Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : ABNA24
Rabu

6 Mei 2020

6:23:11 PTG
1034312

Sektor Pembuatan Yang Kukuh Mampu Lawan Virus Ekonomi: Ayatullah Khamenei

Pemimpin Revolusi Islam Iran, Ayatullah Syed Ali Khamenei berkata bahawa ekonomi yang telah diperkukuhkan melalui jentera pembuatan yang kuat mampu berdiri di atas kakinya sendiri dan dalam masa yang sama berupaya mengatasi pelbagai unsur negatif termasuk sekatan ekonomi yang bertindak sama seperti virus yang boleh merosakkan tubuh badan manusia.

Agensi Berita Ahlul Bait - ABNA - Pemimpin Revolusi Islam Iran, Ayatullah Syed Ali Khamenei berkata bahawa ekonomi yang telah diperkukuhkan melalui jentera pembuatan yang kuat mampu berdiri di atas kakinya sendiri dan dalam masa yang sama berupaya mengatasi pelbagai unsur negatif termasuk sekatan ekonomi yang bertindak sama seperti virus yang boleh merosakkan tubuh badan manusia.

Ayatullah Khamenei membuat kenyataan tersebut di Tehran pada hari Rabu di dalam sebuah sidang video yang turut disertai oleh pelbagai wakil daripada beberapa syarikat pembuatan sempena sambutan Minggu Buruh Kebangsaan.

Pemimpin itu turut mengucapkan terima kasih kepada tenaga kerja Iran pada sidang video yang dianjurkan bagi memantau proses pelaksanaan moto kerajaan yang berbunyi "Tingkatkan Pengeluaran" seperti yang ditetapkan oleh beliau sendiri pada awal tahun 1399 (kalendar solar Iran).

Beliau turut membuat analogi di antara ekonomi negara dengan tubuh badan manusia dan menghuraikan bagaimana kedua-dua perkara itu memerlukan mekanisme pertahanan yang baik dalam menangkis virus yang memasuki sistem mereka.

"Ketika Coronavirus memasuki tubuh manusia, tidak semua daripada mereka akan jatuh sakit. Bagaimana perkara itu mungkin?" Ayatullah Khamenei menjelaskan bahawa sistem imunisasi tubuh yang kuat merupakan faktor yang berjaya mematahkan kesan negatif virus tersebut terhadap sistem badan kumpulan manusia itu tadi.

"Sekiranya kita ingin membuat analogi di antara sistem ekonomi dengan tubuh badan manusia, sistem imunisasi yang memberikan keselamatan kepada ekonomi adalah pembuatan," kata beliau.

"Dengan kata lain, elemen yang dapat meneutralkan virus dan bakteria merbahaya yang menyasarkan ekonomi negara sekaligus mengekalkan tahap keselamatan ekonomi itu tadi ialah sektor pengeluaran," kata Ayatullah Khamenei.

Beliau kemudian membahagikan 'virus ekonomi' kepada dua iaitu 'virus semulajadi' dan 'virus buatan' manusia. Ayatullah Khamenei kemudian menyifatkan sekatan ekonomi dan tindakan memanipulasi harga minyak sebagai virus buatan manusia yang dicipta bagi menyerang persekitaran ekonomi tertentu.

"Akan tetapi, jika kita memiliki sektor pembuatan yang kukuh, kita mampu untuk melawan kesemua virus itu tadi," tambahnya.

Beliau juga menyeru kepada kerjasama rapat antara golongan pekerja dan majikan mereka bagi meningkatkan kadar pengeluaran negara. -Press TV