Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : Berita Harian
Khamis

18 Jun 2020

3:42:46 PTG
1047901

Indonesia Terus Bergelut Peningkatan Mendadak COVID-19

Ketika Indonesia beralih kepada kebiasaan baharu, republik itu turut bergelut dengan peningkatan ketara kes jangkitan COVID-19.

Agensi Berita Ahlul Bait - ABNA - Ketika Indonesia beralih kepada kebiasaan baharu, republik itu turut bergelut dengan peningkatan ketara kes jangkitan COVID-19.

Kadar kematian harian akibat virus itu juga dilaporkan meningkat ketara sejak kebelakangan ini dengan angka tertinggi 64 kematian dicatatkan Isnin lalu.

Kerajaan melaporkan rekod tertinggi jangkitan harian iaitu 993 kes pada 6 Jun lalu, melebihi rekod terdahulu 973 kes pada 21 Mei, disusuli 1,043 kes pada 9 Jun dan 1,240 kes pada hari berikutnya terutama di Jawa Timur dan Jakarta.

Jurucakap kerajaan untuk hal ehwal COVID-19, Achmad Yurianto, berkata angka yang tinggi itu dicapai berikutan langkah kerajaan melakukan pengesanan kontak secara agresif.

Ketua pakar kakitangan pasukan petugas COVID-19, Wiku Adisasmito, berkata lonjakan kes itu tidak sepatutnya dilihat negatif, sebaliknya ia petanda negara itu meningkatkan ujian 'polymerase chain reaction' dan 'rapid molecular'.

"Kita juga memperbaiki keupayaan pengesanan dan kerana itu, statistik yang tinggi ini tidak semestinya menunjukkan kadar jangkitan sudah meningkat.

"Sebaliknya, ini (lonjakan kes harian) adalah keputusan merangkumi kes yang tidak dilaporkan sebelum ini," katanya.

Minggu lalu, Indonesia merekodkan purata 1,103 kes baharu daripada purata 7,684 orang yang diuji setiap hari, bersamaan dengan 14 peratus kadar purata positif.

Menurut data ourworldindata.org, Indonesia menguji 1.2 daripada setiap 1,000 orang, menjadikannya antara yang terendah di dunia.

Ahli epidemiologi, Pandu Riono, berpendapat kadar ujian masih jauh dari jumlah sepatutnya kerana lebih lebih banyak ujian sudah tentu akan menunjukkan peratusan kadar positif yang lebih rendah.

Menurut Pandu, wujud kemungkinan kluster baharu itu tercetus berikutan ramai yang balik kampung semasa cuti Aidilfitri pada hujung Mei lalu kerana peningkatan kes bertepatan dengan garis masa itu.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menetapkan, salah satu kriteria epidemiologi untuk melonggarkan larangan sosial berskala besar adalah kurang dari lima peratus sampel diuji positif dalam jangka masa dua minggu.

Namun, tidak ada satu pun daripada enam wilayah di Jawa, yang dinilai oleh WHO antara 25 Mei dan 7 Jun, memenuhi kriteria terbabit.

Di Jakarta, 102,859 orang diuji setakat ini dan merekodkan 105 kes baharu dengan kadar positif 6.2 peratus dalam kalangan jumlah keseluruhan individu diuji pada Isnin lalu apabila pusat membeli-belah, kedai dan pejabat kembali dibuka.

Bagaimanapun, tidak semua wilayah di negara itu menyediakan data membabitkan berapa ramai orang sudah diuji.

Justeru, Pandu meminta pentadbiran setempat supaya telus dengan data ujian mereka kerana khuatir pemimpin daerah tidak bersedia meningkatkan ujian kerana bimbang kehilangan status berisiko rendah atau zon hijau.

Secara keseluruhan, Indonesia mencatatkan 41,431 kes COVID-19 termasuk 2,276 kematian manakala 16,243 pesakit disahkan sembuh setakat hari ini. - AGENSI