Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : Berita Harian
Jumaat

24 Julai 2020

2:18:54 PTG
1057421

WHO Bimbang Peningkatan Kes COVID-19 Di Eropah

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berpejabat di Eropah hari ini menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan kes baharu COVID-19 di benua itu dan menggesa semua negara melaksanakan peraturan lebih ketat jika perlu.

Agensi Berita Ahlul Bait - ABNA - Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berpejabat di Eropah hari ini menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan kes baharu COVID-19 di benua itu dan menggesa semua negara melaksanakan peraturan lebih ketat jika perlu.

Jumlah jangkitan di Eropah melepasi tiga juta semalam iaitu yang kelima tertinggi, berbanding jumlah keseluruhan lebih 15.5 juta kes di seluruh dunia.

Dari segi jumlah kematian, Eropah kekal sebagai benua paling terjejas, apabila merekodkan 206,633 kematian daripada keseluruhan 627,307 kematian di seluruh dunia.

Dengan nisbah 335 kes baharu bagi setiap 100,000 penduduk sejak dua minggu lalu, Kyrgyzstan muncul sebagai negara paling teruk dilanda COVID-19 di benua Eropah.

Negara lain termasuk Montenegro (207 kes), Luxemburg (196 kes), Bosnia (98 kes), Serbia (71 kes), Romania (52 kes) dan Bulgaria (46 kes).

Jumlah jangkitan baharu bagaimanapun berkurangan pada kadar yang ketara di Armenia dengan 197 kes untuk setiap 100,000 atau nisbah 197:100,000, Kazakhstan (128:100,000), Moldavia (82:100,000) dan Russia (60:100,000).

Jurucakap WHO Eropah berkata peningkatan baharu dalam kes COVID-19 di beberapa negara berikutan penarikan semula peraturan penjarakan sosial mencetuskan kebimbangan.

"Setiap kemunculan kluster baharu perlu dikawal menerusi pencegahan agresif, termasuk pengasingan dan pengesanan kontak, selain kuarantin.

"Jika keadaan memerlukan, pelaksanaan semula peraturan yang lebih ketat dengan pembabitan semua lapisan masyarakat mungkin terpaksa dibuat," katanya.

Bagaimanapun, jumlah kes baharu di seluruh Eropah kekal stabil pada anggaran 20,000 kes sehari sejak 20 Mei, dua kali ganda lebih rendah berbanding waktu puncak pada awal April. - AFP