Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : Berita Harian
Selasa

28 April 2020

4:29:09 PTG
1031159

COVID-19: Wang Kertas Euro Selamat Disentuh

Bank Pusat Eropah (ECB) berkata, tiada risiko yang jelas dijangkiti wabak COVID-19 jika menyentuh wang kertas Euro dengan memetik ujian makmal bahawa virus itu bertahan lebih lama di permukaan lain.

Agensi Berita Ahlul Bait - ABNA - Bank Pusat Eropah (ECB) berkata, tiada risiko yang jelas dijangkiti wabak COVID-19 jika menyentuh wang kertas Euro dengan memetik ujian makmal bahawa virus itu bertahan lebih lama di permukaan lain.

Wang tunai masih banyak digunakan di 19 negara Eropah, tetapi banyak kedai dan perniagaan meminta pelanggan beralih kepada pembayaran menggunakan kad dan kaedah tanpa sentuhan bagi mengelakkan pengendalian bil yang mungkin disentuh orang dijangkiti.

Melalui laman blog, Ahli Lembaga Pengarah Eksekutif ECB, Fabio Panetta, berkata ujian makmal Eropah menunjukkan bahawa kadar tempoh bertahan virus COVID-19 adalah '10 hingga 100 kali lebih tinggi' di permukaan keluli tahan karat seperti pemegang pintu, daripada wang kertas Euro dalam beberapa jam pertama selepas tercemar.

Beliau berkata, analisis lain menunjukkan bahawa virus lebih sukar berpindah daripada permukaan poros seperti wang kertas diperbuat daripada kapas berbanding permukaan licin seperti plastik.

Wang kertas Euro dicetak pada kertas serat kapas tulen, yang menjadikannya tahan dan tidak mudah haus serta lusuh.

"Secara keseluruhan, wang kertas tidak memberikan risiko jangkitan yang ketara berbanding jenis permukaan lain yang disentuh orang ramai dalam kehidupan seharian," kata Panetta dalam blognya.

Bank Pusat China mengumumkan pada Februari lalu bahawa ia menggunakan sinaran ultra lembayung untuk membasmi kuman pada wang kertas dalam usaha untuk mengekang penularan wabak.

Blog Panetta tidak menyebut sama ada ujian makmal dilakukan bagi menentukan risiko jangkitan jika menggunakan wang syiling Euro.

Lebih 340 juta orang di seluruh benua Eropah menggunakan mata wang euro.

ECB berkata, wang tunai kekal menjadi kaedah pembayaran yang dominan bagi pengguna zon ekonomi Kesatuan Eropah (EU) yang membabitkan tiga perempat daripada urusan transaksi.

Ia sangat popular di negara besar seperti Jerman, Itali dan Sepanyol.

Panetta berkata, permintaan terhadap wang tunai tidak dapat diramal ketika krisis pandemik COVID-19 kerana sebilangan orang menyimpan wang di rumah manakala yang lain memilih untuk kurang berbelanja disebabkan perintah berkurung. - AFP