Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : Berita Harian
Rabu

29 Julai 2020

3:49:32 PTG
1058960

COVID-19: Jumlah Kematian Melonjak Di AS

Kematian akibat COVID-19 di Amerika Syarikat (AS) melonjak kepada jumlah tertinggi dalam beberapa bulan hari ini.

Agensi Berita Ahlul Bait - ABNA - Kematian akibat COVID-19 di Amerika Syarikat (AS) melonjak kepada jumlah tertinggi dalam beberapa bulan hari ini.

Jumlah kematian akibat wabak itu di AS mencecah jumlah yang tidak pernah dicapai sejak pertengahan Mei lalu, apabila hampir 1,600 kematian direkodkan dalam tempoh 24 jam, lapor Universiti Johns Hopkins, semalam.

Sementara itu, China turut merekodkan jumlah jangkitan harian tertinggi dalam tempoh tiga bulan.

Penduduk di Hong Kong pula sedang menyesuaikan diri dengan langkah penjarakan sosial paling ketat pernah dilaksanakan, susulan kebimbangan penularan wabak besar-besaran berpotensi melumpuhkan operasi hospital.

COVID-19 sudah meragut 660,000 nyawa dan menjangkiti lebih 16.7 juta penduduk dunia, berdasarkan kiraan rasmi AFP, namun pakar berpandangan kadar jangkitan sebenar mungkin jauh lebih tinggi.

Dalam pada itu, kajian mengejutkan kedua dari India dalam tempoh kurang seminggu berdasarkan ujian darah daripada hampir 7,000 penduduk, mendapati lebih separuh daripada mereka yang tinggal di kawasan setinggan di Mumbai pernah dijangkiti COVID-19.

Jumlah jangkitan terus meningkat di seluruh AS sejak beberapa minggu lalu, mencetuskan kerisauan lonjakan angka kematian dalam kalangan pihak berkuasa kesihatan dan pemimpin negara itu.

Gesaan Presiden AS, Donald Trump yang mahu pilihan raya pada November kini terhalang oleh krisis virus itu yang sudah membunuh hampir 150,000 rakyat negara itu serta menjejaskan ekonomi terbesar dunia itu. - AFP