Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : Berita Harian
Sabtu

23 Mei 2020

2:05:13 PTG
1039822

A.S Berhasrat Lakukan Ujian Senjata Nuklear Selepas 28 Tahun

Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (A.S), Donald Trump, sudah berbincang untuk menjalankan ujian nuklear pertama negara itu sejak 1992 sebagai 'tanda amaran' kepada Russia dan China.

Agensi Berita Ahlul Bait - ABNA - Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (A.S), Donald Trump, sudah berbincang untuk menjalankan ujian nuklear pertama negara itu sejak 1992 sebagai 'tanda amaran' kepada Russia dan China.

Washington Post semalam melaporkan, ujian terbabit akan menjadi 'satu lencongan jauh' daripada dasar pertahanan A.S dan mendorong negara kuasa nuklear lain turut mengambil tindakan sama.

Seorang penganalisis memberitahu akhbar itu bahawa jika A.S meneruskan hasratnya, ia mungkin mencetuskan perlumbaan membangunkan senjata nuklear pada skala yang belum pernah di lihat sebelum ini.

Laporan memetik seorang pegawai pentadbiran kanan dan dua bekas pegawai yang enggan dikenali itu berkata perbincangan mengenainya diadakan pada mesyuarat 15 Mei lalu.

Ia terdedah selepas selepas beberapa pegawai A.S dilaporkan mendakwa Russia dan China sedang menjalankan ujian berskala kecil, namun dinafikan kedua-dua negara itu dan A.S pula tidak mengemukakan bukti.

Pegawai Pentadbiran kanan mendakwa, tindakan A.S menunjukkan kemampuannya mengendalikan ujian nuklear lebih mantap akan bermanfaat ketika rundingan tiga hala dengan Russia dan China mengenai senjata nuklear.

Februari lalu, Pentagon mengumumkan ia melancarkan sebuah kapal selam membawa peluru berpandu jarak jauh dengan hulu peledak nuklear yang kecil, sebagai tindak balas kepada ujian senjata seumpamanya oleh Russia.

Pengkritik bimbang senjata nuklear yang kecil berkemungkinan tinggi digunakan atas alasan ia hanya mengakibatkan kemusnahan kecil, namun tetap membuka ruang untuk berlaku konflik nuklear.

Bagaimanapun, Pentagon menegaskan sangat mustahak untuk menghalang pesaing seperti Moscow, yang mungkin menganggap hanya dengan memiliki senjata nuklear yang besar dan berupaya mengakibatkan merosakkan besar dapat memastikan A.S tidak akan bertindak sekiranya negara lain menggunakan bom nuklear kecil. - AFP