Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : Berita Harian
Khamis

21 Mei 2020

4:29:27 PTG
1039240

Senat A.S Lulus Undang-Undang Nyah Senarai Syarikat China

Senat Amerika Syarikat (AS) hari ini meluluskan undang-undang yang boleh menyebabkan syarikat China seperti Alibaba Group Holding Ltd dan Baidu Inc dilarang daripada penyenaraian di bursa saham negara itu, di tengah-tengah hubungan yang semakin tegang antara dua ekonomi terbesar di dunia.

Agensi Berita Ahlul Bait - ABNA - Senat Amerika Syarikat (AS) hari ini meluluskan undang-undang yang boleh menyebabkan syarikat China seperti Alibaba Group Holding Ltd dan Baidu Inc dilarang daripada penyenaraian di bursa saham negara itu, di tengah-tengah hubungan yang semakin tegang antara dua ekonomi terbesar di dunia.

Rang Undang-undang (RUU) yang dikemukakan oleh pemimpin Republikan dari Louisiana, Senator John Kennedy dan pemimpin Demokrat dari Maryland, Chris Van Hollen, itu dipersetujui dengan sebulat suara dan akan memerlukan syarikat mengesahkan bahawa mereka tidak berada di bawah kawalan kerajaan asing.

Penggubal undang-undang AS telah berusaha menghalang pengaliran keluar bernilai berbilion dolar ke beberapa syarikat terbesar di China, sebahagian besarnya dari dana pencen dalam usaha mencari pulangan pelaburan yang menarik.

Mereka bimbang terutama wang Amerika digunakan sebagai modal pusingan oleh gergasi teknologi negara untuk mengembangkan kedudukan utama dalam segala hal, dari kecerdasan buatan dan pemanduan autonomi hingga ke pengumpulan data internet.

Saham beberapa syarikat besar China yang tersenarai di AS, termasuk Baidu dan Alibaba, jatuh di New York hari ini, manakala pasaran yang lebih luas meningkat.

Sekiranya syarikat terbabit tidak dapat membuktikan bahawa ia tidak berada di bawah kawalan asing atau Lembaga Pengawasan Perakaunan Syarikat Awam, atau PCAOB, tidak dapat mengaudit syarikat itu selama tiga tahun berturut-turut untuk menentukan bahawa syarikat itu tidak berada di bawah kawalan kerajaan asing, saham syarikat itu akan dilarang daripada disenaraikan di bursa.

"Saya tidak mahu terjerumus ke dalam Perang Dingin yang baharu," kata Kennedy di Dewan Senat, sambil menambahkan bahawa beliau ingin "China mengikut peraturan."

"Syarikat senaraian awam haruslah semuanya tertakluk kepada piawaian yang sama, dan undang-undang ini membuat perubahan biasa untuk mewujudkan persaingan yang adil dan memberikan ketelusan yang mereka perlukan untuk membuat keputusan yang tepat," kata Van Hollen dalam satu kenyataan.

"Saya bangga kita berjaya meluluskannya hari ini dengan sokongan yang luar biasa tanpa mengira parti, dan saya menggesa rakan sekerja dalam Dewan supaya bertindak dengan cepat." - BLOOMBERG