Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : Sinar Harian
Rabu

27 Mei 2020

3:01:08 PTG
1040722

Perancis Hentikan Rawatan Menggunakan Hydroxychloroquine

Kerajaan Perancis hari ini melarang rawatan hydroxychloroquine ke atas pesakit COVID-19, ubat yang menimbulkan kontroversi dan dikatakan berbahaya meskipun Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengaku mengambilnya sebagai pencegahan untuk virus terbabit.

Agensi Berita Ahlul Bait - ABNA - Kerajaan Perancis hari ini melarang rawatan hydroxychloroquine ke atas pesakit COVID-19, ubat yang menimbulkan kontroversi dan dikatakan berbahaya meskipun Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengaku mengambilnya sebagai pencegahan untuk virus terbabit.

Larangan itu selepas dua badan penasihatnya dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) minggu ini memberi amaran bahawa ubat bagi rawatan rheumatoid, arthritis dan lupus, menunjukkan ia berpotensi berbahaya dalam beberapa penyelidikan yang dilakukan.

Penularan COVID-19 yang memuncak membuatkan sebahagian doktor termasuk pakar penyakit berjangkit Perancis memberi ubatan berkenaan walaupun kurang terdapat penyelidikan bagi melihat keberkesanannya merawat COVID-19.

Trump mendedahkan beliau mengambil hydroxychloroquine minggu lalu, yang mengejutkan pentadbirannya.

Di bawah peraturan baharu Perancis, ubat itu hanya boleh digunakan dalam ujian klinikal untuk menguji keberkesanannya terhadap COVID-19, sekali gus menimbulkan persoalan apabila seorang doktornya, Didier Raoult, menggunakannya ke atas pesakit di hospital di Marseille, di selatan Perancis.

Raoult juga dikatakan menolak kajian komprehensif yang diterbitkan jurnal perubatan The Lancet, yang mendapati hydroxychloroquine atau sebatian yang mengandungi chloroquine sebenarnya meningkatkan risiko kematian kepada pesakit.

Kebiasaannya hydroxychloroquine digunakan untuk merawat malaria, di bawah jenama Plaquenil oleh firma farmasi gergasi, Sanofi, yang berjanji membekalkan berjuta-juta dos kepada kerajaan jika kajian membuktikan bahawa ia dapat digunakan dengan selamat untuk merawat COVID-19. - AFP