Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : Berita Harian
Rabu

8 Julai 2020

2:38:36 PTG
1053582

Dua Lelaki Didakwa Bunuh Pemandu Bas

Dua lelaki didakwa atas tuduhan cuba membunuh kerana menyerang seorang pemandu bas sehingga mengalami 'mati otak' dalam kejadian di barat daya Perancis.

Agensi Berita Ahlul Bait - ABNA - Dua lelaki didakwa atas tuduhan cuba membunuh kerana menyerang seorang pemandu bas sehingga mengalami 'mati otak' dalam kejadian di barat daya Perancis.

Suspek menyerang Philippe Monguillot, 59, kerana enggan membenarkan sekumpulan individu yang tidak memakai pelitup muka menaiki pengangkutan awam itu.

Menurut kenyataan Jabatan Pendakwa Raya, dua lagi lelaki dituduh kerana gagal memberi bantuan kepada orang yang diancam bahaya dan seorang daripada mereka turut dituduh cuba menyembunyikan suspek.

Semua tertuduh yang kini ditahan berusia antara 22 dan 23 tahun serta memiliki rekod polis.

Penolong Pendakwa Raya, Marc Mariee, mengecam serangan ganas itu selepas memfailkan pertuduhan semalam.

"Berlaku perang mulut dan tolak menolak, pemandu bas ditolak keluar dari kenderaannya dan dua individu kemudian menendang dan menumbuk badan mangsa dengan ganas, termasuk di kepala," katanya.

Serangan ke atas bapa kepada tiga anak itu menimbulkan kemarahan rakan sekerjanya, yang kebanyakannya enggan bekerja sehingga mangsa dikebumikan.

Pemakaian pelitup muka diwajibkan dalam semua pengangkutan awam di Perancis dalam usaha mengekang penularan COVID-19 yang setakat ini sudah meragut hampir 30,000 nyawa selain menjangkiti 168,810 mangsa di negara itu. - AFP