Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : Berita Harian
Rabu

22 April 2020

3:46:15 PTG
1028825

UK, Jerman Mula Ujian Vaksin COVID-19 Ke Atas Manusia

Perlumbaan mencari vaksin COVID-19 bertambah sengit dengan United Kingdom (UK) dan Jerman memulakan ujian klinikal ke atas manusia minggu ini.

Agensi Berita Ahlul Bait - ABNA - Perlumbaan mencari vaksin COVID-19 bertambah sengit dengan United Kingdom (UK) dan Jerman memulakan ujian klinikal ke atas manusia minggu ini.

Walaupun kini terdapat 150 projek pembangunan vaksin di seluruh dunia, Jerman dan UK adalah antara negara di mana lima ujian klinikal ke atas manusia diluluskan di seluruh dunia.

Di UK, sukarelawan di Universiti Oxford akan menerima dos pertama vaksin yang berpotensi Khamis ini, dihasilkan berasaskan virus yang ditemui pada chimpanzi.

Sementara itu, badan penyelaras Jerman, PEI, membenarkan ujian klinikal ke atas manusia yang pertama, menggunakan vaksin dibangunkan firma Jerman, Biontech dan syarikat Pfizer dari Amerika Syarikat (AS).

Ujian klinikal Oxford akan dikendalikan oleh Institut Jenner, membabitkan 510 sukarelawan berusia antara 18 dan 55 tahun, bagi fasa pertama.

Pengarah Penyelidikan, Prof Sarah Gilbert, menjangkakan vaksin berkenaan mempunyai peluang 80 peratus untuk berjaya dan berharap dapat menghasilkan satu juta dos vaksin menjelang September.

Di Jerman, PEI berkata kelulusan bagi ujian klinikal Biontech adalah langkah penting dalam usaha menghasilkan vaksin secepat mungkin.

fasa pertama akan menyaksikan 200 sukarelawan yang sihat berusia antara 18 dan 55 tahun disuntik dengan variasi beberapa vaksin manakala fasa kedua membabitkan sukarelawan dalam kategori berisiko tinggi.

Ketua Pegawai Eksekutif Biontech, Ugur Sahin, memberitahu sidang media bahawa ujian akan bermula pada akhir bulan ini dan pengumpulan data pertama dijangka pada akhir Jun atau awal Julai.

Biontech berkata syarikat itu bersama Pfizer berharap diberikan kebenaran oleh badan kawal selia bagi melakukan ujian klinikal terhadap manusia di AS.

Manakala PEI pula mendakwa ujian klinikal lanjut vaksin COVID-19 akan bermula di Jerman dalam tempoh beberapa bulan.

Buat masa sekarang, tidak ada vaksin atau ubat yang diluluskan bagi merawat COVID-19 yang sudah mengorbankan lebih 170,000 nyawa dan menjangkiti lebih dua juta orang.

Selain Biontech dan Oxford, tiga lagi ujian klinikal ke atas manusia sudah diluluskan di seluruh dunia sejak pertengahan Mac, dengan syarikat di China dan AS antara yang terawal memulakan langkah itu. - AFP