Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : ABNA24
Ahad

21 Jun 2020

4:00:31 PTG
1048781

Sikap Berdiam Eropah Ke Atas Kekerasan Polis AS Serlahkan Kemunafikan Mereka: Iran

Iran mengecam negara-negara Eropah karena menutup mata terhadap tindakan keras pihak berkuasa Amerika Syarikat ke atas peserta demonstrasi anti-perkauman di negara sekutu tradisi mereka itu sambil berkata bahawa tindakan berdiam diri itu menyerlahkan sifat kemunafikan para pemimpin Eropah.

Agensi Berita Ahlul Bait - ABNA - Iran mengecam negara-negara Eropah karena menutup mata terhadap tindakan keras pihak berkuasa Amerika Syarikat ke atas peserta demonstrasi anti-perkauman di negara sekutu tradisi mereka itu sambil berkata bahawa tindakan berdiam diri itu menyerlahkan sifat kemunafikan para pemimpin Eropah.

Dalam ciapan di akaun Twitternya pada hari Sabtu, jurucakap Kementerian Luar Republik Islam Iran, Abbas Mousavi turut mengecam pentadbiran AS kerana menafikan hak rakyatnya sendiri untuk 'bernafas'.

"Walaupun rejim AS menafikan hak 'bernafas' ke atas rakyatnya sendiri dan secara kejam menekan protes damai (sebahagian daripada mereka),'sikap berdiam diri' oleh mereka yang dijulang sebagai juara hak asasi manusia di Eropah, sekali lagi menunjukkan, kelemahan, kemunafikan dan pelayanan tidak setara mereka (dalam menangani isu yang berkaitan," katanya.

AS menyaksikan demonstrasi besar-besaran yang membantah keganasan polis dan diskriminasi kaum berikutan kematian seorang lelaki beretnik Afrika-Amerika yang tidak bersenjata ketika ditahan oleh pihak polis di Minneapolis pada 25 Mei lepas.

George Floyd meninggal dunia setelah seorang pegawai polis AS menekan lutut ke atas lehernya selama lebih dari lapan minit di sebalik rayuan Floyd yang jelas mengatakan bahawa dia tidak dapat bernafas.

Kematiannya, yang dirakam dalam video tersebut telah mencetuskan protes jalanan di seluruh AS yang disambut dengan tindak balas polis yang disifatkan sebagai ganas dan berlebihan.

Warga awam Eropah juga turun ke jalan raya dalam pertunjukkan solidariti bersama dengan para peserta demonstrasi AS. Sebahagian mereka turut menjatuhkan tugu dan monumen yang memuliakan perhambaan dan era kolonialisme.

Berikutan tekanan berterusan, Presiden AS, Donald Trump telah menandatangani sebuah arahan eksekutif untuk memperbaiki amalan kerja polis di negaranya.

Akan tetapi, para pengkritik mengecam dokumen tersebut yang disifatkan mereka sebagai tidak memadai untuk menyelesaikan isu perkauman sistematik dan keganasan polis yang melanda negara Barat tersebut. -Press TV