membunuh hampir 1,000 orang dengan merebak di 31 wilayah negara itu.

Pesakit lanjut usia antara yang paling terjejas dengan penyakit itu yang pertama kali muncul di China pada penghujung Disember lalu.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia bulan ini menganggarkan COVID-19 mengorbankan 3.4 peratus daripada semua yang dijangkiti.

Namun, pesakit berusia lebih 80 tahun, kadar kematian adalah 21.9 peratus, menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) yang dijalankan dengan kerjasama pihak berkuasa China. - AFP