Agensi Berita Ahlul Bait - ABNA - Amerika Syarikat (AS) akan terus mengurangkan jumlah kehadiran tenteranya di Iraq dalam beberapa bulan akan datang, memetik kenyataan bersama kedua-dua pihak pada Khamis, lapor agensi berita Xinhua.
Kedua-dua negara juga akan membincangkan status kekuatan yang masih ada, menurut kenyataan yang dikeluarkan susulan dialog strategik AS-Iraq yang diadakan secara maya.
Penolong Setiausaha untuk Hal Ehwal bahagian Timur, David Schenker berkata, Washington sedang mempertimbangkan kemungkinan untuk mengurangan kekuatan tenteranya, tetapi bila tarikh ia akan mula dilaksanakan masih belum ditentukan.
Hubungan kedua-dua negara tegang sejak awal Januari, susulan tindakan tentera AS membunuh Qassem Soleimani, bekas komander tertinggi pasukan Pengawal Revolusi Iran dan Abu Mahdi al-Muhandis, timbalan ketua pasukan separa tentera Hashd al-Shaabi, dalam serangan udara berhampiran lapangan terbang Baghdad.
Serangan udara itu mendorong parlimen Iraq pada 5 Januari mengeluarkan resolusi menuntut kerajaan menamatkan kehadiran pasukan tentera asing di Iraq.
Lebih 5,000 tentera AS dikerahkan ke Iraq dalam apa yang didakwa Washington sebagai usaha mereka untuk membantu pasukan Iraq dalam pertempuran memerangi Daesh. - Bernama
source : Bernama
Jumaat
12 Jun 2020
3:19:55 PTG
1045525
Amerika Syarikat (AS) akan terus mengurangkan jumlah kehadiran tenteranya di Iraq dalam beberapa bulan akan datang, memetik kenyataan bersama kedua-dua pihak pada Khamis, lapor agensi berita Xinhua.