Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : Sinar Harian
Isnin

22 Jun 2020

4:13:00 PTG
1049177

Lagi Mangsa Kekerasan Polis AS

Jabatan Polis New York (NYPD) menggantung tugas seorang anggota mereka yang didakwa menggunakan teknik kontroversi, menekan leher ketika menahan seorang lelaki kulit hitam di Queens pagi semalam.

Agensi Berita Ahlul Bait - ABNA - Jabatan Polis New York (NYPD) menggantung tugas seorang anggota mereka yang didakwa menggunakan teknik kontroversi, menekan leher ketika menahan seorang lelaki kulit hitam di Queens pagi semalam.

Insiden di laluan Rockaway itu berlaku selepas Majlis Perbandaran dan Badan Perundangan Negeri meluluskan undang-undang yang melarang polis menggunakan tindakan kekerasan tersebut.

Lelaki tersebut yang dikenali sebagai Ricky Bellevue berumur 35 tahun dilaporkan mengalami kecederaan ringan dan kini dirawat di sebuah hospital di Queens.

Pesuruhjaya Dermot Shea menerusi Twitter mengesahkan anggota polis berkenaan berdepan tindakan itu selepas satu siasatan segera dibuat.

"Siasatan penuh sedang dijalankan. Kami komited untuk siasatan yang telus ketika proses ini diteruskan," ujarnya.

Sebelum pengumuman itu dibuat, pihak berkuasa turut mendedahkan rakaman insiden itu berdurasi lebih 30 minit yang diperoleh daripada kamera tubuh anggota polis.

Menurut jurucakapnya, mereka menerima aduan tentang seorang lelaki menjerit pada orang ramai di Rockaway Park sebelum penahanan itu dibuat pada jam 8.45 pagi (waktu tempatan) atas beberapa kesalahan termasuk melawan pihak berkuasa.

Bagaimanapun, rakaman menggunakan telefon bimbit yang diambil saksi di Beach 116th Street menunjukkan tiga anggota lelaki menindih suspek termasuk seorang yang bertindak menekan lehernya.

Difahamkan, lelaki itu tidak sedarkan diri sejurus diberkas dan peguamnya, Lori Zeno mengesahkan turut terdapat kesan melecet di belakang kepalanya.

Menjelang tengah hari, klip tersebut mula menjadi tular di media sosial dan mencetuskan kemarahan banyak pihak yang menggesa siasatan dilancarkan dan mengeluarkan rakaman video daripada kamera badan anggota polis.

Undang-undang Negeri New York yang diluluskan dua minggu lalu menjadikan tindakan menekan leher yang menyebabkan kecederaan serius pada fizikal atau kematian sebagai kesalahan jenayah.

Kira-kira seminggu kemudian, undang-undang yang mendapat kelulusan Badan Perundangan New York juga mengenakan larangan sama terhadap perbuatan seumpama itu yang menyekat saluran pernafasan hingga menyebabkan kecederaan. - Agensi