Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : Berita Harian
Isnin

6 Julai 2020

2:31:28 PTG
1052936

Isu Hagia Sophia: Russia Beri Amaran Kepada Turki

Pegawai Russia dan gereja Orthodox menggesa Turki berhati-hati membuat keputusan mengenai status Hagia Sophia, bekas gereja bersejarah di Istanbul.

Agensi Berita Ahlul Bait - ABNA - Pegawai Russia dan gereja Orthodox menggesa Turki berhati-hati membuat keputusan mengenai status Hagia Sophia, bekas gereja bersejarah di Istanbul.

Mahkamah tertinggi Turki masih mempertimbangkan sama ada struktur yang menjadi keajaiban dunia seni bina itu boleh diubah suai menjadi masjid, satu langkah yang berpotensi mencetuskan ketegangan dengan Barat dan masyarakat Kristian.

Keputusan mahkamah dalam beberapa hari lagi itu akan menentukan nasib struktur yang kini dijadikan muzium.

Ketua Gereja Orthodox Russia, Patriarch Kirill, berkata beliau amat prihatin dengan keputusan itu, sambil menyifatkan Hagia Sophia sebagai salah satu mercu tanda terhebat kebudayaan Kristian.

"Ancaman terhadap Hagia Sophia adalah ancaman kepada keseluruhan tamadun Kristian, maka ia juga adalah ancaman kepada kerohanian dan sejarah kita.

"Sehingga hari ini, bagi setiap pengikut Orthodox Russia, Hagia Sophia adalah tempat ibadat terhebat Kristian," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau mengingatkan, menukar status bangunan bersejarah itu akan mengakibatkan 'kesakitan' dalam kalangan penduduk Russia.

Jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov, berkata masa depan tapak bersejarah itu adalah isu dalaman Turki tetapi menyuarakan harapan semoga status Hagia Sophia sebagai Tapak Warisan Dunia turut diambil kira.

Tambah beliau, bangunan bekas gereja itu adalah 'seni agung' dan mempunyai 'nilai suci' bagi warga Russia.

Timbalan Menteri Luar Russia, Sergei Vershinin, memberitahu pemberita bahawa Russia berharap 'kepentingan global' Hagia Sophia turut diberi penekanan.

Hagia Sophia pada mulanya dibangunkan sebagai gereja ketika empayar Kristian Byzantine pada kurun keenam tetapi diubah suai menjadi masjid selepas Konstantinopel ditakluki Empayar Uthmaniyah pada 1453.

Tindakan menjadikannya sebagai muzium adalah antara reformasi utama pihak berkuasa pasca Uthmaniyah di bawah pentadbiran pengasas Turki moden, Mustafa Kemal Ataturk.

Namun, gesaan supaya ia dijadikan masjid semula mencetuskan kemarahan penganut Kristian serta ketegangan antara musuh tradisi dan 'sekutu terpaksa' di bawah Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) iaitu Turki dan Greece. - AFP