Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : Sinar Harian
Ahad

26 Julai 2020

3:40:43 PTG
1058075

Polis AS Guna Bom Peledak Silau, Semburan Lada, Gas Pemedih Mata

Polis Amerika Syarikat (AS) didakwa menggunakan bom peledak silau, semburan lada dan gas pemedih mata terhadap penunjuk perasaan yang berarak di bandar serata negara itu menentang isu perkauman serta kekejaman pihak berkuasa.

Agensi Berita Ahlul Bait - ABNA - Seattle/ Polis Amerika Syarikat (AS) didakwa menggunakan bom peledak silau, semburan lada dan gas pemedih mata terhadap penunjuk perasaan yang berarak di bandar serata negara itu menentang isu perkauman serta kekejaman pihak berkuasa.

Tindakan itu secara langsung meningkatkan lagi gelombang kemarahan orang awam terhadap arahan Presiden AS, Donald Trump, menambah anggota keselamatan persekutuan di semua bandar utama di mana berlaku tunjuk perasaan.

Tunjuk perasaan yang tercetus selepas kematian seorang warga kulit hitam, George Floyd, di Minneapolis pada 25 Mei lalu itu kini semakin melarat sehingga menggugat kempen Trump bagi pemilihan presiden November ini.

Penunjuk perasaan berarak di Austin, Texas; Louisville, Kentucky; New York; Omaha; Oakland dan Los Angeles di California serta Richmond, Virginia.

Richmond juga adalah bandar di mana pihak polis baru-baru ini melepaskan bahan kimia terhadap peserta tunjuk perasaan Black Lives Matter (BLM) atau 'hidup orang berkulit hitam penting'.

Di Seattle, bunyi letupan bahan peledak kedengaran di beberapa jalan dan asap dilihat berkepul-kepul dari kawasan di mana penunjuk perasaan bertindak membakar lori treler di sebuah tapak pembinaan.

Selain itu, penunjuk perasaan juga memotong tayar kereta serta memecahkan cermin kenderaan dan menggunakan payung bagi melindungi diri daripada semburan lada oleh pihak polis.

Semalam, polis Seattle memaklumkan 45 orang ditangkap kerana ada kaitan dengan demonstrasi yang merancang rusuhan, menurut ciapan di Twitter rasmi mereka.

Ketua Polis Seattle, Carmen Best, memohon orang ramai supaya datang ke bandar itu secara aman dan menegur perbuatan penunjuk perasaan.

"Perusuh tidak mempedulikan keselamatan masyarakat, keselamatan pegawai atau perniagaan dan harta benda yang habis mereka hancurkan," katanya menurut laporan media tempatan.

Keganasan terbaru itu berlaku selepas polis dan anggota keselamatan persekutuan melepaskan gas pemedih mata bagi menyuraikan penunjuk perasaan di Portland pada awal pagi semalam. - AFP