Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : ABNA24
Ahad

3 Mei 2020

5:09:27 PTG
1033055

Iran Bakal Buka Semula Masjid Di Zon Putih: Presiden Rouhani

Presiden Iran, Hassan Rouhani berkata bahawa proses pembukaan semula masjid akan dilakukan di 132 kawasan yang dikategorikan sebagai zon putih di negara itu bermula esok.

Agensi Berita Ahlul Bait - ABNA - Presiden Iran, Hassan Rouhani berkata bahawa proses pembukaan semula masjid akan dilakukan di 132 kawasan yang dikategorikan sebagai zon putih di negara itu bermula esok.

Kementerian Kesihatan Iran sebelum ini telah mengkategorikan kawasan di negara itu kepada zon putih, kuning dan merah berasaskan jumlah kes jangkitan dan kematian akibat virus COVID 19.

"Beberapa masjid akan dibuka pada hari esok di 132 bandar yang pada hari ini telah dikenalpasti sebagai zon putih dan berisiko rendah," kata Rouhani di dalam mesyuarat Pusat Pengurusan dan Pembasmian Coronavirus Kebangsaan di Tehran pada hari Ahad.

"Solat Jumaat juga akan dianjurkan di kawasan tersebut dan di masjid yang mematuhi protokol kesihatan," tambahnya.

Menurutnya, jawatankuasa pasukan petugas menangani wabak itu turut mempertimbangkan prospek untuk membuka semula sekolah pada 16 Mei ini; iaitu sebulan sebelum cuti musim panas bermula, namun perniagaan berisiko tinggi seperti gimnasium dan kedai gunting rambut akan kekal ditutup.

Iran pada hari semalam turut merekodkan jumlah kes harian paling rendah sejak 10 Mac lalu.

Wabak itu telah meragut lebih 6,150 nyawa dan menjangkiti lebih 96,440 orang sejak kes pertama diumumkan pada pertengahan Februari lalu.

Iran berhadapan dengan kesukaran untuk melawan penularan virus COVID 19 akibat daripada sekatan A.S khususnya yang mengganggu aliran masuk bantuan serta barangan keperluan asasi bagi petugas barisan hadapan mereka.

A.S pada hari Jumaat lepas sekali lagi mengenakan sekatan baharu terhadap Tehran ketika negara Timur Tengah itu berhadapan dengan pandemik yang bersifat global. -Agensi