Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : Berita Harian
Jumaat

17 Julai 2020

2:30:53 PTG
1055755

25 Ladang Ternak Cerpelai Belanda Dijangkiti COVID-19

Pihak berkuasa Belanda akan melupuskan lebih 1,100 cerpelai selepas menemui jangkitan COVID-19 di satu lagi ladang, menjadikan keseluruhan 25 ladang ternakan cerpelai di negara itu dijangkiti virus terbabit.

Agensi Berita Ahlul Bait - ABNA - Pihak berkuasa Belanda akan melupuskan lebih 1,100 cerpelai selepas menemui jangkitan COVID-19 di satu lagi ladang, menjadikan keseluruhan 25 ladang ternakan cerpelai di negara itu dijangkiti virus terbabit.

Jabatan Pertanian Belanda berkata jangkitan terbaru itu dikesan di bandar kecil Westerbeek berhampiran sempadan Jerman, selepas ujian saringan virus itu ke atas anak cerpelai yang dipindahkan dari lokasi lain.

Belanda memiliki peraturan yang ketat bagi mencegah penularan wabak COVID-19 yang semakin meningkat dalam sektor penternakan cerpelai di negara itu.

Seminggu lalu, anak cerpelai berkenaan dibawa ke lokasi lain 'bagi memastikan kesejahteraan haiwan berkenaan' supaya tidak dijangkiti virus COVID-19.

Bagaimanapun, anak haiwan ternakan dari Westerbeek itu diuji positif untuk COVID-19 dan ia akan dibunuh secepat mungkin.

Media Belanda, NOS, melaporkan lebih daripada satu juta cerpelai kini sudah dilupuskan di Belanda.

Kes jangkitan itu mula dikesan April lalu, selepas dua ladang ternakan cerpelai mencatatkan kes jangkitan virus berkenaan.

Sekurang-kurangnya dua pekerja ladang dilaporkan dijangkiti virus itu, yang disahkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai penularan haiwan ke manusia yang pertama dikesan.

Penternakan cerpelai, khusus bagi mendapatkan bulu haiwan berkenaan, sejak dari dulu lagi menjadi isu kontroversi di Belanda, yang memutuskan semua ladang cerpelai perlu ditutup pada 2024. - AFP