Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : Berita Harian
Ahad

12 Julai 2020

2:35:22 PTG
1054649

Lebih 1,000 Penghuni Akademi Tentera Indonesia Positif COVID-19

Hampir 1,300 individu di akademi tentera Indonesia (Bandung) diuji positif dengan COVID-19, kata sumber rasmi, ketika negara itu masih bertungkus lumus membendung pandemik itu.

Agensi Berita Ahlul Bait - ABNA - Hampir 1,300 individu di akademi tentera Indonesia (Bandung) diuji positif dengan COVID-19, kata sumber rasmi, ketika negara itu masih bertungkus lumus membendung pandemik itu.

Sekolah Calon Pegawai Tentera Indonesia di wilayah paling padat penduduk di Jawa Barat itu kini dikuarantin, manakala 30 individu lain dimasukkan ke hospital, kerana mengalami simptom ringan.

Ketua petugas, Jeneral Andika Perkasa, berkata 991 daripada 1,280 mangsa jangkitan membabitkan kadet, manakala selebihnya adalah petugas akademi dan ahli keluarga mereka.

"Majoriti pesakit tidak menunjukkan sebarang simptom dan 17 daripada mereka masih dirawat di hospital.

"Wabak ini kali pertama dikesan apabila dua kadet menjalani pemeriksaan kesihatan, selepas mengalami demam sakit di bahagian belakang.

"Keduanya diuji positif COVID-19, menyebabkan saringan kesihatan dibuat pada skala besar di akademi yang dihuni 2,000 petugas dan pelatih ini," katanya.

Tidak dapat dipastikan bagaimana kadet terbabit boleh dijangkiti, namun menurut Andika, terdapat beberapa kakitangan yang menetap di luar premis akademi.

Susulan kes itu, Gabenor Jawa Barat memohon maaf atas wabak berkenaan dan menggesa penduduk setempat mengehadkan pergerakan keluar masuk di kawasan kejiranan mereka, sehingga keadaan berjaya dikawal.

Indonesia adalah negara paling teruk dilanda COVID-19 di Asia Tenggara, dengan lebih 74,000 kes jangkitan termasuk 3,500 kematian. - AFP