Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : ABNA24
Sabtu

2 Mei 2020

5:50:42 PTG
1032600

COVID-19: Rumah Putih Halang Fauci Beri Keterangan

Rumah Putih semalam menyekat Anthony Fauci, seorang pakar penyakit berjangkit dan tokoh penting dalam tindak balas pentadbiran terhadap COVID-19, dari memberi keterangan di hadapan Kongres, lapor agensi berita Xinhua.

Agensi Berita Ahlul Bait - ABNA - Rumah Putih semalam menyekat Anthony Fauci, seorang pakar penyakit berjangkit dan tokoh penting dalam tindak balas pentadbiran terhadap COVID-19, dari memberi keterangan di hadapan Kongres, lapor agensi berita Xinhua.

"Walaupun Pentadbiran (Donald) Trump meneruskan tindak balas seluruh pentadbiran terhadap COVID-19, termasuk membuka Amerika dengan selamat dan mempercepat pembangunan vaksin, adalah tidak produktif untuk membabitkan individu yang terbabit dalam usaha itu dalam sidang Kongres," Kata wakil setiausaha akhbar Rumah Putih, Judd Deere dalam satu kenyataan.

"Kami komited untuk bekerja dengan Kongres bagi memberikan kesaksian pada waktu yang tepat," tambah kenyataan itu.

Fauci, pengarah Institut Alergi Nasional dan Penyakit Berjangkit, telah dijemput oleh jawatankuasa kecil Peruntukan Rumah Putih untuk memberi keterangan minggu depan, sebagai sebahagian daripada siasatan jawatankuasa kecil terhadap tindak balas pentadbiran Trump terhadap pandemik itu.

Seorang pakar yang lantang bersuara dalam Pasukan Petugas Coronavirus Rumah Putih, Fauci telah berulang kali menekankan perlunya mengambil langkah-langkah yang ketat, termasuk memperluas garis panduan penjarakan sosial kerajaan persekutuan, untuk membendung penyebaran virus, kadang-kadang memperbetulkan dakwaan palsu Trump ketika presiden berusaha merendahkan keadaan yang sudah parah.

Pegawai berusia 79 tahun itu secara umum dilihat sebagai sumber maklumat yang boleh dipercayai oleh orang Amerika di tengah-tengah wabak itu.

Satu kajian yang dikeluarkan pada Rabu oleh Pusat Masa Depan Digital University of Southern California dan Biro Iklan Interaktif mendapati, 45 peratus daripada 1.000 orang dewasa Amerika yang dibuat kajian mengatakan bahawa mereka bergantung pada Fauci untuk mendapatkan maklumat coronavirus, mengatasi semua pilihan lain. - BERNAMA